Lakaran visual spontan, AI kunci transformasi pendidikan negara

Lakaran visual spontan, AI kunci transformasi pendidikan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Sekeping gambar mampu menceritakan seribu makna.” Manakala lakaran visual pula mampu meringkaskan makna 1,000 patah perkataan.

Ungkapan ini sering kita dengar, tetapi hari ini ia mendapat makna baharu apabila digabungkan dengan kuasa Kecerdasan Buatan (AI). Dalam dunia pendidikan moden, visualisasi bukan lagi sekadar lakaran cantik di papan putih, sebaliknya ia menjadi jambatan komunikasi yang berkesan antara guru dan murid. Gambar digital adalah sumber visualisasi digital manakala lakaran manual adalah sumber visualisasi manual.

 

Visualisasi melalui lakaran (VTF)

Konsep Visualization Through Freehand (VTF) yang diperkenalkan oleh Dr. Ruzaimi Mat Rani membawa satu revolusi besar dalam dunia pengajaran. Dengan teknik mudah: observe, understand, create (OUC), guru dapat melakar idea, konsep sains, matematik, sejarah malah akhlak secara visual spontan. Konsep ini diterangkan secara terperinci dalam buku terbaru kami Profits from Visuals.

Apa yang menarik, murid melihat sendiri bagaimana sesuatu konsep abstrak diterjemahkan kepada bentuk visual yang ringkas. Kajian menunjukkan murid lebih cepat faham apabila konsep diajar melalui gambar, lakaran, bentuk, simbol, dan cerita visual. Seperti kata pepatah Arab, ‘ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah.’ Begitulah ilmu tanpa visualisasi mudah, sukar untuk dinikmati dan difahami.

 

AI, Rakan Maya Guru
Pada abad ini, penggunaan teknologi (AI) tidak boleh dipisahkan lagi. Saya memperkenalkan pendekatan AI sebagai ‘pembantu maya’ kepada guru untuk melengkapkan modul visual teachers. Melalui kerangka visual PIDO (parameter, instruction, details, output) yang saya bangunkan, guru boleh melatih AI untuk menilai lakaran visual mereka. Seterusnya memberi cadangan penambahbaikan dan mencadangkan cara visual itu digunakan dalam rancangan pengajaran harian.

Bayangkan seorang guru melakar kitaran air untuk murid Tahun 3. Dengan visual PIDO, guru boleh meminta AI memberi maklum balas: adakah lakaran jelas, menarik, relevan dengan tahap murid, dan mudah difahami? Dalam masa beberapa saat, ‘guru kedua’ iaitu AI sebagai pembantu maya dapat memberi komen membina, menjadikan perancangan proses pengajaran lebih dinamik dan berkesan.

 

Bukti Keberkesanan
Program visual teachers yang kami jalankan seluruh negara membuktikan keberkesanan pendekatan ini. Berdasarkan soal selidik yang dibuat ke atas 126 respondan, mereka berpendapat:

‘Murid lebih cepat faham bila menggunakan lakaran visual.’

80 hingga 90 peratus peningkatan keyakinan untuk melukis dan mengajar secara visual.

Statistik ini bukan sekadar nombor, tetapi cerminan keperluan sebenar guru dan murid hari ini.

Pandangan Islam tentang visual, ilmu
Al-Quran penuh dengan visualisasi. Allah SWT berfirman:

“Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah seperti sebatang pohon yang baik; akarnya teguh, cabangnya menjulang ke langit.”
(Surah Ibrahim: 24)

Ayat ini sendiri adalah gambaran visual, pohon yang berakar kukuh, bercabang tinggi, bagi memudahkan manusia memahami konsep iman. Rasulullah SAW juga bersabda: “Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat.” (Riwayat Bukhari). Menyampaikan ilmu dengan berkesan adalah amanah, dan lakaran visual adalah salah satu alat yang boleh mempermudahkannya.

 

Dari pengguna ke pencipta
Malaysia tidak boleh hanya menjadi ‘negara pengguna’ semata-mata. Kita mesti melangkah menjadi ‘negara pencipta’ idea, teknologi dan solusi. Melalui keupayaan lakaran visual spontan dan AI, kita bukan sahaja melahirkan murid yang kreatif, malah guru yang berani mencuba kaedah baharu.

Seperti kata pepatah Melayu, ‘tak kenal maka tak cinta.’ Bila guru mula melakar dan berinteraksi dengan AI, barulah mereka sedar betapa besarnya potensi kaedah ini dalam bilik darjah.

Seruan

Saya menyeru semua pendidik, ibu bapa, dan pembuat dasar untuk membuka mata terhadap kepentingan lakaran visual spontan dan AI dalam pendidikan. Jangan kita menunggu dunia bergerak jauh meninggalkan kita. Jadikan bilik darjah tempat di mana ilmu bukan sahaja didengar, tetapi dilihat, difahami, dan dihayati.

Bagi yang ingin mendalami, saya menjemput anda untuk membaca buku terbaru kami, Profits from Visuals, yang menghimpunkan pengalaman serta kaedah praktikal untuk menjadikan visual sebagai aset komunikasi. Sertailah juga program latihan visual Teachers yang telah membuktikan keberkesanannya dalam membina keyakinan guru dan mempercepatkan kefahaman murid.
mula hari ini untuk masa depan cemerlang

Masa depan pendidikan terletak pada keberanian kita berinovasi. Lakaran visual spontan yang dicadangkan oleh Dr Ruzaimi adalah kombinasi kreatif dan logik. Manakala kerangka visual PIDO yang dicadangkan oleh saya adalah penggunaan teknologi AI untuk menjadi agen semak dan imbang tentang lakaran visual spontan yang dihasilkan.

Tujuan utama adalah untuk membantu kita termasuk guru dan pelajar menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan dinamik. Apabila hal ini berlaku, kefahaman terhadap sesuatu ilmu akan meningkat dan akhirnya membantu kita untuk mencipta idea-idea baharu.

Bila kreatif dan logik digabungkan, lahirlah pendidikan yang lebih bermakna, berkesan, dan relevan. Mari kita jadikan Malaysia bukan sekadar negara pengguna, tetapi negara pencipta ilmu dan teknologi. Kerana akhirnya, setiap yang baik pasti akan berbuah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN