20 tahun abdi diri pada seni mural

20 tahun abdi diri pada seni mural

Marhaizan Mahayudin (kiri) bersama seorang guru di samping catan dinding bertemakan Sayangi Kanak-kanak, program advokasi sebuah agensi kerajaan sebuah sekolah menengah di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak beberapa dekad lalu, lukisan mural bukan sahaja penyeri landskap dan premis, tetapi hasil kreativiti berkenaan menjadi tarikan orang ramai khususnya di sekolah, pusat perniagaan dan kawasan tumpuan pelancong.

Pelukis mural, Marhaizan Mahayudin, 46, berkata, dia menjadikan karya seni itu sebahagian aktiviti kehidupannya sejak 20 tahun lalu sekali gus menyumbang pendapatannya untuk menyara keluarga yang tinggal di Kampung Kaki Bukit, Damak dekat sini.

Malah, namanya kini juga tidak asing lagi dalam seni lukisan mural di negeri Tok Gajah itu.

Dia mula berjinak dengan aktiviti seni lukis semasa belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Damak, Jerantut dengan hanya mengasah bakat menerusi bantuan guru untuk mempelajari teknik campuran warna.

Lama kelamaan, bakat serta seni kreatifnya digilap menerusi kesungguhannya bermain dengan lakaran yang kemudiannya dipalit dengan campuran warna menghasilkan catan pemandangan alam sekitar kampung kelahirannya di Damak.

Katanya, minat serta kesungguhannya dibawa ke alam remaja apabila belajar di sebuah sekolah menengah di bandar Jerantut sehingga memperoleh gred A dalam mata pelajaran lukisan peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selepas sekolah, bakat melukis mula beralih kepada seni mural bersama rakan pelukis jalanan di Pahang.

Marhaizan berkata, tujuannya menyelami dunia lukisan mural untuk menarik minat orang ramai serta pelancong mengenai makanan tempatan dan alam sekitar yang menarik di Jerantut khususnya Taman Negara

Kuala Tahan, bunga Rafflesia di Sungai Rengat, Gunung Benum, Lata Meraung dan beberapa tempat lain.

“Saya dilahirkan di daerah ini yang kaya dengan alam sekitar. Sewajarnya idea ditumpahkan dalam bentuk catan di dinding (mural) sekali gus berperanan sebagai ejen promosi bidang kesenian, budaya setempat dan lokasi pelancongan di sini kepada orang luar,” katanya.

TEMA MAKANAN

Jejakan ini kerap diminta oleh pengusaha kedai makan melukis mural bertemakan makanan yang dijual sekali gus menarik pelanggan berbelanja.

Karya seninya yang halus dengan pemilihan warna yang sempurna seringkali menampilkan kelainan pada dinding premis perniagaan.

“Saya pernah melukis mural bertemakan ayam apabila diminta oleh seorang peniaga ayam gepuk di Terminal Bas bandar Jerantut dalam bentuk seni kontemporari, iaitu berasaskan animasi sebuah siri kartun kanak-kanak yang disiarkan di televisyen.

“Pengusaha kedai makan itu meminta saya melukis mural berkonsepkan kartun seekor ayam menunjukkan isyarat ‘bagus’ sambil memegang seulas sebiji cili merah melambangkan cita rasa pedas resipi (makanan) ayam gepuk dan juga logo kedai berkenaan,” katanya.

Katanya, bertemakan ‘Pencinta pedas berani cuba’ dengan palitan warna yang terang nampaknya memuaskan hati peniaga berkenaan malah, mata pelanggan yang datang berbelanja tertancap di dinding lot kedai ini dan cukup teruja dengan mural tersebut.

Seterusnya, dia diminta oleh pihak sekolah, kelas tadika, kafe, agensi kerajaan, rumah dan sektor swasta di sekitar daerah Bandar Pusat Jengka dan Lipis untuk menghasilkan catan dinding bertemakan peranan agensi berkenaan, pendidikan, hiburan dan sebagainya.

“Sebelum mula melukis, saya berbincang dengan pelanggan mengenai tema terlebih dahulu serta konsep catan berkenaan iaitu seperti pemandangan, figura, abstrak, corak, kartun, grafiti, doodle dan sebagainya,” katanya.

KONGSI MINAT SAMA

Tambahnya, isterinya, Norhidayu Idarni Hussin, 41, yang juga sealiran dengannya turut membantu sehingga mampu menyiapkan sebuah mural dalam tempoh antara tiga hingga lima hari bergantung ruang (saiz) mural berkenaan.

“Saya tidak mementingkan sangat mengenai upah, tetapi hasrat utama untuk mendidik masyarakat dan pelajar mengenai bidang lukisan mural sebagai wadah menyebarkan pelbagai maklumat dalam bentuk kreativiti dan makna yang tersirat,” katanya.

Marhaizan berkata, dia berpuas hati kerana dapat membantu peniaga, sekolah, agensi kerajaan, pusat pelancongan mempromosi jenama masing-masing melalui mural dan pada masa yang sama menarik pengunjung ke Jerantut yang kaya dengan budaya, alam sekitar yang indah dan pelbagai jenis makanan tempatan.

Tambahnya, sebagai penggiat seni, jiwanya lebih tenang dan selesa apabila matanya tertancap pada keindahan palitan warna selepas selesai menyiapkan lukisan mural.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN