Korban untuk ‘bunuh’ rasa kepunyaan harta

Korban untuk ‘bunuh’ rasa kepunyaan harta

para peserta dan urus setia Program Kembara Korban Komboja 2025 Bank Rakyat merakam kenangan selepas menaiki feri menyusuri Sungai Tonle Sap dan Sungai Mekong di Phnom Penh, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Biarpun ibadat korban adalah sunat muakkad dan amat dituntut semasa Hari Raya Aidiladha, bukan semua umat Islam terbuka hati untuk melaksanakannya.

Ada yang beri alasan, tidak mampu nak sediakan wang kira-kira RM850 ke RM1,000 untuk satu bahagian korban lembu.

Ramai juga yang beri alasan, banyak lagi perkara lain yang lebih utama selain melakukan korban.

Walhal, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban). (Riwayat al-Tirmidzi)

Berkorban ini tujuannya mendekatkan diri kepada Allah. Ia juga bagi melatih diri untuk membunuh rasa kepunyaan kepada harta.

Diri kita dan harta kita semuanya milik Allah. Kita hanya pemegang amanah di muka bumi ini.

Justeru, harta kekayaan dan rezeki yang kita miliki hendaklah ditunaikan haknya dengan zakat dan juga sedekah yang lain termasuk ibadat korban.

Bagi menyemarakkan lagi semangat berkorban dalam kalangan umat Islam di Malaysia, sebuah Akaun Simpanan-i Tabung Qurban Bank Rakyat diperkenalkan pada 1 Ogos 2017.

Ia bertujuan membantu pelanggan menyimpan secara konsisten untuk ibadah korban, dengan deposit permulaan serendah RM20.

Sekali gus memudahkan pelaksanaan ibabat korban di dalam dan luar negara.

Nor Haimee Zakaria mengagihkan daging korban kepada seorang penduduk di Kampung Samraong, Kampot di Kemboja.

Tahun ini, Bank Rakyat meneruskan tradisi menyantuni golongan yang memerlukan menerusi Program Korban Bank Rakyat sempena sambutan Aidiladha, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shahril Mohd. Shariff berkata, Program Hulurkan Salam Aidiladha menyasarkan masyarakat dalam negara manakala Program Kembara Qurban Kemboja Bank Rakyat menyasarkan masyarakat Islam di luar negara.

“Tahun ini, Program Korban Bank Rakyat melibatkan keseluruhan 241 ekor lembu dan 159 ekor kambing dalam negara bermula 7 hingga 20 Jun, manakala 45 ekor lembu di Kemboja pada 7 Jun.

“Daging korban dalam negara adalah daripada para pemegang Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dan Surau Al-Barakah MKBR berjumlah lebih RM1.52 juta,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria berkata, Program Kembara Qurban Kemboja 2025 menyantuni komuniti Islam di Kampung Trapeng Prinh dan Kampung Keh di wilayah Kampot, Kemboja.

Wilayah Kampot adalah wilayah yang terletak di selatan Kemboja. Ia terkenal dengan bandar Kampot yang terletak di tepi sungai Praek Tuek Chhu.

Jarak kedudukannya adalah kira-kira 150 kilometer dari Phnom Penh. Ia juga terkenal dengan lada hitam, sos ikan, dan durian.

Wilayah ini memiliki binaan kolonial Perancis yang menarik dan suasana tepi sungai yang indah.

Program empat hari bermula 6 Jun itu adalah dengan kerjasama Maahad Imam Syafie (MIS) Kampung Keh, Kampot, Pusat Wakaf Endowmen Zakat Khairat dan Sedekah (WEZAS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Yayasan as-Syafie dan Pertubuhan Kebajikan Shafie.

Kata Haimee, program itu adalah kesinambungan daripada inisiatif Program Kembara Qurban Kemboja yang diperkenalkan sejak 2015.

“Tujuan utama program ini adalah menyantuni penduduk di kawasan pedalaman Kemboja yang hidup dalam kedaifan dan serba kekurangan.

“Di samping itu, ia memberi peluang kepada mereka yang beragama Islam merasai kenikmatan dan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha seperti umat Islam di negara lain.

“Inisiatif pelaksanaan ibadah korban ini sejak dianjurkan pada 2018 telah memberikan manfaat kepada pelbagai masyarakat, khususnya golongan asnaf, selain mencerminkan keyakinan orang ramai yang semakin meningkat terhadap Akaun Simpanan-i Tabung Qurban,” katanya.

Nor Haimee Zakaria menyerahkan sumbangan beras kepada wakil penduduk Kampung Swai Relom, Wilayah Kandal, Phnom Penh. Turut serta, Ketua Pegawai Syariah Bank Rakyat, Mohd. Zamerey Abdul Razak (kiri).

Bantu 150 penghuni rumat bot
Selain melaksanakan agihan daging korban, Bank Rakyat bersama rakan strategik turut menyalurkan bantuan makanan asas kepada 150 keluarga di Kampung Swai Relom, Wilayah Kandal, Kemboja.

Setiap keluarga penghuni ‘rumah bot’ berhampiran Kampung Swai Rekom di Sungai Tonle Sap masing-masing menerima 10 kilogram beras sebagai sebahagian daripada inisiatif kemanusiaan.

Rumah bot atau perahu kecil beratap zink yang sudah dimakan hari sepanjang enam hingga 10 meter itu menjadi tempat berteduh, tidur dan juga pengangkutan utama mencari rezeki sebagai nelayan.

Di situlah tempat anak-anak dibesarkan, makanan dimasak, solat didirikan, malah ada yang melahirkan zuriat dalam perahu iaitu ruang yang kita tak sanggup duduki walau sejam.

Mereka hidup tanpa tanah, geran dan alamat tetap, namun bersyukur kerana perahu kecil itu adalah ‘syurga’ yang Allah pinjamkan di dunia.

Kehidupan mereka juga jauh daripada kemudahan asas. Elektrik dan air bersih hampir mustahil.

Anak-anak pula ramai yang tidak bersekolah bukan kerana malas namun perlu membantu keluarga menjala ikan.

Menurut rekod, lebih 1,000 keluarga Islam tinggal terapung di sepanjang Sungai Tonle Sap dan Mekong dengan membentuk komuniti kecil yang bergantung sepenuhnya kepada sungai untuk kelangsungan hidup.

Ketua Kampung Swai Rekom, Khalil Ayub mengakui mereka tidak lagi mengharapkan bantuan kerajaan namun cukup bersyukur dengan keprihatinan insan luar, terutama dari Malaysia.

“Kami hanya mampu bergantung pada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari luar. Syukur, masih ada yang sudi bantu. Kalau tidak, entahlah macam mana nasib kami dan anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Beliau yang bertugas sebagai guru agama mengakui cabaran utama ketika ini adalah tiada tanah perkuburan untuk mengebumikan jenazah masyarakat Islam di kawasan terbabit.

“Kami terpaksa menempuh perjalanan sekurang-kurangnya 60 kilometer untuk kebumikan jenazah dengan kos pula dikongsi bersama penduduk kampung jika berlakunya kematian di kawasan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×