Susu ibu bukan sahaja sumber pemakanan terbaik untuk bayi.
Aktiviti penyusan itu turut membawa pelbagai manfaat luar biasa kepada si ibu lebih-lebih lagi dari segi kesihatan fizikal dan emosi.
Pakar Obstretrik dan Ginekologi Ampang Puteri Specialist Hospital, Dr. Siti Farhana Md. Pauzi berkata, setiap kali ibu menyusukan anak, tubuhnya menghasilkan hormon oksitosin atau kasih sayang.
“Hormon ini bukan sahaja membantu mengecutkan rahim dengan lebih cepat selepas bersalin, malah ia memberi rasa tenang dan bahagia kepada ibu,” katanya.
Emosi ibu menjadi lebih stabil, tekanan pun berkurang, menjadikan momen penyusuan bukan sekadar rutin harian, tetapi saat istimewa yang mengeratkan hubungan jiwa antara ibu dan anak.
Selain itu, penyusuan membina hubungan unik antara ibu dan bayi.
Ia bukan sekadar sentuhan fizikal, tetapi juga satu ikatan emosi yang mendalam.
Bayi akan berasa selamat, manakala ibu pula lebih yakin dan dihargai.
Ini adalah asas kepada hubungan yang harmoni dan penuh kasih sayang sepanjang hayat.
Kebaikan penyusuan tidak terhenti selepas waktu menyusu berakhir.
“Kajian menunjukkan ibu yang menyusukan anak mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menghidap beberapa penyakit serius termasuk kanser payudara dan ovari, diabetes jenis 2 dan jantung.
“Penyusuan juga membantu ibu menurunkan berat badan secara semula jadi selepas bersalin,” ujarnya.
Proses itu membakar kalori tambahan, menjadikan penyusuan sebagai ‘senaman dalaman’ yang efektif untuk membantu ibu kembali ke bentuk badan asal.
Penyusuan bukan hanya tentang memberi makan kepada bayi, ia adalah anugerah yang menyatukan, menyembuhkan dan menguatkan.
Bagi para ibu di luar sana, setiap titisan susu bukan sahaja membesarkan si kecil dengan sihat, tetapi juga menjaga tubuh dan jiwa anda.
Raikan keindahan penyusuan ini sebagai salah satu pengalaman paling berharga dalam kehidupan seorang wanita.

VAKSIN SEMULA JADI
Sejak detik pertama kelahiran, bayi sangat memerlukan perlindungan dan penjagaan rapi.
Dalam keadaan tubuh yang masih lemah dan sistem imun belum matang, susu ibu bukan sahaja mengenyangkan, malah menjadi pelindung pertama yang dikurniakan secara semula jadi.
Kolostrum, iaitu susu awal yang dihasilkan selepas bersalin, berwarna kekuningan, lebih pekat dan kaya dengan antibodi.
Kata Siti Farhana, kolostrum bertindak seperti vaksin semula jadi yang melindungi bayi daripada pelbagai jangkitan.
Ia ibarat perisai pertama buat si kecil dalam menghadapi dunia luar yang penuh dengan cabaran dan bakteria.
“Apabila bayi jatuh sakit, badan ibu secara semula jadi akan mengubah komposisi susunya dengan menghasilkan lebih banyak sel imun dan antibodi untuk membantu bayi sembuh.
“Tindak balas dinamik ini adalah keunikan susu ibu yang tidak dapat ditiru oleh mana-mana susu formula,” katanya.
Susu ibu juga memainkan peranan penting dalam menyokong kesihatan usus bayi.
Ia membantu pertumbuhan bakteria baik yang sangat penting untuk penghadaman yang lancar dan mencegah jangkitan dari dalam.
Selain melindungi tubuh, susu ibu juga ‘makanan’ terbaik untuk otak bayi.
Kandungan DHA dan pelbagai nutrien penting dalam susu ibu menyokong pertumbuhan sel otak serta membantu meningkatkan keupayaan kognitif si kecil.
“Kajian juga menunjukkan anak yang diberi susu ibu mempunyai IQ yang lebih tinggi dan pencapaian akademik yang cemerlang,” ujarnya.
Penyusuan bukan sekadar proses memberi makan, ia adalah hadiah pertama yang paling bernilai daripada seorang ibu kepada anaknya.
Dengan setiap titisan, ibu bukan sahaja mengisi perut si kecil tetapi juga membekalkan kasih sayang, imuniti dan peluang untuk tumbesaran yang cemerlang.










