COLI jenis push-up (push-up bra) menjadi pilihan ramai wanita dek bentuknya yang membantu memberikan sokongan sekali gus meningkatkan keyakinan diri.
Namun, adakah kita benar-benar tahu kesan jangka panjang pemakaian coli jenis ini, terutama yang mempunyai dawai (underwired)?
Pakar Perunding Bedah Payudara Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) Prof. Dr. Norlia Abdullah berkata, pemakaian coli push-up yang mempunyai dawai secara berpanjangan boleh menyebabkan berlakunya ketulan di payudara.
Terdapat dua jenis coli push-up di pasaran iaitu dengan dawai dan tanpa dawai.
Reka bentuk berdawai memang memberikan sokongan yang lebih kemas dan bentuk yang lebih ‘terangkat’.
Namun, tekanan berpanjangan daripada dawai tersebut memberi kesan terhadap tisu payudara.
Payudara wanita terdiri daripada tisu lemak yang lembut.
Bahagian bawah payudara pula terletak berdekatan dengan otot dada dan tulang rusuk.
Apabila coli berdawai dipakai untuk jangka masa yang lama setiap hari misalnya 10 hingga 12 jam, dawai tersebut menekan secara terus ke atas tisu yang sensitif ini.
“Tidak kiralah coli biasa ataupun push-up tetapi apabila ia mempunyai dawai ia memberikan tekanan pada bahagian bawah payudara.
“Ramai pesakit wanita yang saya jumpa mengadu sakit di payudara terutamanya ketika hampir waktu datang haid kerana ketika itu payudara menjadi lebih sensitif.
“Ketika diperiksa, terdapat ketulan-ketulan kecil pada bahagian bawah payudara. Apabila saya minta mereka tukar jenis coli, terdapat pengurangan yang berbeza daripada segi rasa sakit yang dialami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
BUKAN KANSER
Ketulan ini tidak semestinya berbahaya atau bersifat kanser, tetapi dalam istilah perubatan ia dikenali sebagai nodulariti iaitu tekstur tisu yang tidak sekata dan terasa seperti gumpalan kecil apabila disentuh.
Nodulariti berlaku akibat trauma tisu berulang iaitu tekanan fizikal yang berterusan daripada dawai menyebabkan tisu lemak menjadi ‘cedera’, lalu membentuk struktur tisu yang bergumpal dan berketul-ketul kecil.
Walaupun nodulariti bukan kanser, ia boleh menyukarkan proses pemeriksaan payudara sama ada secara pemeriksaan sendiri atau klinikal.
Apabila terdapat banyak ketulan kecil, agak sukar untuk mengenal pasti sama ada terdapat ketulan luar biasa yang benar-benar mencurigakan.
Bagi pengamal perubatan pula, nodulariti boleh mengaburi hasil pemeriksaan awal dan kadangkala memerlukan penggunaan imbasan seperti ultrabunyi untuk mendapatkan penilaian yang lebih tepat.
Setakat ini, tiada bukti saintifik yang jelas mengatakan pemakaian coli push-up walaupun berdawai boleh menyebabkan kanser.
Begitupun, pendedahan tisu payudara kepada tekanan fizikal yang berpanjangan boleh menimbulkan perubahan struktur yang merumitkan pengesanan awal penyakit.
Tambahan pula, apabila wanita berasa tidak selesa atau mengalami kesakitan yang berulang, ini mungkin menjejaskan kesihatan emosi dan fizikal mereka dalam jangka masa panjang.
PILIHAN COLI
Norlia menyarankan pemilihan coli yang lebih selamat dan selesa untuk menjaga kesihatan payudara.
Antaranya, yang tidak berdawai dan tidak mempunyai padding yang terlalu tebal bagi mengelakkan iritasi pada kulit payudara akibat peluh berlebihan.
Tambahan pula, kini terdapat pelbagai jenama pakaian dalam yang menghasilkan coli push-up tanpa dawai, namun masih mengekalkan ciri sokongan dan rekaan moden.
Jika masih mahu kekalkan gaya dan bentuk, pilih coli push-up yang direka khas dengan teknologi lembut dan sokongan tanpa tekanan keras di kawasan sensitif.
PUNCA KETULAN PAYUDARA
Payudara adalah organ yang istimewa.
Daripada segi anatomi, ia merupakan sejenis kelenjar peluh yang telah berevolusi untuk menghasilkan susu.
Ia terdiri daripada lapisan kulit, lemak bawah kulit, tisu payudara (yang sebahagian besarnya adalah tisu lemak), saluran susu serta kelenjar.
Disebabkan kandungan lemak yang tinggi, perubahan berat badan boleh mengubah saiz dan bentuk payudara.
Selain itu, tisu payudara juga mudah terdedah kepada kecederaan fizikal, perubahan hormon dan tekanan luaran,yang boleh menjadi antara punca ketulan terbentuk.
Secara asasnya, ketulan boleh dibahagikan kepada dua iaitu sista (cyst) dalam bentuk kantung berisi cecair.
Ketulan pepejal (solid) pula boleh jadi benigna (tidak bahaya) atau malignan (kanser).
Pemeriksaan awal tidak cukup untuk menentukan jenis ketulan, sebab itu ultrabunyi, mammogram dan biopsi sangat penting bagi menentukan ciri ketulan tersebut.
Faktor risiko utama pembentukan ketulan adalah hormon wanita iaitu estrogen dan progesteron.
Ia adalah ketulan paling kerap ditemui dalam kalangan wanita muda, terutama sebelum menopaus.
Hormon estrogen dan progesteron yang tinggi boleh merangsang pertumbuhan sel di payudara, lalu menyebabkan pembentukan ketulan benigna seperti fibroadenoma.
Ini juga menyebabkan ramai remaja atau wanita 20-an mengalami ketulan yang biasanya tidak berbahaya, tetapi tetap perlu dipantau.
Selain itu, penggunaan pil perancang atau suntikan hormon pada wanita yang belum berkahwin atau melahirkan anak juga meningkatkan risiko ketulan pada payudara.
Misalnya, wanita yang baru berkahwin dan ambil pil hormon kerana mahu menunda kehamilan. Situasi ini meningkatkan risiko kerana wanita tersebut belum pernah melahirkan anak.
Berdasarkan kajian, risiko untuk mendapat ketulan di payudara termasuk barah berbeza antara wanita yang pernah melahirkan anak dan yang belum pernah hamil langsung.
Dua hormon utama yang merangsang perkembangan dan fungsi payudara wanita ialah estrogen dan progesteron. Sejak seseorang wanita mencapai akil baligh, payudaranya akan dirangsang secara berterusan oleh dua hormon ini di setiap kitaran haid, setiap bulan, tahun demi tahun.
Jika seorang wanita tidak pernah mengandung atau menyusu, tisu payudaranya akan terus-menerus dirangsang oleh estrogen dan progesteron sepanjang hayat reproduktifnya daripada usia kira-kira 12 tahun (baligh) sehingga menopaus pada usia sekitar 50-an.
Ini bermakna payudara terdedah kepada pengaruh hormon ini selama lebih kurang 40 tahun tanpa henti.
“Apabila seorang wanita mengandung dan menyusu, hormon yang dominan dalam tubuhnya berubah. Hormon estrogen dan progesteron akan “ditolak ke tepi” buat sementara waktu dan digantikan dengan hormon lain seperti prolaktin dan oksitosin yang membantu penghasilan dan pengeluaran susu.
“Dalam erti kata lain, payudara ‘berehat’ seketika daripada pendedahan estrogen dan progesteron, iaitu dua hormon yang dikaitkan dengan rangsangan sel-sel payudara. Walaupun ini adalah proses semula jadi, ia mempunyai kesan penting terhadap risiko pembentukan ketulan,” jelasnya.
Tempoh kehamilan (sembilan bulan) ditambah tempoh penyusuan (satu hingga dua tahun) ini bertindak sebagai ‘masa rehat hormon’ untuk payudara, sekaligus mengurangkan risiko pembentukan sel abnormal atau ketulan tidak diingini.
Wanita yang tidak pernah mengandung atau menyusukan anak tidak pernah mengalami ‘gangguan hormon’ ini.
Jadi, secara teori (dan juga disokong data klinikal), golongan ini berisiko lebih tinggi mengalami ketulan payudara kerana pendedahan estrogen dan progesteron tanpa henti selain tisu payudara lebih aktif daripada segi hormon serta tiada ‘rehat’ semula jadi daripada perubahan hormon.
Wanita disarankan berbincang dengan doktor mengenai pilihan yang sesuai untuk jangka panjang jika sedang merancang kehamilan.
Pantau perubahan pada payudara. Lakukan pemeriksaan sendiri secara bulanan dan segera dapatkan penilaian doktor jika ada ketulan, sakit, perubahan warna kulit atau keluar lelehan dari puting.
Kesimpulannya, wanita yang pernah melahirkan anak dan menyusu mempunyai tempoh di mana hormon estrogen dan progesteron tidak dominan, sekali gus memberi perlindungan semula jadi terhadap perubahan sel yang boleh mencetuskan ketulan atau barah.
Namun, ia bukan jaminan mutlak. Wanita yang pernah ada anak juga masih berisiko mendapat barah payudara, cuma, risikonya lebih rendah berbanding yang tidak pernah mengandung.
Selain itu, fenomena suntikan ‘menaikkan’ payudara oleh pihak tidak berdaftar dan tanpa kelayakan boleh membawa kesan buruk jangka panjang.
“Antara kes yang saya jumpa payudara menjadi berketul-ketul dan tidak sekata, kulit menipis, berkedut atau bernanah,
“Jangkitan kronik juga merosakkan bentuk payudara, malah menyukarkan rawatan jika berlaku kanser atau penyakit lain di kemudian hari,” ujarnya.
Justeru, semua ketulan wajib diperiksa oleh doktor, walaupun nampak kecil atau tidak menyakitkan.
Payudara adalah bahagian tubuh yang sensitif dan penuh perubahan sepanjang hidup seorang wanita.
Gaya hidup sihat, pemilihan pakaian dalam yang sesuai, serta pemantauan secara berkala boleh membantu mengurangkan risiko dan menyelamatkan nyawa.-UTUSAN










