Darah muda sering dikaitkan dengan keberanian, tenaga dan impian yang tinggi. Namun, tidak semua sanggup korbankan masa dan keselesaan untuk menjadikan impian satu kenyataan.
Muhammad Iftikhar Firas Fariq, 13, atau lebih mesra disapa sebagai Firas tampil membuktikan impian yang dibina dengan usaha dan sokongan yang kukuh, mampu membawa seseorang meluncur lebih jauh.
Setiap pagi, ketika rakan sebaya mungkin masih dibuai mimpi, Firas sudah pun beraksi lincah di atas gelanggang latihan peribadinya.
Kata Firas, dunia sukan ekstrem seperti kasut roda atau rollerblade bukan sekadar hobi, malah ia adalah warisan keluarga yang mengalir dalam darahnya sejak kecil.
Anak jati Kajang, Selangor ini mula menyarung kasut roda seawal usia dua tahun, menuruti jejak langkah ayahnya yang pernah mewakili negara dalam sukan kasut roda.
“Saya mula bermain kasut roda sejak berusia dua tahun. Ketika itu, saya selalu mengikut abah ke program-program kasut roda yang dianjurkannya, termasuk kelas latihan yang dia kendalikan sendiri.
“Abah juga merupakan bekas atlet negara dalam sukan kasut roda dan pernah bertanding di kejohanan bertaraf dunia seperti X-Games,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Firas mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai juara dunia dalam kejohanan FISE World 2025 bagi kategori Roller Freestyle Park Junior yang berlangsung di Montpellier, Perancis pada hujung Mei lalu.
Lebih membanggakan, remaja ini berjaya menewaskan juara bertahan yang telah mendominasi pertandingan sukan ekstrem itu selama empat tahun berturut-turut.
Dia turut mengetepikan saingan daripada 30 peserta lain yang mewakili 10 negara termasuk Itali, Belanda, Perancis dan Denmark.
Selain itu, Firas mempamerkan penguasaan hebat dalam kemahiran berkasut roda dengan mempersembahkan aksi mencabar seperti 360 Flat Spin, 360 Grind, Fakie 720 dan Fakie Bio
Kejayaan demi kejayaan yang diraih Firas menjadi lambang bakat muda negara mampu menyerlah di pentas dunia jika diberi ruang, bimbingan dan sokongan yang tepat.
Di samping melakar kejayaan gemilang di Perancis, remaja ini turut aktif menyertai pelbagai kejohanan lain seperti Cabaran Sukan Ekstrem Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 2024, Kejohanan Remaja Asia 2025 B-15, Blading Cup France serta Winterclash 2025 di Amsterdam.
CABARAN
Membuka kisah perjalanannya sejak kecil, Firas mengakui laluan yang ditempuh bukan mudah dan menuntut banyak pengorbanan.
Antara cabaran terbesar keperluan untuk sentiasa mempelajari teknik baharu dan memastikan setiap pergerakan dilakukan dengan sempurna.
Setiap hari, dia perlu melatih semula asas, mengulang gerakan dan memperbaiki kelemahan tanpa jemu.
Katanya, situasi menjadi lebih mencabar apabila menyertai kejohanan di luar negara, di mana saiz dan reka bentuk taman luncur serta halangan jauh lebih besar dan kompleks berbanding fasiliti sedia ada di Malaysia.
“Saya kena belajar trick baru hampir setiap hari dan pastikan semuanya jadi sempurna. Kalau tidak ulang banyak kali, memang susah hendak lepas. Lagi-lagi apabila hendak masuk pertandingan besar,” jelasnya.
“Halangan mereka berkali ganda lebih besar daripada taman luncur kami. Jadi, saya kena bersedia daripada awal dan berlatih lebih keras untuk sesuaikan diri,” katanya.
SOKONGAN KELUARGA
Bapa Firas, Fariq Mohamed Esa, 41, bukanlah nama asing dalam arena sukan kasut roda tempatan. Demi memastikan latihan anaknya berjalan lancar dan konsisten, dia mengambil inisiatif membina sebuah taman papan luncur berhampiran rumah mereka.
Taman itu kini menjadi lokasi utama Firas menjalani latihan hampir setiap hari, seawal jam lapan pagi sebelum ke sekolah.
Menurut anak sulung daripada tiga orang adik beradik ini, sokongan daripada kedua ibu bapa menjadi tunjang semangat kepadanya dalam penglibatan sukan ekstrem tersebut.
“Pada hujung minggu, saya meluangkan masa sepenuhnya di gelanggang itu untuk mengasah teknik dan mencuba pelbagai aksi baharu.
“Abah banyak latih saya setiap hari, daripada asas sampai ke aksi yang susah. Umi pula sentiasa menjadi tulang belakang dan penyokong nombor satu saya.
“Setiap tahun, kami juga akan ke luar negara untuk berlatih bersama rakan-rakan abah yang lebih profesional dan banyak benda saya belajar daripada mereka,” ujarnya.
Firas juga mempunyai ramai kenalan luar negara sepanjang latihan, menjadikan suasana lebih menyeronokkan dan terbuka untuk belajar gaya permainan berbeza.
Sebagai atlet muda yang sedang mengukir nama, Firas berharap lebih ramai kanak-kanak dan remaja akan mencuba sukan kasut roda.
Baginya, ia bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, malah membentuk disiplin serta semangat juang yang tinggi.-UTUSAN










