Harga telaga waqaf lebih rm 3.5 juta

Harga telaga waqaf Saidina Uthman bernilai lebih RM3.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada sebuah telaga bersejarah di kota Madinah bernama Telaga Rumah yang terletak tidak jauh dari Wadi al-‘aqiq al-ash-ghor.

Dikatakan Rumah merupakan lelaki Banu Ghifar yang pernah menjadi pemilik telaga ini.

Ada juga pandangan kononnya Rumah adalah nama seorang wanita yang menceduk air dari telaga tersebut untuk keperluan kaum Banu Muzaynah.

Lalu ia digelar Telaga Rumah sempena nama wanita tersebut.

Ada juga pandangan lain yang Rumah adalah nama wadi kecil berhampiran telaga tersebut.

Berkemungkinan wadi kecil yang dimaksudkan itu adalah Wadi Al-‘aqiq al-ashg-hor.

Selain itu, telaga ini juga dikenali sebagai Telaga al-Muzaniyy kerana pernah menjadi milik seorang lelaki berketurunan Muzaynaĥ (nama sebenar Muzaynah adalah ‘Uthman) bin ‘Amr bin Udd bin Tobi-khoh bin Ilyas bin Mu-dhor.

Namun, akhirnya telaga ini dinamakan sebagai Telaga Saidina Uthman kerana beliau membelinya di zaman Rasulullah SAW.

Seterusnya beliau mewaqafkan pula telaga ini kepada kaum muslimin agar dapat memminum airnya yang enak tanpa perlu lagi membeli.

KISAH PEMBELIAN

Kebanyakan telaga di Madinah memiliki rasa payau, tetapi air Telaga Rumah pula tawar dan sedap diminum.

Namun telaga ini adalah milik seseorang. Pemiliknya menjadikan keistimewaan air telaga itu sebagai sumber kekayaannya.

Dia tidak memberikan air secara percuma kepada orang Islam, sebaliknya perlu dibeli bagi setiap cedukan.

Hal ini begitu membebankan sahabat Rasulullah SAW kerana mereka menginginkan air perigi yang sedap, namun jumlahnya sangat sedikit.

Berlaku perbezaan pandangan ahli sejarah terhadap kisah pembelian telaga ini oleh Saidina Uthman bin ‘Affan.

Ada berpandangan beliau membeli telaga ini daripada seorang Yahudi.

Malah, ada juga riwayat yang Saidina Uthman bin ‘Affan membeli Telaga Rumah daripada seorang lelaki daripada Banu Ghifar.

Sebahagian ulama berpandangan lelaki tersebut bernama Rumah al-Ghifariyy.

Menurut al-Imam Ibnu Battol, Telaga Rumah dahulunya adalah milik seorang Yahudi yang sering menguncinya apabila dia tiada di situ.

Ada kalanya orang Islam yang datang ke telaga itu terpaksa pulang dengan hampa kerana ia dikunci.

Kesukaran bagi mendapatkan air telaga ini telah diadukan kepada Rasulullah SAW.

Maka Baginda bersabda: “Siapakah [daripada kalangan kalian] yang akan membeli Telaga Rumah [seterusnya] dia menghalalkannya untuk orang-orang Islam dalam keadaan bahagiannya terhadap telaga itu adalah seperti bahagian setiap seorang daripada mereka terhadapnya dan [lagi] dia akan memiliki syurga”?

Lantas Saidina Uthman pun membeli telaga tersebut.

HARGA MAHAL
Menurut Imam Abu Muhammad al-Dinawariyy dalam kitab al-Ma‘arif, Saidina Uthman menyatakan hasratnya kepada lelaki Yahudi itu untuk membeli Telaga Rumah.

Namun si Yahudi hanya mahu menjual setengah telaga tersebut, manakala bakinya kekal menjadi miliknya.

Saidina Uthman bin ‘Affan bersetuju lalu membelinya dengan harga 12,000 dirham.

Oleh kerana telaga tersebut dikongsi oleh dua pemilik, maka mereka bersetuju untuk bergilir hari bagi mengambil air Telaga Rumah.

Saidina Uthman bin ‘Affan mewafaqkan bahagiannya kepada orang-orang Islam.

Maka, orang-orang Islam hanya mengambil air telaga tersebut hanya pada hari giliran Saidina Uthman.

Mereka mengambil air dengan banyak untuk kegunaan selama dua hari.

Akhirnya, tiada lagi orang Islam datang mengambil air tersebut pada hari giliran si Yahudi lantas menyebabkannya kerugian.

Dia kemudian memutuskan untuk menjual bahagian telaganya kepada Saidina Uthman bin ‘Affan dengan harga 8,000 dirham.

Secara keseluruhannya, Saidina Uthman bin ‘Affan membeli Telaga Rumah dengan harga yang terlalu mahal iaitu 20,000 dirham.

Pada hari catatan ini ditulis iaitu 23 Jun 2025, harga pasaran bagi 1 dirham perak (1 dirham bersamaan 2.975 gram perak) adalah RM 126.

Ini bermakna nilai 20,000 dirham pada hari ini adalah RM2.5 juta.

Namun, sekiranya kita meneliti harga pasaran emas dan perak di zaman Rasulullah SAW, satu dinar (1 dinar menyamai 4.25 gram emas 917) ketika itu menyamai 10 dirham.

Maka dengan melihat harga emas 917 pada 23 Jun bersamaan RM423.35 (segram), harga 20,000 dirham pada zaman Rasulullah SAW adalah menyamai RM3.5 juta pada saat ini.

Bayangkan betapa pemurahnya Saidina Uthman bin ‘Affan apabila mewaqafkan sebuah telaga berharga lebih RM 3.5 juta untuk kegunaan umat Islam.

Menurut Imam al-Baghowiyy dalam kitabnya berjudul Mu‘jam al-Sohabah, ada riwayat yang menyatakan Telaga Rumah pada asalnya adalah milik seorang lelaki daripada Banu Ghifar.

Lelaki itu menjual satu timba air telaga dengar harga secupak makanan.

Oleh kerana umat Islam amat memerlukan air telaga itu, Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Jual telaga itu kepada saya dengan [bayaran] satu telaga di dalam syurga”.

Namun beliau menolaknya dengan baik lalu berkata: “Wahai Rasulullah. Saya dan keluarga tidak memiliki selainnya. Saya tidak mampu untuk itu”.

Maka apabila berita ini sampai ke pengetahuan Sayyidina ‘Uthmân, beliau membeli telaga itu dengan harga 35,000 dirham bersamaan RM 6.2 juta pada hari ini.

AIR DIMINUM NABI
Air Telaga Rumah pernah diminum oleh Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan oleh al-Imam Ibnu Sa‘d di dalam al-Tobaqot al-Kubro.

Bahkan menurut Imam al-Bala-dzuriyy di dalam kitab Ansab al-Ashrof, Rasulullah SAW juga pernah meludah ke dalam Telaga Rumah.

Semestinya ludah baginda bukan ludah biasa kerana menyebabkan keberkatan kepada air Telaga Rumah.

Pada hari ini, Kerajaan Arab Saudi dalam proses membaik pulih telaga yang masih ada ini agar dapat dikunjungi umat Islam.

Dalam masa sama, mereka dapat meneguk air dari telaga bersejarah ini yang pastinya akan mengingatkan kepada pengorbanan dan sikap dermawan luar biasa Saidina Uthman bin ‘Affan.

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN