Pak Syed gagah mendaki di usia 62 tahun

Pak Syed gagah mendaki di usia 62 tahun

Pak Syed bersama anaknya, Sharifah Nor Amirah ketika berada di Annapurna Base Camp, Nepal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tatkala ramai seusia lebih selesa berehat di rumah, seorang peneroka Felda Jengka 24, Syed Abdullah Syed Qasim, 62, atau lebih dikenali sebagai Pak Syed tekad membawa nama Malaysia dan Felda ke puncak tertinggi dunia Gunung Everest.

Pendaki veteran ini bukan sekadar bermimpi kosong. Beliau sudah menjejak lebih 20 lokasi pendakian di Nepal, termasuk empat kali ke Everest Base Camp serta 18 kali ke Annapurna Base Camp, dalam misi menawan Everest tidak lama lagi.

“Impian saya adalah menawan Everest dan Gunung Lhotse yang terletak bersebelahan yang juga gunung keempat tertinggi dunia. Kalau berjaya, ini bukan kejayaan saya seorang, tetapi kejayaan Felda dan rakyat Malaysia,” katanya penuh semangat ketika ditemui di kediamannya di Jengka 24.

Pak Syed merupakan figura yang dikenali dalam kalangan komuniti pendaki dan pelari ultra trail tempatan. Dia mula terlibat dalam dunia pendakian pada tahun 2011 selepas diajak rakan ke Gunung Bubu, Perak. sejak itu, beliau tidak lagi menoleh ke belakang.

Pada Oktober tahun lalu, dia berjaya menawan Island Peak (Imja Tse) dan Gunung Yala di Nepal, masing-masing berketinggian 6,165 dan 5,732 meter sekali gus satu pencapaian luar biasa untuk pendaki seusianya.

“Saya tidak kejar pingat atau hadiah. Apabila saya panjat gunung, saya rasa tenang seperti sedang menghadap kebesaran Allah SWT. Di puncak gunung, kita sedar betapa kecilnya diri ini,” ujarnya.

Baginya, usia hanyalah angka. Sebaliknya semangat kental, kesihatan dan sokongan keluarga menjadi pendorong utama untuk terus mendaki.

“Saya naik Gunung Nuang hampir setiap bulan sebagai latihan fizikal. Kadang-kadang anak saya, Sharifah Nor Amirah turut serta. Kami saling memberi semangat,” katanya yang juga bapa kepada lima cahaya mata.

Meskipun sering menerima sindiran daripada segelintir masyarakat kampung yang menyifatkan aktiviti itu tidak sesuai untuk orang tua, Pak Syed tidak terkesan.

“Ada yang kata saya tidak sedar diri sudah tua tidak usah mendaki. Ada yang suruh duduk di masjid sahaja. Tetapi, saya tidak marah. Saya hormat pandangan mereka walau sedikit terkilan.

“Saya tidak tinggal solat. Atas gunung pun saya sujud apabila tiba waktu (solat). Aktiviti ini bukan hiburan semata-mata, tetapi latihan jiwa yang mengajar kita erti sabar, disiplin dan reda,” katanya.

Antara pendakian paling mencabar adalah ke puncak Island Peak.

“Bayangkan hendak sampai puncak kena lalu ais, pakai crampon, tarik tali. Oksigen kurang dan kepala pening. Ketika itu saya tanya diri kenapa aku buat benda gila ini?

“Tetapi bila ingat tujuan asal, saya kuatkan semangat semula. Kita panjat bukan hendak menunjuk, tetapi hendak cabar diri dan cari erti kehidupan,” ujarnya.

Antara puncak yang pernah ditawan termasuk Gunung Kinabalu, Gunung Fuji, Rinjani, Kerinci, Marapi dan Anak Dara. Dia juga sudah menamatkan semua pendakian G7 termasuk Gunung Tahan, Korbu, Nuang dan Semangkuk.

Menurutnya, setiap gunung ada cabaran tersendiri sama ada daripada segi cuaca, struktur trek mahupun kesabaran mental.

“Gunung Tahan contohnya sangat mencabar kerana faktor jarak dan kesukaran trek. Island Peak pula mencabar daripada segi teknikal dan cuaca. Tetapi saya percaya tiada yang mustahil kalau kita ada jiwa juang,” katanya penuh yakin.

Pak Syed yang telah menetap di Felda Jengka 24 selama 38 tahun berkata, semangat ‘Felda Boleh’ menjadi nadi kepada setiap langkah pendakiannya.

“Felda banyak beri saya ruang untuk hidup selesa. Sekarang, biarlah saya beri balik sumbangan dengan mengharumkan nama Felda di mata dunia,” ujarnya.

Dia kini giat menjalani latihan fizikal dan menanti penajaan untuk merealisasikan ekspedisi menawan Everest, dijangka tahun hadapan.

“Saya doakan agar misi ini mendapat perhatian dan sokongan banyak pihak. Ini bukan semata-mata impian peribadi, tetapi lambang semangat kental generasi peneroka yang tidak kenal erti menyerah,” katanya mengakhiri perbualan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN