Bilik, Van Saksi Kanak-kanak bantu mangsa beri keterangan

Bilik, Van Saksi Kanak-kanak bantu mangsa beri keterangan

BILIK saksi kanak-kanak ini dibuat berasingan supa membolehkan mereka memberikan keterangan secara lebih tenang tanpa sebarang tekanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Sebelum ini, tirai atau papan penghadang akan diletakkan di antara mangsa dan tertuduh supaya mangsa tidak dapat melihat pelaku.

“Tetapi terdapat keadaan yang mana tertuduh akan berdehem atau mengetuk jarinya berulang kali dan mangsa yang mendengar akan tahu tertuduh ada dalam bilik yang sama dan mula menjadi takut untuk memberi keterangan,” katanya.

Itu yang diceritakan Timbalan Pendaftar Pejabat Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya, Zuhair Rosli berkenaan punca sabitan terhadap kes jenayah seksual kanak-kanak sering menemui jalan buntu.

Katanya, persekitaran atau suasana yang tidak selesa membuatkan mangsa atau saksi kanak-kanak sukar mengungkapkan kebenaran sehingga pelaku tidak mendapat hukuman setimpal.

Buktinya, sejak 2022, terdapat peningkatan ketara jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Namun, jumlah sabitan terhadap kes-kes itu tidak sampai separuh daripadanya.

Menurut rekod Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula, statistik bagi kesalahan jenayah seksual kanak-kanak bagi tahun 2024 menunjukan daripada 3,15 kes yang dilaporkan, hanya 1260 kes sahaja yang disabitkan dengan kesalahan.

Kini, kewujudan bilik dan Van Saksi Kanak-Kanak atau Vehicle for Nationwide Justice (VNJ) mula merubah senario tersebut.

Katanya, mangsa atau saksi dilihat lebih selesa kerana berada dalam persekitaran yang lebih santai dan tidak terlalu serius.

Tambahnya, selagi mangsa atau saksi tidak mencecah genap umur 18 tahun, mereka boleh memohon melalui pihak pendakwaan untuk menggunakan kemudahan tersebut.

“Di bilik saksi, mangsa akan duduk dalam bilik khas dan ditemani oleh pegawai perhubungan mangsa (Victim Liaison Officer (VLO) atau sekiranya perlu, ditemani oleh pakar kanak-kanak ketika memberi keterangan.

“Mangsa tidak akan melihat langsung saksi atau tertuduh kecuali untuk pengecaman. Mangsa akan memberi keterangan dengan cara sendiri. Mereka boleh memberi keterangan secara lisan atau dalam keadaan bercerita atau ada yang `bercerita’ sambil melukis.

“Pendamping atau ahli keluarga mangsa yang menemani akan berada di luar bilik khas tersebut. Jika perlu berehat, terdapat bilik rehat dilengkapi dengan katil untuk mangsa. Terdapat juga permainan, buku untuk kanak-kanak supaya mereka tidak berasa tertekan,” katanya yang turut memberitahu kemudahan yang sama turut disediakan dalam VNJ.

RUANG PERLINDUNGAN

Di sebalik rupanya yang sederhana, VNJ membawa misi besar iaitu menjadi ruang perlindungan bergerak buat saksi dan mangsa kanak-kanak dalam kes jenayah seksual.

Inisiatif unik oleh pihak kehakiman itu diwujudkan bagi memastikan proses pengambilan keterangan terhadap mangsa bawah umur dilakukan dalam suasana lebih mesra, selamat dan bebas tekanan seperti di bilik mahkamah konvensional.

Ruang dalaman VNJ direka khas menyerupai bilik permainan kanak-kanak, lengkap dengan warna lembut, perabot bersaiz kecil dan suasana santai.

Menariknya, van ini boleh digerakkan ke mana-mana lokasi mengikut kesesuaian dan permohonan saksi atau mangsa sebelum dihubungkan terus ke bilik mahkamah melalui sistem dalam talian, membolehkan sesi keterangan diberikan melalui siaran langsung video tanpa perlu saksi hadir secara fizikal di mahkamah.

“Ada saksi atau mangsa yang memohon untuk memberi keterangan dalam van ini yang diparkir di rumah bapa saudaranya yang merupakan satu kawasan perumahan berpagar. Ada juga keadaan VNJ diletakkan di sebelah bengkel bagi mendapatkan kuasa elektrik.

“Sekiranya kawasan yang dicadangkan tidak sesuai, VNJ akan diletakkan di balai polis berdekatan. Apa yang penting ialah, saksi rasa selamat dengan keadaan sekeliling.

“Ada satu kes yang mana mangsa berusia belasan tahun tidak dapat memberikan keterangan walaupun telah hadir ke mahkamah sebanyak tiga kali. Pada prosiding berikutnya, mangsa dibawa ke dalam VNJ dan akhirnya berjaya memberi keterangan tanpa sebarang masalah,” kata Zuhair.

Antara elemen penting dalam bilik dan van ini ialah penggunaan patung anatomi sebagai alat bantu semasa sesi keterangan yang membolehkan mangsa menjelaskan semula situasi yang dialami tanpa perlu menyebut butiran yang sukar atau memalukan.

Satu set terdiri daripada 10 patung pelbagai peringkat usia dan jantina, bermula daripada bayi, kanak-kanak, remaja hingga warga emas.

Lebih menarik, patung itu direka oleh tukang jahit tempatan dengan kos RM12,000 satu set, jauh lebih rendah berbanding RM30,000 bagi set import sebelum ini.

Setiap patung dibentuk dengan anatomi manusia sebenar bagi membantu saksi kanak-kanak menunjukkan dengan lebih jelas bahagian tubuh yang terlibat semasa kejadian, sekaligus mengurangkan risiko salah tafsir keterangan.

VNJ juga dianggap inovasi pertama seumpamanya di Asia Tenggara, malah telah menarik perhatian negara luar termasuk Australia turut datang meninjau pelaksanaannya di Malaysia.

Buat masa ini, hanya satu VNJ dan satu lori mahkamah bergerak dioperasikan bagi seluruh negara, masing-masing digerakkan mengikut keperluan mahkamah di negeri-negeri.

Turut disediakan bersama-sama dua unit itu ialah tiga kenderaan VMR (Vehicle Meaningful Redress) yang digunakan untuk membawa saksi atau mangsa kanak-kanak dan pendampingnya ke mahkamah terutamanya bagi yang mengalami masalah berhubung pengangkutan.

Menerusi Belanjawan 2026, Jabatan Kehakiman menerima peruntukan RM12 juta yang akan digunakan untuk menyediakan sebuah VNJ dan sebuah lori mahkamah bergerak bagi setiap negeri dan zon kecuali Sabah dan Sarawak yang masing-masing akan menerima empat kenderaan terbabit (dua VNJ dan dua mahkamah bergerak).

Apabila pelan itu direalisasikan kelak, VNJ bukan sekadar sebuah van, ia simbol keadilan yang bergerak ke setiap penjuru negara, membawa harapan setiap suara kecil akan tetap didengari dengan penuh empati dan hormat.

Mahkamah bergerak berbeza daripada tujuh tahun lalu

Sementara itu, menyentuh mengenai Mahkamah Bergerak itu pula, Pengarah Bahagian Pembangunan Strategik Latihan dan Komunikasi Korporat, Diana Md. Razali berkata, konsep Mahkamah Bergerak terkini jauh berbeza dengan konsep mahkamah bergerak yang diperkenalkan sekitar 2018 oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum.

“Mahkamah bergerak sebelum ini lebih kepada menjalankan kerja-kerja seperti urusan pendaftaran kelahiran, urusan dokumentasi lain dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara.

“Bagaimanapun, konsep mahkamah bergerak terkini adalah sama seperti mahkamah yang kita semua ketahui. Prosiding mahkamah akan dijalankan dalam lori Mahkamah Bergerak tersebut. Mahkamah Bergerak ini juga telah digunakan untuk menjalankan prosiding ekoran mahkamah sedia ada sedang diubah suai,” katanya.

Kewujudan VNJ, VMR dan Mahkamah Bergerak akan mengangkat reputasi Badan Kehakiman dan menempa sejarah tersendiri dalam perundangan di negara ini.

Tidak mustahil, kewujudan jentera kehakiman ini akan meningkatkan jumlah sabitan dalam kes jenayah seksual kanak-kanak sekaligus membantu membendung peningkatan jenayah itu dan melindungi kanak-kanak di negara ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN