Vertex Material capai nilai syarikat AS$7 bilion, sasar Nasdaq 2027 - Utusan Malaysia

Vertex Material capai nilai syarikat AS$7 bilion, sasar Nasdaq 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Vertex Material, syarikat bahan termaju Malaysia yang membangunkan bahan komposit tembaga untuk aplikasi industri, mencapai penilaian nilai syarikat kira-kira AS$7 bilion (RM28.67 bilion), sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai syarikat unicorn.

Penilaian itu berdasarkan laporan yang disediakan sebuah firma perakaunan Malaysia, sekali gus menyasarkan penyenaraian di Nasdaq pada 2027, selari dengan rancangan untuk mengembangkan operasi pembuatan ke Amerika Syarikat (AS).

Dari segi komersial, syarikat itu telah memperoleh perjanjian pengambilan (offtake) bagi 160,000 tan metrik produk setahun.

Pengasas dan Pengarah Teknikal Vertex Material, Datuk Tan Chin Tong berkata, perjanjian pengambilan berkenaan menyediakan asas permintaan penting bagi syarikat.

“Perjanjian pengambilan itu memberikan kami asas permintaan yang penting, manakala operasi yang dicadangkan di AS bertujuan mendekatkan pengeluaran dengan pembekal dan pelanggan kami.

“Fasa seterusnya adalah pelaksanaan. Kami perlu membuktikan prestasi produk yang konsisten, meningkatkan kapasiti pembuatan dan membangunkan rantaian bekalan yang boleh dipercayai berdasarkan permintaan pelanggan yang telah kami peroleh.

“Cadangan penyenaraian di Nasdaq adalah sebahagian daripada strategi pengantarabangsaan jangka panjang kami, namun keutamaan segera kekal kepada perniagaan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kemudahan pembuatan yang dicadangkan di AS itu akan menyokong pengeluaran pada skala komersial, membolehkan syarikat mendapatkan bekalan tembaga secara langsung serta memudahkan logistik pembuatan bagi memenuhi keperluan pelanggan sasaran.

Katanya, Vertex Material menyasarkan untuk memanfaatkan defisit bekalan berkenaan menerusi teknologi yang menggabungkan tembaga dengan bahan komposit lain bagi meningkatkan jumlah bahan boleh guna yang dihasilkan daripada jumlah bahan mentah tembaga tertentu.

“Selepas berjaya menubuhkan kilang perintis di Malaysia, Vertex Material kini bersedia mengembangkan operasi ke AS bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Kemudahan pengeluaran di AS akan membolehkan syarikat mengakses pangkalan pelanggan yang luas bergantung kepada tembaga, selain berada lebih dekat dengan sumber bahan mentah utama,” katanya.

Benua Amerika menempatkan antara pengeluar tembaga terbesar dunia termasuk AS, Kanada, Peru dan Chile, sekali gus memberikan kelebihan dari segi kedudukan strategik bagi menyokong operasi pengeluaran syarikat.

Penyenaraian yang dirancang di Nasdaq dijangka mengukuhkan pengiktirafan jenama Vertex Material di peringkat global serta menyediakan akses kepada modal bagi membolehkan syarikat memperluas kapasiti pengeluaran di AS dengan lebih pantas.

Maklumat lanjut mengenai pembangunan kemudahan pembuatan yang dicadangkan di AS serta rancangan pasaran modal bagi 2027 akan diumumkan apabila perincian berhubung kedua-dua perkara itu dimuktamadkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×