Cara elak mabuk kepayang

Cara elak mabuk kepayang

Mohamad Anas Asyraf Mohd. Shafiee menunjukkan buah kepayang yang diperoleh dengan mengait di pokok hutan berdekatan Gua Bama, Kampung Relong, Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menurut kisah dahulu kala, buah kepayang pernah dimakan oleh Sang Kelembai sehingga memabukkan dan makhluk berkenaan kemudiannya berang lalu menyumpah binatang dan pokok berdekatannya menjadi batu.

Malah, buah berkenaan juga menjadi kiasan ‘Sayang-sayang buah kepayang, ditelan mabuk, dibuang sayang’ yang popular bagi orang yang mabuk bercinta.

Namun, berapa ramai yang mengenali buah kepayang?

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi penduduk di Kampung Relong, Lipis, buah kepayang (Pangium edule) atau buah keluak tidak asing bagi mereka, malah menjadi antara kudapan waktu petang atau ketika kenduri-kendara.

Dalam kalangan penduduk di Lipis, Raub dan Jerantut makanan tersebut dikenali sebagai ‘Cemang Kepayang’ atau juga disebut Cembang Kepayang.

Bahkan buah tersebut banyak terdapat di kawasan hutan paya bakau Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Indonesia dan Papua New Guinea yang diproses berdasarkan kan kemahiran penduduk tempatan sebagai makanan.

Buah kepayang memiliki rasa pahit dan memabukkan, namun boleh menjadi hidangan menyelerakan jika diproses dengan betul.

Penduduk Kampung Relong, Lipis, Mohamad Anas Asyraf Mohd. Shafiee, 27, berkata, dia mempelajari cara memproses buah kepayang daripada orang-orang tua di kampung itu .

“Isi kepayang yang siap diproses apabila dicampur (digaul) kunyit dan garam dikenali sebagai ‘Cemang Kepayang’ sedap dimakan, namun isinya perlu terlebih dahulu diproses untuk menghilangkan rasa mabuk.

“Malah, Cemang Kepayang boleh dikomersialkan dan banyak dijual di pekan sehari Padang Tengku, Kampung Relong dan bandar Kuala Lipis serta laris setiap kali jualan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tugas mengeluarkan isi kepayang dilakukan oleh kaum wanita sebelum direndam ke dalam air antara tiga hingga lima hari.

Kata Anas, kemahiran penduduk Kampung Relong memproses buah kepayang turut dimanfaatkan untuk tujuan perubatan, antaranya bagi menghasilkan minyak urut khusus untuk wanita bersalin tanpa menimbulkan sebarang komplikasi kesihatan.

“Pokok kepayang merupakan antara buah nadir yang diperoleh secara memanjat dan mengait. Ia boleh didapati dalam hutan berdekatan Gua Bama di kampung ini. Ketinggian pokok kepayang antara 20 hingga 25 meter menyamai pokok buah-buahan lain.

“Bentuk buah kepayang berwarna perang kemerahan sama seperti buah sukun, berukuran antara 15 hingga 30 sentimeter panjang dan mengandungi antara enam hingga lapan biji di dalamnya,” katanya.
Tambahnya, biji buah kepayang beracun dan tidak boleh dimakan secara mentah selain memabukkan.

Tetapi, sekiranya diproses sempurna, isinya antara makanan yang paling sedap ketika dimakan beramai-ramai selepas penat bekerja di kebun dan menyantuni tetamu.

Kata Anas, cara bagi menghilangkan rasa pahit dan racunnya, kepayang dikupas untuk mengambil bijinya dan kemudian direndam ke dalam air sungai atau bekas antara tiga hingga lima hari sebelum dibakar atau direbus untuk menghilangkan rasa pahit.

Kebiasaannya, penduduk Kampung Relong dan Padang Tengku merendam biji kepayang di dalam air selama tiga hari sahaja dan selepas itu isi buah berkenaan direbus selama kira-kira setengah jam dan dicampurkan asam keping serta garam untuk menghilangkan bau.

Selepas direndam dan direbus, isinya yang coklat kehitaman dihiris nipis-nipis.

“Saya dibantu oleh seorang jiran, Ros Suzaini Said dan rakannya menggoreng semula dengan mencampur sedikit kunyit dan garam sebelum dimakan.

“Cemang Kepayang dijual di pekan sehari kampung ini dengan harga RM10 sebekas dan RM5 sekilogram,” katanya.

Rasa Cemang Kepayang lemak dan rangup selepas digoreng dan sesuai dihidangkan bersama kopi.

Sementara itu, penduduk Kuala Telang, Lipis, Ahmad Nazree Shahbudin, 48, berkata, generasi muda jarang mengenali buah kepayang apatah lagi cara memproses dijadikan Cemang Kepayang.

“Buah ini cuma diperoleh di beberapa kampung sahaja kerana masih ada orang-orang tua yang mahir memproses.

“Buah kepayang juga cuma diperoleh di kawasan hutan tertentu di daerah ini kerana penebangan dan penerokaan hutan menyebabkan tumbuhan nadir ini mulai pupus,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini