Selamat tinggal Britain, Ed Sheeran bakal berhijrah ke Amerika - Utusan Malaysia

Selamat tinggal Britain, Ed Sheeran bakal berhijrah ke Amerika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bintang pop terkenal Britain, Ed Sheeran bersedia membuka lembaran baharu dalam hidup dan kariernya.

Selepas melancarkan dua album akustik Subtract dan Autumn Variations pada 2023, penyanyi berusia 34 tahun itu kini tampil dengan album kelapan bertajuk Play sebuah karya yang menandakan permulaan era segar selepas lebih sedekad bersama siri album bertema matematik.

Dalam temu bual bersama Two Johnnies Podcast, Sheeran mendedahkan bahawa dia merancang untuk membawa keluarganya berpindah ke Amerika sempena jelajah baharu di sana.

Malah, dia tidak menolak kemungkinan menetap kekal di negara tersebut, meninggalkan kampung halamannya di Suffolk, England.

Album Play dilihat sebagai kepulangan Sheeran ke dunia pop besar dengan pengaruh muzik global.

Selain kembali menampilkan gaya klasiknya dengan vokal dan gitar, penyanyi Shape of You itu turut bereksperimen dengan bunyi bhangra serta lirik dalam bahasa Hindi dan Farsi.

Antara yang menarik perhatian ialah Sapphire, duet bersama bintang India Arijit Singh, serta Azizam (bermaksud “sayang” dalam bahasa Farsi), sebuah lagu funky dengan sentuhan elektronik, percussive India dan instrumen Iran.

Berbeza dengan nada suram dalam karya terdahulu, Play membawa mesej lebih positif dan penuh harapan.

Sheeran mengimbangi pengalaman peribadinya termasuk kehilangan sahabat baik Jamal Edwards serta kesihatan isterinya Cherry Seaborn sebagai semangat mencari sinar baru dalam hidup.

Peminat lama tetap dapat menikmati lagu beremosi khas Sheeran seperti Old Phone, yang menceritakan kesedihan apabila menemui mesej lama daripada bekas kekasih, serta Camera, sebuah balada berjiwa besar yang berpotensi menjadi anthem arena.

Walaupun terdapat lagu sentimental seperti In Other Words, Play secara keseluruhannya diyakini sebagai kemunculan semula yang segar, penuh emosi, dan mudah diingati.

Jika benar Sheeran memilih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Britain, bintang pop itu pastinya akan menutup bab lama dengan penuh bergaya sebelum membuka kisah baru di seberang Atlantik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN