Melihat seni persembahan menora yang unik berasal dari Thailand dan dikenali di Kelantan membuatkan Datuk Dr. Lim Swee Tin, 73, jatuh cinta terhadap warisan masyarakat tersebut yang kini sudah berusia 800 tahun.
Tokoh Sasterawan dan Budayawan itu gemar mengikuti bapa saudaranya melihat persembahan menora sama ada di kampungnya atau di tempat lain sejak berusia 10 tahun.
Berbekalkan pengalaman itu, beliau sudah memahami pergerakan dan gaya persembahan menora dengan sendiri.
Katanya, persembahan menora dijadikan sebagai hiburan kepada masyarakat zaman silam, susulan kebanyakan orang tidak mempunyai televisyen mahupun radio untuk mengisi masa terluang.
“Namun, pada pertengahan era 70-an warisan budaya tersebut semakin suram dan kian menyepi ekoran dikuasai era hiburan moden.
“Hal ini membuatkan saya berniat untuk menghidupkan semula seni persembahan menora kepada masyarakat kita agar tidak dibiarkan pupus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Sesi Melukis Potret/Karikatur beliau yang berlansung di Studio Media Mulia Sdn. Bhd., baru-baru ini.
Persembahan Menora yang dibawa bersama kumpulannya sejak 2012 bertujuan memperkenalkan kembali khazanah seni persembahan tradisional yang jarang diketengahkan kepada generasi muda kini.
Pada zaman dahulu, menora mempunyai banyak pantang larang.
Antaranya, melarang wanita naik ke atas panggung kerana dipercayai akan terkena bacaan mantera, malah elemen moden seperti lampu hiasan dan muzik juga tidak digalakkan.
Namun, beliau mula mengaplikasikan elemen moden seperti penggunaan lampu hiasan moden dalam persembahan bagi menarik minat penonton muda.
SEJAM UNTUK PAKAI BAJU
Persembahan menora bukanlah sekadar untuk menyampaikan penceritaan semata-mata.
Sebaliknya, seni warisan tersebut harus dipersembahkan dengan elemen lengkap, iaitu merangkumi dialog puitis, gerak tari ritual dan iringan muzik tradisional yang dimainkan secara langsung.
Katanya, setiap kali sebelum mempersembahkan menora, beliau akan memakaikan solekan dan pakaian khas iaitu pakaian tradisional daripada negara gajah putih itu yang diperbuat daripada manik berwarna-warni dan berjurai.
“Untuk memakai pakaian khas pakaian menora, memerlukan masa sekurang-kurangnya satu jam kerana beberapa helaian busana tersebut perlu dilekatkan satu persatu menggunakan pin.
“Malah, ia perlu dibantu sekurang-kurangnya seorang pembantu, bagi memastikan pemakai selesa mengenakan pakaian tersebut semasa persembahan berlangsung,” katanya.
PENCAPAIAN LEBIH SEDEKAD
Kebolehannya memahami warisan menora mendorong beliau menghasilkan buku berjudul Menora: Seni Warisan Etnik Siam.
Penerbitan buku pengenalan mengenai Menora diharap dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang untuk menghargai serta meneruskan legasi budaya itu yang kian terpinggir.”
Salah satu pencapaian bermakna apabila berjaya mempersembahkan kesenian Menora di Dewan Tunku Abdul Rahman,Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), dalam satu pementasan berskala besar pada tahun 2018.
Selain itu, antara persembahan yang paling diingati ketika kumpulannya mempersembahkan Menora di atas kapal persiaran kecil menelusuri Sungai Melaka sekali gus menjadikan latar sejarah Melaka sebagai pentas semula jadi kepada warisan seni klasik.
Bersempena Festival Budaya Malaysia, beliau bersama kumpulannya bakal mempersembahkan pementasan Menora pada 12 dan 15 September akan datang.
Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu merupakan salah satu inisiatif penting dalam usaha memperjuangkan kesenian tradisional serta memperkukuh pendidikan budaya di Malaysia.-UTUSAN











