Bunga Raya diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Malaysia pada 28 Julai 1960 oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Sempena bulan kemerdekaan, keanggunan simbol identiti negara ini juga boleh disingkap menerusi lensa fotomikrografi dalam dunia mikrokosmos.
Dahulu, fotomikrografi sekadar merakam rujukan sains. Kini, ia diangkat sebagai karya seni halus yang membangkitkan emosi estetika serta menyampaikan keindahan alam.

Sebagai contoh, rakaman imej struktur debunga, tekstur urat kelopak, dan stamen Bunga Raya memaparkan keunikan seni geometri yang sangat luar biasa, membuktikan bahawa perincian terkecil warisan kebangsaan kita menyimpan visual yang sungguh memukau.
Untuk merakam misteri ini, Jurufoto boleh menyambungkan kamera DSLR atau tanpa cermin secara terus kepada mikroskop. Proses dilakukan melalui port trinokular menggunakan penyesuai cincin berserta lekapan, atau sekadar menumpang lubang intip mata okular.

Teknik pendedahan sensor tanpa lensa ini membolehkan imej mikroskopik Bunga Raya dirakam dengan jauh lebih tajam berbanding telefon pintar.
Namun, proses ini memerlukan kesabaran. Jurufoto perlu menggunakan tetapan manual, melaras fokus melalui paparan skrin, dan mengekalkan kepekaan cahaya minima untuk memelihara perincian halus flora.

Memandangkan pembesaran skala mikroskopik sangat sensitif, penggunaan pemasa pengatup amat kritikal bagi mengelakkan sebarang gegaran halus yang merosakkan kualiti gambar.
Kesimpulannya, keunikan sebuah karya seni fotografi tetap bergantung sepenuhnya kepada bakat, tahap kemahiran, dan kehebatan kreativiti seorang jurufoto itu sendiri.

Kepekaan seni dan visual mereka amat berharga bagi memastikan masyarakat kita semua tidak akan pernah kehilangan rasa takjub mendalam terhadap misteri serta keagungan ciptaan alam mikroskopik, terutamanya pada helaian kebanggaan negara kita iaitu Bunga Raya.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Fotografi dan Pengimejan Kreatif Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Perak.









