PETALING JAYA: “Sudah jangan gaduh-gaduh ya. Fatima okey sahaja dengan nenda. Tengah berbincang nak pergi Disneyland.”
Demikian kata pelakon, Fattah Amin yang cuba menjernihkan keadaan dengan memuat naik momen anak perempuannya, Nur Fatima Aisya berbual dengan ibunya, Azizah Abdul Ghani menerusi panggilan video.
Menerusi hantaran di Instagram itu, Fatima juga dilihat gembira dapat berbual dengan neneknya yang dipanggil nenda selain teruja berkongsi tentang cuaca di Disneyland.
Melihat kemesraan itu, perkongsian tersebut secara tidak langsung meleraikan tanda tanya mengenai hubungan si kecil itu bersama neneknya.
“Alhamdulillah, lega tengok semua baik-baik sahaja, apa jua masalah selesaikanlah antara kalian sahaja, tidak perlu dihebohkan,” komen seorang netizen.
“Seronok tengok Fatima rapat dengan nendanya, biasalah budak-budak kadang-kadang mahukan perhatian tetapi tak bermakna perasaan mereka tidak valid,” kata seorang peminat.
“Semoga hubungan ini kekal mesra dan bahagia sampai bila-bila, pada akhirnya mereka tetap anak beranak,” ujar netizen.
Sebelum ini, tular rakaman siaran langsung memaparkan Fatima mengadu kepada ibunya, pelakon Nur Fazura, mendakwa neneknya berkata dia tidak comel dan tidak pandai.
Terkejut mendengar luahan itu, Fazura menafikan tuduhan tersebut dan percaya ibu mentuanya tidak akan mengeluarkan kata-kata sebegitu terhadap cucunya.
Tidak mahu isu berpanjangan, adik Fattah, Raihan Amin, turut mempertahankan ibu mereka, Azizah Abd Ghani, daripada dakwaan tersebut menerusi ruangan komen di Instagram miliknya, baru-baru ini.-UTUSAN