Kerap pening, sakit perut petanda anak dibuli

Kerap pening, sakit perut petanda anak dibuli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perubahan sikap remaja sering kali menjadi tanda tanya buat ibu bapa. Ada waktunya, perubahan itu berpunca daripada tekanan akademik atau masalah peribadi, namun tidak mustahil juga ia merupakan tanda awal anak dibuli.

Bezanya sangat halus, tetapi jika diperhatikan dengan teliti, ibu bapa sebenarnya boleh mengesan perbezaan antara kedua-duanya.

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, buli biasanya meninggalkan kesan yang lebih jelas daripada segi tingkah laku dan emosi.

Individu yang menjadi mangsa sering menunjukkan ketakutan yang berulang apabila perlu ke tempat tertentu seperti sekolah, asrama atau kelas kokurikulum.

Rasa takut ini biasanya berkait rapat dengan individu atau kumpulan yang cuba dielakkan.

Manakala, tekanan akademik pula lebih terserlah ketika hampir waktu peperiksaan, apabila tugasan menimbun atau berasa kegagalan dalam subjek tertentu.

Kebimbangannya lebih bersifat situasi pembelajaran, bukannya sosial.

“Daripada sudut fizikal, tanda buli seperti ada lebam, calar atau pakaian koyak tanpa penjelasan yang masuk akal. Kadangkala barang peribadi seperti buku atau duit sering hilang atau rosak.

“Sebaliknya, tekanan akademik jarang meninggalkan kesan kecederaan fizikal, namun ia boleh menjejaskan kesihatan dengan cara lain seperti sakit kepala, gastrik atau keletihan akibat stres berpanjangan,” katanya.

ASINGKAN DIRI
Perubahan dalam kehidupan sosial juga boleh menjadi petunjuk penting.

Mangsa buli cenderung menarik diri daripada rakan sebaya, enggan bergaul dan tiba-tiba hilang minat terhadap aktiviti sosial.

Mereka mungkin kelihatan sendirian di kantin atau kelas, malah kehilangan rakan rapat dalam masa singkat.

Sebaliknya, anak yang berdepan tekanan akademik biasanya masih bersosial, cuma masa mereka lebih terhad kerana sibuk belajar atau terlalu letih.

Aspek emosi pula memberi gambaran yang agak ketara. Mangsa buli sering pulang dalam keadaan murung, takut atau menangis selepas sekolah.

Mereka juga mungkin mengelak untuk bercerita apabila ditanya tentang pengalaman di sekolah.

Anak yang tertekan dalam akademik pula lebih kerap menunjukkan sikap mudah marah, cepat stres atau terbeban setiap kali isu pelajaran disentuh.

“Mangsa buli kerap berpura-pura sakit perut atau pening kepala setiap pagi, mencari helah untuk tidak hadir ke kelas atau meminta dipindahkan ke asrama lain.

“Sebaliknya, anak yang terbeban dengan akademik masih mahu ke sekolah, cuma mereka kelihatan penat dan terbeban,” ujarnya.

 

PERLU EMPATI
Ramai mangsa buli tak berani bercerita kerana takut dipersalahkan, dianggap lemah atau malu.

Cara guru, pensyarah atau ibu bapa mendekati boleh jadi penentu sama ada mereka terbuka atau terus memendam.

Ibu bapa jangan sesekali terus menyalahkan mereka dengan soalan seperti, “Kamu buat apa sampai orang buli?”

Soalan itu hanya akan membuatkan mereka semakin takut untuk berkongsi.

“Ibu bapa boleh memulakan perbualan dengan ayat sokongan, misalnya, “Saya nampak kamu kurang ceria sejak kebelakangan ini, ada sesuatu yang buat kamu takut di sekolah?”

“Masa dan tempat juga perlu sesuai. Jangan tanyakan isu sensitif di hadapan adik-beradik lain atau rakan sebaya kerana mereka mungkin berasa malu. Pilih ruang yang tenang dan peribadi.

“Lebih penting, jangan mendesak. Tunjukkan mereka ada kawalan sama ada mahu berkongsi sedikit atau banyak,” jelasnya.

Akhirnya, jangan teragak-agak melibatkan pihak sekolah atau kaunselor.

Kadangkala, ibu bapa tidak dapat melihat keseluruhan situasi.

Pengesahan daripada guru atau pensyarah boleh membantu menentukan sama ada masalah anak berpunca daripada akademik atau gangguan sosial.

Melalui komunikasi terbuka, empati dan sokongan praktikal, ibu bapa menjadi benteng pertama untuk melindungi anak-anak daripada kesan lebih serius akibat buli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN