KEBANYAKAN rakyat Malaysia hanya memberi perhatian kepada kesihatan mulut apabila diserang sakit gigi atau gusi.
Lebih membimbangkan, pemeriksaan gigi secara berkala pun sering diabaikan kerana dianggap tidak penting.
Sikap sambil lewa terhadap penjagaan kesihatan mulut bukan sahaja menyebabkan kerosakan gigi dan masalah gusi semakin teruk, malah boleh memberi kesan kepada sistem penghadaman.
Walaupun mulut dan usus kelihatan seperti dua sistem berasingan, tetapi hubungan antara kedua-duanya sangat rapat.
Dekan Fakulti Pergigian di Universiti IMU, Prof. Seow Liang Lin berkata, bakteria dari penyakit gusi boleh menembusi penghalang darah lalu menjajah sistem usus dan mengganggu keseimbangan bakteria baik yang membantu penghadaman.
“Kawasan mulut dan usus memiliki komuniti mikrob paling padat serta pelbagai.
“Namun, keseimbangan itu boleh terganggu apabila bakteria dari mulut memasuki usus dan mengeluarkan toksin yang mencetuskan keradangan serta menekan bakteria baik,” katanya.
Ujarnya, masalah penghadaman juga boleh memberi kesan kepada kesihatan mulut.
Rongga mulut merupakan pintu masuk kepada penjajahan mikrob yang membentuk komposisi mikrobiota di sepanjang saluran pernafasan dan penghadaman.
Contohnya, masalah aliran balik asid dari perut boleh menyebabkan hakisan enamel gigi, yang menipiskan struktur, merosakkannya secara kekal dan menyebabkan sensitiviti.
Sehubungan itu, penjagaan mulut harus diberikan keutamaan setara dengan aspek kesihatan lain.
“Nasihat umum ialah berjumpa doktor gigi sekali setahun, namun, pendekatan lebih tepat adalah dengan menilai faktor risiko individu.
“Bagi yang mengamalkan penjagaan mulut baik, pemeriksaan tahunan mungkin sudah mencukupi.
“Tetapi, jika ada masalah gigi berlubang, penyakit gusi, penggunaan pendakap gigi atau prostesis yang mudah memerangkap plak, lawatan lebih kerap iaitu dua kali setahun atau setiap suku tahun mungkin diperlukan,” tambahnya.










