Dianggap ‘pelik’ kerana lukisan seram

Dianggap ‘pelik’ kerana lukisan seram

koleksi lukisan seram air tangan Aiman Zamri.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lukisannya yang sering menampakkan wajah-wajah aneh, mata tajam seolah-olah sedang memerhati dan contengan pelik pasti membuatkan sesiapa sahaja meremang bulu roma.

Walaupun ada yang menyifatkan lukisannya agak menakutkan, karya-karya Aiman Zamri tetap mampu memikat pandangan ramai.

Malah, hasil seninya turut dipuji kerana memiliki keunikan tersendiri.

Pelukis berusia 29 tahun itu berkata, lukisan yang dihasilkan dipengaruhi oleh sentuhan seni surealisme dan abstrak iaitu dua aliran yang amat dekat di hatinya dan paling digemari.

Seni surealisme merujuk kepada gaya atau pendekatan dalam seni yang menekankan unsur khayalan, alam bawah sedar, mimpi dan sesuatu yang luar daripada realiti biasa.

Ia sering menampilkan gambaran pelik, ganjil atau tidak logik namun tetap mempunyai makna tersirat yang mendalam.

Antara karya uniknya yang tular baru-baru ini ialah sebuah potret bertajuk The Guardian, yang diinspirasikan daripada mata burung hantu.

Lukisan itu mengundang rasa seram dan misteri, sekaligus mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

Ada yang menyamakan imej potret tersebut dengan wajah lembaga atau hantu raya.

Namun bagi Aiman, seni lukis bukan sekadar sesuatu yang cantik dan enak dipandang, sebaliknya medium untuk mencurahkan rasa dan menyampaikan emosi terdalam.

“Apabila melihat lukisan sebegitu, kadang-kadang orang salah faham dan menganggap lukisan itu lambang saya ada masalah emosi dan tekanan jiwa.

“Namun, karya-karya yang hasilkan ini cuma melambangkan ekpresi perasaan manusia yang normal seperti sedih, takut dan cemas, “ katanya kepada Utusan Malaysia.

DIHUJANI KOMEN NEGATIF

Biarpun hanya berkongsi minat melukis di media sosial, pemuda ini tidak terlepas daripada menerima pelbagai komen, termasuk yang berbaur negatif dan jelik terhadap hasil seninya.

Walaupun ada yang memuji keunikan karyanya, tidak kurang juga yang secara berseloroh menyamakan lukisan-lukisannya dengan wajah individu tertentu.

Namun, setiap komen yang diterima sama ada kritikan pedas atau pujian membina menjadi pemangkin semangat untuk terus berkarya dengan lebih berani dan kreatif.

Selain The Guardian, Aiman turut menghasilkan beberapa lukisan lain yang menampilkan wajah-wajah bertindan yang melambangkan kepelbagaian emosi manusia.

Reaksi orang ramai terhadap karya-karya unik, pelik dan menyeramkan Aiman juga sangat berbeza.

Ada yang merasa takut, ada yang kagum dan tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan pengalaman peribadi masing-masing.

“Setiap individu akan mentafsir lukisan saya mengikut pengalaman hidup sendiri. Daripada situ kita dapat lihat seni itu benar-benar hidup,” ujarnya.

Buat masa ini, Aiman belum berhasrat untuk menjual lukisan surealisme bersaiz besar yang dihasilkannya kerana ia merupakan antara koleksi karya peribadi yang paling dekat di hatinya.

JANA PENDAPATAN

Namun, Aiman menjual karya seni genre lain yang dihasilkan untuk menjana pendapatan.

Menurut Aiman, harga setiap lukisan yang dijualnya berbeza-beza, bergantung kepada saiz dan tahap kerumitan.

Tempoh menyiapkan sebuah lukisan bersaiz besar, kadangkala boleh mengambil masa sehingga seminggu.

Katanya, lukisan bersaiz lima kaki dijual pada harga antara RM6,000 hingga RM7,000, manakala karya bersaiz kecil biasanya bermula sekitar RM450.

Sebelum ini, Aiman banyak mempamerkan karyanya di galeri seni.

Namun kini, dengan peluang yang semakin terbuka dan namanya yang makin dikenali, dia aktif menjual karya melalui platform media sosial.

Selain menghasilkan lukisan berkonsepkan surealisme, Aiman turut menerima tempahan khas seperti potret perkahwinan, lukisan pemandangan dan haiwan peliharaan.

Meskipun secara peribadi dia lebih cenderung kepada karya berunsur ekspresif dan tidak terlalu ‘indah’ pada pandangan umum, Aiman tetap komited untuk memberikan hasil terbaik kepada setiap pelanggan.

“Bagi projek seperti potret perkahwinan, masa yang diambil biasanya lebih singkat. Dalam masa sama, saya juga pastikan hasilnya kemas dan tidak comot seperti teknik yang saya gunakan dalam lukisan surealisme,” jelasnya.

Aiman turut berkongsi impiannya untuk memiliki sebuah studio seni sendiri suatu hari nanti.

Buat masa ini, dia selesa melukis di ruangan kecil di kediamannya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×