Tekanan digital punca ramai orang muda sakit jantung

Tekanan digital punca ramai orang muda sakit jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mesyuarat dalam talian tanpa henti, e-mel bertalu-talu dan kerja lewat malam di depan skrin komputer.

Segelintir pula leka bermain permainan video, melayan media sosial mahupun aktif melakukan kandungan secara langsung.

Tanpa disedari tekanan digital ini sebenarnya sedang ‘mendera’ jantung kita secara senyap.

Justeru, tidak hairanlah semakin ramai orang muda berusia antara 20 hingga 30an mengalami masalah jantung.

Pakar Kardiologi di Prince Court Medical Centre, Dr. Johan Rizwal Ismail, keletihan mental akibat penggunaan media sosial berlebihan dan beban kerja digital berterusan boleh menyumbang kepada tekanan jantung serius.

Salah satu punca utamanya ialah kurang tidur ekoran sering terganggu akibat penggunaan skrin atau media sosial pada lewat malam.

“Individu dewasa memerlukan sekurang-kurangnya enam jam tidur berkualiti setiap malam.

“Apabila tidur tidak mencukupi kerana aktiviti digital berlebihan, tubuh akan mengalami keradangan pada salur darah jantung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Keadaan itu mengakibatkan degupan jantung meningkat dengan adakalanya melebihi 100 denyutan seminit, tanpa disedari.

Lantas menyebabkan seseorang berdebar-debar (palpitasi jantung) serta mengalami tekanan darah tinggi, yang merupakan simptom tekanan kronik dan boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.

Malah, kata Johan Rizwal, analisis terbaharu dalam jurnal perubatan ScienceDirect turut menemukan kaitan jelas antara penggunaan skrin berpanjangan dan peningkatan risiko kesihatan.

Katanya, apabila masa skrin melebihi dua jam sehari, risiko untuk seseorang mengalami masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung meningkat kira-kira 20 peratus atau 1 daripada 5 individu.

Hal itu kerana cahaya biru yang dipancarkan daripada skrin gajet menekan pengeluaran melatonin, iaitu hormon yang bertanggungjawab mengawal kitaran tidur.

“Apabila tahap melatonin rendah, individu akan menghadapi kesukaran tidur atau mendapatkan tidur nyenyak.

“Dalam jangka masa panjang, kualiti tidur yang buruk boleh memberi kesan negatif kepada sistem saraf dan menyebabkan tekanan kronik, rangsangan berlebihan serta keradangan dalam badan,” katanya.

Kajian menunjukkan kadar kematian meningkat sebanyak 56 peratus dalam kalangan individu yang tidak mendapat tidur mencukupi secara konsisten.

Katanya, rehat merupakan komponen penting dalam menjaga kesihatan fizikal dan mental, jika diabaikan akibat keletihan digital, ia boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan jantung.

 

Petanda awal
Terdapat beberapa petanda awal yang seseorang mungkin dalam zon bahaya dari segi kesihatan jantung, walaupun usianya muda dan kelihatan sihat secara fizikal.

Ia termasuk sakit dada, berdebar-debar, berpeluh berlebihan dan sesak nafas.

Beliau sekali gus menasihatkan golongan muda yang hidup dalam persekitaran tekanan tinggi atau sentiasa dalam talian agar lebih peka dan segera mendapatkan pemeriksaan perubatan.

“Seorang pesakit saya yang merupakan pempengaruh dan pengguna TikTok aktif turut mengalami simptom itu.

“Ditambah pula dengan gaya hidupnya yang mengambil kopi sebanyak dua hingga tiga cawan sehari serta pengambilan bahan perangsang (stimulant) untuk kekal bertenaga,” katanya.

Katanya, simptom-simptom itu terutama apabila disertai pengambilan kafein yang tinggi dan bahan perangsang, boleh memberi tekanan tambahan kepada sistem kardiovaskular.

Johan Rizwal berkata, gejala serangan jantung dalam kalangan lelaki dan wanita muda berbeza.

Katanya, bagi lelaki muda, simptomnya lebih jelas dan ketara seperti sakit dada, ketat dada atau tertekan dan sesak nafas.

Manakala, simptom bagi wanita kebiasaannya kurang jelas seperti keletihan melampau, kurang bertenaga, sakit perut, kembung, rasa seperti gastrik atau pedih ulu hati.

“Gejala-gejala ini sering disalah anggap sebagai masalah pencernaan atau keletihan akibat tekanan.

“Namun, apabila ujian lanjut seperti ECG, tekanan jantung atau imbasan CT dilakukan, puncanya bukan sekadar refluks atau masalah penghadaman, tetapi sebenarnya salur arteri jantung yang semakin sempit,” katanya.

Masa skrin 20-10
Kajian menunjukkan purata masa skrin di Malaysia adalah kira-kira lapan jam dan 13 minit sehari.

Kebanyakan individu menghabiskan sekitar empat jam menggunakan telefon bimbit dan lebih kurang tiga jam bagi komputer.

Justeru, adalah disarankan agar masyarakat dapat mengehadkan masa skrin harian kepada kurang dari enam jam.

Selain itu, Johan Rizwal turut mencadangkan kaedah sihat 20-10 iaitu bagi setiap 20 minit melihat skrin, ambil masa untuk berehat dengan berdiri, berjalan dan melakukan regangan ringan selama kira-kira 10 minit.

Amalan mudah ini terbukti dapat mengurangkan paras gula dalam darah sehingga 17 peratus, sekali gus memberi manfaat kepada kesihatan jantung dan metabolik.

Katanya, pesakit juga digalakkan untuk melakukan senaman ringan seperti burpees, lompat bintang, tekan tubi atau menggunakan peralatan seperti meja berdiri atau walking pad, walaupun semasa bekerja.

Pergerakan itu membantu melancarkan peredaran darah, memperbaiki postur tubuh dan mengurangkan kesan fizikal akibat duduk terlalu lama.

Pesakit turut disaran mengamalkan rutin digital sunset, iaitu dengan menghentikan penggunaan semua peranti elektronik, terutama telefon pintar, sekurang-kurangnya 60 minit sebelum tidur.

Mengelakkan skrin sebelum tidur membolehkan penghasilan melatonin melonjak tiga kali ganda, seterusnya membantu meningkatkan kualiti tidur dan mengurangkan keradangan.

“Akhir sekali, pesakit dinasihatkan untuk membuat penyesuaian dalam pemakanan dengan menambah pengambilan makanan tinggi serat serta memasukkan lebih banyak ikan dalam hidangan harian.

“Perubahan ini dapat membantu mengawal paras kolesterol dan menyokong kesihatan jantung secara keseluruhan,” katanya.

 

Bercakap di telefon sambil berjalan

Salah satu tabiat berkesan lain yang boleh diamalkan ialah dengan berjalan sambil bercakap di telefon.

Kata Johan Rizwal, tindakan mudah ini membantu mengurangkan masa duduk dan memastikan badan sentiasa bergerak.

Teknik lain yang berguna ialah latihan pernafasan bagi membantu mengurangkan keradangan dan menenangkan jantung.

“Tarik nafas perlahan selama empat saat, kemudian tahan (tujuh saat) dan hembuskan (lapan saat) boleh menurunkan kadar degupan jantung sebanyak lima hingga tujuh denyutan per minit.

“Selain itu, adalah penting untuk minum air kosong mencukupi sepanjang hari bagi memastikan badan sentiasa terhidrat dan menyokong kesihatan kardiovaskular,” katanya.

Ujarnya, seseorang yang mempunyai faktor risiko seperti obesiti, tekanan darah tinggi atau merokok disarankan menjalani pemeriksaan jantung setiap tahun atau sekurang-kurangnya dua tahun sekali.

Bagi individu yang mengambil ubat tekanan darah tinggi, pemeriksaan susulan perlu dilakukan lebih kerap, iaitu setiap tiga hingga enam bulan, bagi memantau tekanan darah dan menyesuaikan rawatan jika perlu.

“Mereka yang sihat, berumur bawah 30 tahun dan tidak mempunyai faktor risiko pula, saringan jantung setiap lima tahun biasanya mencukupi.

“Namun sebagai langkah berjaga-jaga, terutama jika mempunyai gaya hidup tidak aktif atau mengalami tekanan digital berpanjangan, saringan setiap dua tahun amat digalakkan,” katanya.

 

 

Jangan biar diri dikawal gajet

Sehubungan itu, Johan Rizwal mengingatkan masyarakat agar menggunakan teknologi secara bijak dan diseimbangkan dengan gaya hidup sihat.

“Kita yang sepatutnya mengawal gajet, bukan gajet mengawal kita. Ingatlah, jantung ibarat bateri dan ia tidak boleh terus dicas atau digunakan secara berlebihan tanpa rehat serta penjagaan mencukupi,” katanya.

Utamakan kesihatan, cukupkan tidur, kekalkan pergerakan tubuh, dan ambil rehat daripada skrin secara berkala.

Katanya, kehidupan sihat bermula dengan tabiat kecil yang konsisten.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN