Pesanan tokoh telepuk jadi azimat Mohd. Azwarin

Pesanan tokoh telepuk jadi azimat Mohd. Azwarin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USIA muda bukan penghalang buat anak jati Terengganu ini untuk menekuni minatnya pada seni hiasan tekstil tradisional Melayu yang pernah ‘pupus’ ratusan tahun lalu.

Ketika rakan-rakan seusianya mengejar keseronokan dan impian, tetapi Mohd. Azwarin Ahmed, 44, memilih bergelumang dalam pembuatan telepuk.

Aktiviti itu dimulakannya sejak 2017 hingga kini.

“Saya tertarik dengan telepuk kerana teknik hiasan ini agak luar biasa sebab menggunakan emas.

“Sejak itu, saya nekad untuk meneruskan kesinambungannya,” katanya baru-baru ini.

Malah, dia turut berguru dengan Norhaiza Nordin, sebelum pemergian Tokoh Kraf Negara itu pada Disember lalu.

Allahyarham sempat menitipkan pesanan padanya agar terus mempertahankan kesenian tradisional tersebut

Kini, Mohd. Azwarin giat mengendalikan bengkel kemahiran dan aktiviti interaktif sebagai pendedahan kepada orang ramai.

Lima proses rumit
Proses pembuatan telepuk menuntut ketelitian bagi memastikan corak yang dihasilkan kemas dan berkualiti.

Ia bermula dengan sapuan gam pada bahagian lengan, diikuti dengan menekap acuan kayu ke atas permukaan bergam.

Langkah berikutnya ialah menekan acuan kayu ke atas permukaan fabrik.

“Selepas menampal, jangan terus angkat acuan. Sebaliknya, tekan atau tepuk dengan padat supaya gam melekat elok pada fabrik.

“Kemudian, barulah kita letakkan kertas emas. Pastikan tiada angin kuat di sekeliling termasuk hembusan nafas kita sendiri,” katanya.

Ujarnya, proses itu sememangnya mengambil masa kerana keadaan kertas emas yang halus dan mudah rapuh.

Katanya, harga bagi sampin dan kain tanjak telepuk boleh mencecah sehingga RM16,000 setiap satu.

Dari segi masa pula, tempoh dua bulan diambil untuk menyiapkan barangan itu.

 

Kurang sambutan anak muda
Pemuda ini mengakui yang seni telepuk kurang diminati golongan belia.

Hingga kini, dia masih mencari kaedah berkesan untuk memupuk minat tersebut.

Katanya, inisiatif seperti kelas dan bengkel kemahiran percuma masih belum berjaya melahirkan pelapis baharu.

“Setakat ini memang tiada lagi orang muda yang nak buat secara serius.

“Sedangkan seni ini mampu memberikan pendapatan lumayan kepada penggiatnya.

“Telepuk ialah seni yang begitu eksklusif, sayang kalau dibiarkan hilang begitu sahaja,” katanya.

Mohd. Azwarin berkata, penggiat telepuk di Malaysia kini kurang daripada 10 orang.

Justeru, dia bimbang seni warisan itu bakal pupus sekali lagi jika tiada pelapis.

“Kalau di Malaysia, memang tidak ramai yang mengusahakannya. Batch saya pun hanya ada tiga ke empat orang sahaja yang masih aktif.

“Untuk penggerus pula, kita hanya ada seorang sahaja dan tiada pengganti sekiranya sesuatu berlaku,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN