Sungai Timun lubuk si sepit biru

Sungai Timun lubuk si sepit biru

MUHAMMAD Danial Hakimi Mohd. Nor, menunjukkan hasil tangkapan udang galah yang diperolehnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sungai Timun di Rembau menyimpan khazanah berharga iaitu udang galah yang menjadi rebutan kaki pancing sejak puluhan tahun lalu.

Sejak tahun 1980-an, nama destinasi ini sudah terkenal dalam komuniti memancing di seluruh negara sebagai lubuk ‘si sepit biru’.

Bukan sahaja kerana saiznya yang mampu mencecah sehingga 600 gram seekor, malah kerana isinya yang padat, manis dan tidak mudah hancur walaupun dimasak pada suhu tinggi.

Bagi kaki pancing, setiap tarikan tali pancing di sungai ini adalah debaran yang dinanti.

Justeru, tidak hairanlah, ramai yang sanggup datang ke sini walaupun lokasinya jauh semata-mata untuk merasai pengalaman memburu udang galah di Sungai Timun.

Seorang pemancing, Rosli Abu, 64, mula mengetahui tentang keunikan Sungai Timun sebagai lubuk ‘jenggo’ itu sejak awal 2000.

Kini, selepas bersara, hampir setiap dua hari sekali, dia akan turun memancing di Sungai Timun.

“Kalau kena air dan umpan, boleh dapat antara 10 hingga 20 ekor. Saya biasanya memancing dua hingga tiga jam sahaja tetapi kalau ‘bertuah’, hasilnya memang lumayan,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Nelayan Sungai Timun baru-baru ini.

Seorang lagi pemancing, Zainurin Samat, 64, berkata, walaupun hanya memancing dari tebing pengkalan, rezekinya kadang kala besar.

“Awal 1990-an dulu saya pernah dapat seekor udang galah lebih 200 gram. Memang seronok apabila dapat yang besar begitu. Sebab itu saya katakan Sungai Timun setaraf lokasi terkenal seperti Sungai Rompin di Pahang atau Sungai Muar di Johor,” ujarnya.

Menurut Zainurin, cabaran di sini adalah kesabaran kerana tidak semua hari membuahkan hasil.

Namun, bagi kaki pancing sejati, itulah nikmat sebenar memancing termasuk memburu udang galah.

Khairul Azwan Abu Hassan, 48, yang pertama kali datang bersama dua rakannya berkata, memancing di Sungai Timun bergantung kepada nasib.

“Baru 30 minit di sini, belum ada hasil, tetapi saya tahu sungai ni memang banyak udang galah, sebab ada buaya.

“Kata orang, kalau ada buaya, ada udang galah,” katanya berseloroh.

SUMBER REZEKI PENDUDUK

Namun, bagi penduduk setempat, udang galah Sungai Timun bukan sekadar buruan untuk hobi, tetapi juga sumber pendapatan utama.

Bekas Pengerusi Persatuan Nelayan Sungai Timun, Aripin Saleh, 50, berkata, nelayan di sini mampu membawa pulang tiga hingga empat kilogram setiap kali turun mencari rezeki di sungai.

“Harga sekilogram udang galah ialah RM80, tetapi kita tidak boleh jangkakan berapa banyak hasil setiap kali turun sebab bergantung kepada cuaca dan keadaan air.

“Kalau air besar, kami tidak turun,” jelasnya.

Tambahnya, dalam sebulan biasanya terdapat dua kali air besar serta dua kali air kecil dan nelayan akan merancang turun mengikut kitaran itu.

Malah Aripin turut menyediakan khidmat sewaan bot pada harga serendah RM20 hingga RM80.

Pada hujung minggu, katanya, lebih 30 pemancing menggunakan perkhidmatan tersebut.

CABARAN, ANCAMAN

Walaupun popularitinya masih tinggi, seorang nelayan, Mohd. Jalil Saru, 59, mengakui saiz udang galah di Sungai Timun kini semakin mengecil.

“Dahulu kami jual RM70 atau RM80 sekilogram, tetapi apabila udang makin kecil, susah hendak kekalkan harga.

“Sekarang kami gredkan A, B, C dan D. Gred D memang tidak dijual,” katanya.

Lebih membimbangkan, ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan perangkap dilarang seperti tangkul empat injap.

“Kalau guna tangkul itu, anak udang pun habis sekali. Lama-lama pupuslah dan benih pun tidak sempat besar,” katanya.

Seorang pengusaha bot sewa, Ramat Ali, 54, berkata, hasil tangkapan udang galah di Sungai Timun kini jauh berbeza berbanding dahulu.

“Dahulu satu hingga tiga ekor sudah cukup sekilogram. Sekarang hendak dapat sekilogram perlu lapan ekor.

“Udang benih yang baharu dilepaskan pun dalam 14 hingga 15 ekor baru cukup sekilogram,” katanya.

SUNGAI TIMUN NADI KEHIDUPAN

Bagi Ramat dan isterinya, Noor Arlina Arif, 48, Sungai Timun nadi kehidupan mereka.

Hampir setiap hari pasangan suami isteri itu berada di tebing sungai.

Ramat menguruskan bot sewa dan membaiki bot, manakala Noor Arlina pula mengusahakan gerai makan.

“Tempat ini cantik, bukan sahaja kerana tarikan udang galah, malah pelancong boleh lihat buaya dan kelip-kelip sambil menyusuri Sungai Linggi,” katanya.

Noor Arlina berkata, menu di gerai makan sentiasa mendapat sambutan, termasuk mi udang galah yang dijualnya pada harga serendah RM20.

Selain itu, menu udang galah masak lemak, sambal dan udang galah panggang juga antara yang digemari pelanggan.

“Saya juga mengambil upah memasak udang galah hasil tangkapan pemancing.

“Pernah pelancong dari Korea Selatan dan China meminta saya hanya memanggang udang galah sebab mereka hendak menikmati rasa asli isi udang galah di sini,” ujarnya.

ASET PENTING NEGERI SEMBILAN

Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe, Sungai Timun adalah habitat yang ideal untuk pembiakan udang galah.

“Udang galah di sini berkualiti tinggi, manis dan besar. Harganya boleh mencecah RM100 sekilogram, bergantung kepada saiz dan permintaan. Ia menjadi sumber utama pendapatan nelayan tradisional,” katanya.

Inventori pada 2022 mendapati sungai ini turut menjadi habitat kepada ikan baung sungai, baung akar, ikan duri, lampam jawa, keli afrika, haruan, ketutu, selat dan kitang.

“Berat udang galah yang direkodkan pula sekitar 80 hingga 150 gram seekor.

“Kami melaksanakan pelepasan benih udang galah secara berkala serta pemantauan kualiti air. Sasaran kami adalah meningkatkan pelepasan benih udang galah,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 1.5 juta benih udang galah telah dilepaskan sepanjang lima tahun di Sungai Timun dan Sungai Linggi.

Bagi Kasim, kejayaan memelihara populasi udang galah di Sungai Timun bergantung kepada kerjasama semua pihak iaitu nelayan, pemancing, komuniti setempat dan agensi berkaitan.

“Jika dikendalikan secara lestari, Sungai Timun bukan sahaja kekal sebagai lokasi pembiakan semula jadi, malah boleh menjadi pusat contoh komuniti perikanan moden berteraskan warisan tradisional,” katanya.

Bagi penduduk, Sungai Timun bukan sekadar sungai, tetapi warisan yang menghidupkan ekonomi dan menjadi simbol identiti daerah Rembau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN