PETALING JAYA: Misi utama MCA dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini adalah merampas semula kerusi-kerusi bandar yang selama ini dirasakan selamat oleh DAP.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, kawasan bandar juga perlu diberi perhatian bagi membolehkan parti itu menambah bilangan kerusi disandang, berbanding hanya dua ketika ini iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang dan Machap Jaya.
Katanya, MCA berharap dapat bertanding lebih banyak kerusi di Melaka seterusnya menyumbang kepada kemenangan lebih besar Barisan Nasional (BN).
“Kita buat masa sekarang ada dua ADUN di Melaka. Kita harap dapat bertanding di lebih banyak kerusi dan menang lebih banyak kerusi, khususnya di kawasan-kawasan tradisi yang kita lawan dengan DAP.
“Yang kita lihat banyak kita kalah adalah kerusi-kerusi bandar. Pastinya kerusi bandar ini ditandingi oleh MCA. Lawan kita adalah DAP.
“Jadi, inilah masanya kita nak tunjukkan kekuatan MCA,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Choo Seong berkata, Barisan Nasional (BN) mempunyai kekuatan tersendiri di Melaka, sebagaimana yang dapat dilihat di Johor, termasuk berdasarkan pencapaian gabungan itu dalam PRN Melaka sebelum ini.
Katanya, kepemimpinan BN negeri perlu buat percaturan terbaik bagi mengukuhkan kedudukan parti itu, khususnya dalam menentukan kerusi yang akan ditandingi MCA.
“Saya melihat BN mempunyai kekuatan di Melaka seperti mana di Johor. Kalau kita lihat di PRN yang lepas, BN memenangi dua pertiga PRN itu secara solo.
“Maka kali ini terpulang kepada pimpinan negeri untuk mengukuhkan lagi kedudukan kita,” katanya.
Beliau berkata, MCA terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi mewujudkan keseimbangan politik di Melaka.
Ujarnya, Melaka mempunyai komposisi masyarakat yang pelbagai, termasuk jumlah masyarakat bukan Melayu yang tinggi, sekali gus memerlukan sebuah kerajaan yang mampu mengintegrasikan semua kaum.
“Melaka adalah negeri yang sangat marginal, miliki jumlah masyarakat bukan Melayu yang agak tinggi juga. Jadi kita perlu ada keseimbangan di situ.
“Yang paling penting adalah satu kerajaan yang boleh mengintegrasi semua orang,” katanya.- UTUSAN










