FESTIVAL bunga yang sinonim dengan Putrajaya selama hampir dua dekad kini melebarkan sayapnya ke Wilayah Persekutuan Labuan dengan mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi tuan rumah kepada Borneo Flora Festival @ Labuan 2025 (BFF 2025).
Festival bertaraf antarabangsa itu julung kali dianjurkan di Kepulauan Borneo dengan menghimpunkan 250,000 pokok bunga mekar melalui penglibatan 31 pempamer landskap dari Malaysia, Brunei dan Kalimantan (Indonesia).
Ia sekali gus menggambarkan kerjasama serantau yang semakin erat dan memperkukuh Borneo sebagai nadi pertumbuhan baharu dalam industri hortikultur tropika.
Lebih membanggakan, perasmian BFF 2025 disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, sekali gus mengangkat martabat festival itu ke tahap tertinggi sejak kali pertama dianjurkan sebagai Floria Putrajaya pada 2007.
Penganjuran menerusi inisiatif strategik Jabatan Wilayah Persekutuan, bersama tiga agensi di bawahnya iaitu Perbadanan Labuan, Perbadanan Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu, bukan sekadar satu lagi acara dalam kalendar pelancongan Labuan, sebaliknya membawa aspirasi besar kerajaan dalam merancakkan pembangunan ekonomi yang lebih mampan dan menyeluruh.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Labuan mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita mencecah RM87,000 pada tahun 2024, iaitu kedua tertinggi di Malaysia.

Namun, limpahan angka ini belum sepenuhnya dirasai rakyat, maka, pendekatan baharu yang lebih dekat dengan komuniti seperti sektor pelancongan perlu diberi keutamaan.
“Justeru, penganjuran festival berskala besar seperti BFF 2025 membuktikan keberkesanan strategi tersebut apabila lebih 1 juta pelawat dicatatkan pada tahun lalu, peningkatan 15.7 peratus berbanding 2023.
“Melalui festival ini, kita menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung dengan jangkaan kesan ekonomi langsung mencecah RM20 juta. Lebih penting, kita mahu pelancong yang datang menjadi pelawat berulang ke Labuan,” ujarnya pada majlis perasmian baru-baru ini.
Melihat kepada potensi besar ini, BFF 2025 akan menjadi pemacu kepada peluang pelaburan baharu dalam sektor pelancongan, landskap dan hortikultur.
Limpahan ekonomi daripada festival ini dijangka merancakkan pasaran domestik Borneo dan membuka ruang pelaburan dalam sektor berimpak tinggi yang lebih mesra rakyat.

“Program ini lebih daripada sekadar pameran bunga, ia mencerminkan iltizam bersama dalam memperkukuh rangkaian ekonomi, budaya dan komuniti serantau. Perpaduan dalam kepelbagaian adalah kekuatan sebenar rantau Borneo ini,” katanya
Sebanyak 250,000 pokok bunga semusim disemai dan disusun hasil sumbangan tenaga sukarelawan sejak Mei lalu, mencerminkan penglibatan akar umbi dalam menjayakan program ini.
Kerjasama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membantu mengangkut pokok dan barangan dari Semenanjung juga memperlihatkan keberkesanan pendekatan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G).
Di samping itu, status zon bebas cukai Labuan turut dimanfaatkan sepenuhnya apabila pengunjung berpeluang menikmati harga istimewa bagi pelbagai produk tempatan sepanjang berlangsungnya festival ini.
BFF 2025 meneruskan legasi penganjuran Floria Putrajaya yang dianjurkan sejak 2007 oleh Perbadanan Putrajaya dan berkembang menjadi Floria Diraja mulai tahun 2010 dengan naungan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
Festival itu pernah menarik penyertaan antarabangsa dari United Kingdom, Belanda, Jepun, China dan Korea Selatan.
Penganjuran Floria di Putrajaya menyaksikan pelbagai inovasi taman bertema, pertunjukan malam, pertunjukan bunga api serta segmen gubahan bunga, yang menjadi tarikan utama dalam kalendar pelancongan kebangsaan.
Kini, dengan pentasnya berpindah ke Labuan, Floria mekar dalam wajah baharu sebagai Borneo Flora Festival demi membawa semangat, nilai dan impian yang sama untuk terus menceriakan Malaysia dengan warna-warni alam semula jadi.








