Gaya hidup masyarakat yang gemar membawa bayi di kawasan terbuka termasuk ketika cuaca panas berisiko menyebabkan si kecil mengalami strok haba.
Akibatnya, suhu badan akan naik mendadak sekali gus mengganggu fungsi organ penting.
Pakar perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, suhu melebihi 40 darjah Celsius pada bayi bukan sekadar demam biasa, tetapi merupakan keadaan kritikal yang boleh menyebabkan kerosakan otak kekal.
Ini kerana otak bayi amat bergantung kepada kestabilan suhu untuk memastikan perkembangan neuron dan jaringan saraf berlaku normal.
“Suhu yang terlalu tinggi boleh merosakkan protein dalam neuron otak, sekali gus mengganggu fungsi sel. Keadaan ini boleh menyebabkan kematian sel secara besar-besaran,” katanya.
Katanya, apabila ribuan atau jutaan sel otak mati di awal usia, struktur dan fungsi otak akan berubah secara kekal.
Bahagian otak yang belum sempat matang, tidak dapat berhubung dengan kawasan lain, menyebabkan kelewatan mahupun terjadinya kecacatan perkembangan.
Jelasnya, strok haba tidak merosakkan otak secara rawak, tetapi sering kali menjejaskan kawasan-kawasan sangat penting.
“Antara bahagian otak yang terjejas ialah pusat memori dan pembelajaran, kawasan berkait rapat dengan pemikiran dan kesedaran serta bahagian yang membantu mengawal pergerakan halus tubuh.
“Jika kerosakan berlaku di kawasan itu, bayi berisiko tinggi mengalami kerencatan intelek, masalah pembelajaran dan gangguan motorik seperti sukar berjalan atau bergerak seimbang,” katanya.
Kanak-kanak yang mengalami strok haba semasa bayi sering menunjukkan tanda-tanda seperti lambat bercakap, memahami, tidak menumpukan perhatian, serta sukar mengingati perkara asas seperti nama objek atau orang sekeliling.
Dalam kebanyakan kes, mereka memerlukan pendidikan khas atau terapi perkembangan kerana tidak mampu mengikut kadar pembelajaran normal.
Kata Sharifa Ezat, bayi yang mengalami strok haba teruk turut disahkan menghidap epilepsi.
Selain kerosakan kognitif, strok haba boleh mengubah tumbesaran bayi dari segi tingkah laku dan kawalan emosi.
Akibatnya, mangsa mungkin menjadi terlalu agresif, sukar mengawal kemarahan, malah tidak mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran sosial.
Masalah tersebut juga boleh medorong bayi untuk mengalami autisme sekunder, iaitu simptom yang timbul akibat kecederaan otak.










