PETALING JAYA: Penyanyi, Abby Abadi dikejarkan ke hospital usai malam konsert Elite gara-gara demam panas dan jangkitan Influenza, pada Sabtu lalu.
Menurut Abby, dia sudah mula berasa kurang sihat sejak hari jumaat lalu ketika menjalani sesi raptai namun, tetap cuba memberikan komitmen yang terbaik demi menjayakan konsert yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu.
“Selesai konsert malam itu tidak boleh tidur. Terus serah diri ke hospital. Tinggi ya demam saya. Panas dia cecah 40 celsius.
“Hasil ujian darah semua rupanya saya dijangkiti influenza,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads
Bimbang rakan seperjuangannya, kumpulan Elite serta artis jemputan, X-Factor dijangkiti, Abby bagaimanapun sempat memohon maaf selain yakin dirinya sudah lakukan yang terbaik pada malam konsert itu.
“Maaf kalau hilang fokus. Minta maaf pada semua yang terlibat terutamanya anggota Elite dan X Factor serta yang datang menyokong Konsert Elite ini.
“Masa sesi raptai sayalah orangnya. Tiba-tiba sehari sebelum konsert, Allah bagi demam. Saya yakin ada hikmah untuk saya.
“Sewaktu konsert saya dapat buat sekadar-sekadar saja. Nasib bahagian saya pun sikit saja,” jelasnya.
Dalam hantaran sama, Abby juga sempat menzahirkan ucapan terima kasih buat peminat yang sudi hadir memeriahkan konsert Elite kelmarin.
“Terpaksa berehat sekejap. Konsert pun sudah selesai. Semoga meninggalkan kenangan manis pada yang sudi hadir,” ujarnya.-UTUSAN










