TUMPAT: Impian seorang anak nelayan melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor mungkin berkubur memandangkan keluarganya tidak mempunyai wang mencukupi untuk menyediakan keperluan pengajian.
Nur Jannatul Sofea Rusdi, 20, yang sepatutnya melaporkan diri dalam tempoh seminggu lagi, bimbang impiannya itu terpaksa dilupakan akibat kekangan kewangan keluarga.
Katanya, pendapatan keluarganya yang tidak menentu menyukarkan ibu bapanya menyediakan perbelanjaan bagi membolehkan dia memulakan pengajian di universiti.
“Yuran pengajian, pakaian dan komputer riba selain pengangkutan perlu disewa untuk menghantar saya ke sana kerana kereta kami uzur.
“Semua itu memerlukan wang beribu-ribu ringgit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Pantai Geting, di sini, semalam.
Nur Jannatul Sofea berkata, kekangan kewangan itu turut menyebabkan ibunya, Hasnah Salleh, 58, pada awalnya melarangnya meneruskan pengajian kerana bimbang tidak mampu menanggung keperluannya sepanjang berada di Shah Alam.
“Ibu bimbang tidak dapat menghantar wang saku apabila saya belajar di sana nanti. Mungkin yuran pendaftaran sebanyak RM798 dapat kami jelaskan tetapi bagaimana pula dengan belanja makan saya setiap bulan di sana nanti?” ujarnya.
Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, nasihat jiran dan saudara-mara akhirnya mengubah fikiran kedua-dua ibu bapanya untuk membenarkannya meneruskan pengajian.
Katanya, peluang itu sangat bermakna kerana dia adalah anak pertama dalam keluarga berkenaan yang mendapat tempat di universiti.
“Ayah, Rosdi Amjah, 63, dapat menyediakan yuran pengajian sebanyak RM798 yang perlu dijelaskan sebelum hari pendaftaran.
“Bayaran yuran itu adalah duit bantuan awal ke institusi pengajian tinggi (IPT) kerana keluarga saya berdaftar dalam sistem eKasih. Cuma pakaian dan keperluan lain belum dibeli. Ayah dan ibu juga masih buntu untuk menyewa kereta,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Nur Jannatul Sofea boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0301741100078865 atas nama Nur Jannatul Sofea Rusdi.-UTUSAN










