ANTARA pelanggan terawal yang menyokong pembabitan wanita ini dalam bidang pembuatan kek ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ketika itu, perniagaan Rina Nornahningsih Rahman, 47, hanya beroperasi dari rumah sebelum nekad membuka kafe CantekSekali di bandar Kuala Terengganu.
Sehingga kini, kek victoria sandwich air tangannya kekal menjadi kegemaran baginda.

Malah, keenakan resipi sentuhan ibu kepada tiga anak berusia antara 18 hingga 23 tahun ini, turut memikat keluarga Diraja Pahang.
Dia diberi kepercayaan untuk menyediakan hidangan pencuci mulut semasa istiadat perkahwinan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar.
Disusuli dengan istiadat perkahwinan Putera Diraja Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan pada Oktober tahun lalu.
Menu itu ialah kek mini chai tea, tiramisu, j-pop, panna cotta raspberi dan markisa, kek keju, victoria sandwich, mousse coklat serta pai banofee.
Di samping mousse mentega kacang coklat, biskut nutella red velvet, kunafa coklat tat serta pelbagai kek cawan seperti coklat, sirap bandung, onde dan solero.
“Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merupakan pelanggan tetap di CantekSekali dan peluang yang diberikan baginda itu merupakan satu penghargaan besar buat saya serta pasukan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menceritakan penglibatannya dalam dunia bakeri, Rina Nornahningsih berkata, ia bermula sejak dua dekad lalu.
Ketika itu, dia hanya sekadar mahu mengisi masa lapangnya sebagai suri rumah.
“Sebelum ini saya merupakan pegawai perhubungan awam di Kedutaan Australia, tetapi saya lepaskan kerjaya itu demi mengikut suami pulang ke Terengganu pada 2003.
“Dua tahun saya jadi suri rumah sepenuh masa dan saya terfikir, kenapa tak cuba jual kek. Lagipun, saya memang suka baking sejak dari dulu,” kata lulusan perakaunan dari Dublin Business College, Ireland ini.
Di peringkat awal, dia hanya menggunakan ketuhar kecil yang dimenangi suaminya dalam satu cabutan bertuah.
Siapa sangka, ketuhar kecil itu menjadi pemangkin kepada eksperimen pertamanya dalam dunia pastri yang kemudiannya membuka jalan kepada kejayaan luar biasa.
“Saya guna oven kecil tu untuk buat pelbagai kek dan kek cawan.
“Barang-barang pun dibeli berperingkat berbekalkan duit pulangan jualan kek,” jelasnya.
Selain membuat kek, anak jati Sabah ini juga aktif menjual tudung dan membuat hantaran perkahwinan secara kecil-kecilan.
Minatnya dalam dunia bakeri diperkukuh lagi melalui pembacaan blog, perkongsian rakan dan proses R&D yang berterusan.
“Saya memang suka baking sejak dulu, tapi tak pernah tengok ia sebagai kerjaya tetap. Bila tiada kerja, saya fikir, kenapa tak cuba jual kek?” kata lulusan perakaunan dari Dublin Business College, Ireland ini.

Hasilkan lebih 100 jenis kek sehari
Melihat kepada permintaan yang semakin meningkat, dia akhirnya merealisasikan impian untuk membuka CantekSekali Studio Cafe.
Pada 2009, jenama itu mula mencuri perhatian bukan sahaja dalam kalangan pelanggan tempatan, malah berkembang ke luar negara.
Ia susulan kelas-kelas bakeri yang dianjurkannya.
Rina Nornahningsih mula menerima tempahan daripada pelanggan luar secara lebih serius.
Malah, dia turut menerima jemputan mengajar di Jakarta, Surabaya dan Singapura.
Kini, kafe tersebut menggaji 28 kakitangan termasuk pelatih industri dari institusi pengajian tinggi (IPT) dan turut berfungsi sebagai pusat latihan serta pengeluaran produk bakeri.
Studio itu dibahagikan kepada empat bahagian utama iaitu dapur pastri, kek, produksi dan bahagian pengurusan.
Setiap hari, lebih 100 jenis kek, pastri dan makanan dihasilkan menggunakan bahan berkualiti.
“Setiap bulan kami juga ada lancarkan menu baharu yang istimewa.
“Kami sangat menjaga kualiti dan kesegaran, jadi semua dibuat in-house,” katanya.
Meskipun tiada sijil profesional dalam bidang bakeri, Rina Nornahningsih membuktikan yang kredibiliti boleh dibina dengan kesungguhan dan minat mendalam.
Dia tidak jemu mencuba teknik baharu dan percaya kepada proses pembelajaran sepanjang hayat.
“Resepi saya semua hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri. Saya tak malu untuk belajar daripada sesiapa,” jelasnya.
Usahawan ini juga sering dijemput Kementerian Pendidikan untuk melatih guru vokasional berkaitan keusahawanan dan kemahiran bakeri.
“Saya sangat terbuka untuk berkongsi. Ada staf saya yang sudah buka kafe sendiri, ada yang berjaya dalam perniagaan kek. Saya turut gembira dengan pencapaian mereka,” katanya.

Wanita Jangan takut bermula
Rina Nornahningsih percaya rezeki bukan hanya datang dari gaji bulanan.
Kadang-kadang, ia boleh lahir daripada minat seseorang jika betul-betul berusaha.
Dia turut menasihatkan wanita agar tidak merendahkan potensi diri hanya kerana tiada kelulusan dalam bidang diminati.
“Saya lebih bahagia sekarang. Bila pelanggan puas hati, itu satu nikmat yang tidak boleh dibeli dengan gaji tetap,” katanya.
Sementara itu, sebagai perancangan masa depan, dia mahu mengembangkan operasi dengan membuka cawangan kedua dan sebuah dapur pusat.
Ia bagi menyokong kapasiti pengeluaran yang kian meningkat.
“Saya berhasrat membuka cawangan kedua, tetapi tidak mahu terlalu gopoh kerana kualiti dan pengalaman pelanggan sentiasa menjadi keutamaan,” jelasnya.
Dengan pendapatan tahunan mencecah RM2 juta, jenama CantekSekali terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara bakeri premium pilihan ramai di Terengganu.










