Wanita lebih terkesan dengan denggi

Wanita lebih terkesan dengan denggi

KUANTAN 7 OKTOBER 2024 - Pahang mencatatkan jumlah peningkatan kematian akibat kes denggi dengan lima kematian dicatatkan pada tahun ini berbanding hanya satu kematian dicatatkan pada tahun lalu. Oleh itu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim mengambil langkah melakukan operasi di beberapa kawasan kilang dan premis di sekitar Indera Mahkota, Kuantan. Operasi tersebut turut melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK). Peningkatan sebanyak 400 peratus itu sekali gus menjadikan Pahang sebagai negeri kedua tertinggi merekodkan jumlah kematian pada tahun ini dan salah satu punca peningkatan pembiakan nyamuk aedes ini kebanyakannya adalah disebabkan oleh kecuaian individu tertentu yang tidak menjaga kebersihan. JENTIK-jentik yang diambil dari takungan air disalah satu premis semasa operasi dijalankan. FOTO:UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya alami pendarahan berterusan. Apabila minum, saya boleh nampak darah dalam botol dan air liur pun terasa darah. Selepas dua minggu, saya rasa sangat tidak bermaya, lesu fizikal dan emosi.”

Itu antara pengalaman Hawiah Azit, 45, apabila disahkan menghidap denggi 20 tahun lalu.

Katanya, perjuangan melawan denggi yang teruk adalah antara pengalaman dahsyat dalam hidupnya.

“Ia bermula dengan demam biasa diikuti sakit kepala yang teruk selama beberapa hari. Ibu bapa membawa saya ke klinik dan hanya diberikan parasetamol, tanpa sebarang ujian susulan.

“Di usia 22 tahun, tidak banyak yang saya tahu tentang denggi, jadi saya cuma ambil parasetamol, minum banyak air dan berdoa supaya demam cepat kebah,” katanya.

Walaupun berasa tidak sihat, dia tetap balik ke kampung untuk memenuhi jemputan perkahwinan, di mana keadaannya bertambah teruk.

Dia kemudiannya didiagnos menghidap denggi di sebuah hospital berhampiran.

“Pada waktu itu, hidung dan gusi sudah berdarah, hingga saya rebah dalam bilik air. Apabila dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Bainun di Ipoh, keadaan saya sangat lemah, tidak mampu naik ke katil.

“Tahap platelet darah saya terus menurun. Kepala rasa sangat sakit dan badan pula menggigil teruk, sehingga saya terfikir ajal makin dekat,” katanya mengimbas kejadian itu.

Selepas keluar dari hospital pun, dia mengambil masa yang lama untuk memulihkan kembali kekuatan badan dan selera makan.

“Dahulu saya selalu bermain bola tampar dan bersenam di hujung minggu tetapi serangan denggi yang teruk mengubah segalanya. Saya tidak lalu makan dan berminggu-minggu terasa lesu.”

“Sebagai ibu dan isteri, saya sentiasa bimbangkan keluarga saya. Saya mempunyai anak perempuan berusia 15 tahun dan suami pula komorbid dan sudah dua kali dia menghidap denggi,” katanya.

“Pengalaman lalu buat saya sentiasa berwaspada tentang pencegahan denggi dan memastikan keluarga divaksin,” katanya.

FAKTOR PENYEBAB
Penemuan terkini menunjukkan wanita mungkin lebih terkesan dengan penyakit ini, bukan sahaja secara fizikal, tetapi juga sosial dan ekonomi.

Pakar perunding paediatrik, Dr. Hon Mun Cheng berkata, wanita lebih berkemungkinan mengalami denggi yang teruk dan demam denggi berdarah.

Ia kerana, sistem imun kaum hawa cenderung membentuk tindak balas yang lebih kuat terhadap virus, menyebabkan berlakunya beban virus tinggi dan peningkatan keradangan.

“Selain itu, isipadu darah wanita umumnya lebih rendah menjadikan mereka terdedah kepada renjatan hipovolemia, iaitu komplikasi berbahaya denggi yang teruk,”katanya.

Oleh kerana salur darah wanita secara semula jadi membenarkan lebih banyak cecair melepasi dindingnya, maka mereka lebih mudah mengalami lebam dan pendarahan dalaman.

Keadaan ini amat membimbangkan khususnya pada wanita yang diserang demam denggi teruk ketika haid.

Ini kerana mereka berisiko mengalami pendarahan berlebihan, di samping gejala lain seperti sakit perut, muntah berterusan, pendarahan mukosa contohnya gusi dan hidung berdarah serta kebocoran plasma.

Faktor-faktor ini meningkatkan risiko komplikasi yang teruk, memerlukan pemantauan perubatan rapi, terutama dalam kalangan wanita dengan kiraan platelet yang rendah atau mengalami anemia iaitu keadaan yang lebih lazim berlaku pada wanita berbanding lelaki.

Katanya, wanita hamil berdepan risiko besar jika dijangkiti denggi, yang boleh membawa kesan serius kepada ibu dan anak.

Denggi semasa kehamilan boleh menyebabkan bayi mempunyai berat yang rendah, kelahiran pramatang, kelahiran mati selain peningkatan risiko kematian ibu.

Malah, virus denggi boleh berjangkit kepada bayi dalam rahim yang berpotensi mengakibatkan denggi teruk dengan gejala pendarahan pada bayi.

KESAN EMOSI
Selain risiko fisiologi, wanita juga sering menanggung beban sosial dan emosi yang lebih berat apabila membabitkan demam denggi.

Sebagai penjaga utama dalam kebanyakan rumah tangga, wanita bertanggungjawab menjaga anak-anak, ibu bapa yang sudah tua dan ahli keluarga sakit.

Bagaimanapun, apabila mereka sendiri jatuh sakit, sokongan yang diterima agak terhad atau terpaksa meremehkan gejala yang dialami demi meneruskan tanggungjawab menjaga keluarga.

“Melengahkan rawatan boleh membawa kesan besar kepada diri sendiri kerana denggi merebak dengan pantas.

“Tanpa rawatan yang tepat pada waktunya, komplikasi denggi boleh mengancam nyawa,” katanya.

Keadaan akan semakin lebih teruk jika akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dihadkan oleh kekangan kewangan, kekurangan kemudahan penjagaan anak dan faktor sosioekonomi lain.

Wanita daripada kelompok berpendapatan rendah mungkin tidak mempunyai cara untuk mendapatkan rawatan manakala mereka yang mempunyai pekerjaaan tidak formal pula berdepan dengan masalah kewangan jika tidak dapat bekerja.

Ini boleh menyebabkan wanita menangguhkan rawatan perubatan, sebaliknya memilih untuk mengutamakan keluarga daripada kesihatan mereka sendiri.

Faktor yang saling berkait ini mewujudkan satu kitaran di mana wanita menjadi lebih terdedah kepada kesan denggi yang serius hanya kerana mereka mengalami kesukaran untuk mengutamakan kesihatan sendiri.

 

PERKASA WANITA LAWAN DENGGI
Wanita perlu dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan berkaitan denggi bagi membolehkannya melindungi diri dan keluarga.

Mun Cheng berkata, langkah itu penting supaya mereka memahami risiko dan boleh mengambil tindakan awal.

“Jika anda mengalami demam berterusan, sakit badan teruk, gejala pendarahan atau kelesuan berpanjangan, segera dapatkan rawatan perubatan,” katanya.

Menyokong mereka yang terkesan dengan denggi adalah tanggungjawab bersama jiran tetangga dan anggota masyarakat lain.

Sama ada dalam bentuk bantuan kewangan, sokongan penjagaan anak atau fleksibiliti di tempat kerja, menghapuskan halangan terhadap penjagaan perubatan boleh meningkatkan hasil rawatan bagi wanita.

Walaupun wanita sering menerajui usaha pencegahan denggi di rumah, namun mengekalkan kesihatan adalah tanggungjawab bersama yang melibatkan seluruh keluarga, komuniti dan setiap rakyat untuk memberikan impak yang berkesan.

Usaha yang berteraskan oleh komuniti sama pentingnya, seperti menjaga kebersihan kawasan perumahan dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, di samping memakai baju dan seluar panjang serta menggunakan alat penghindar serangga untuk mengelakkan gigitan nyamuk.

Beliau mengesyorkan pesakit mendapatkan nasihat doktor mengenai vaksinasi dan menjadikan langkah ini sebagai sebahagian daripada pendekatan bersepadu mencegah denggi.

Meningkatkan pengambilan vaksin dalam komuniti boleh membantu mengurangkan kes denggi dan kemasukan ke hospital sekali gus meringankan tekanan pada keluarga dan sistem penjagaan kesihatan.

Oleh itu, vaksinasi boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan beban denggi, khususnya bagi golongan berisiko tinggi termasu kanak-kanak, orang tua, individu komorbid dan orang yang pernah mengalami jangkitan denggi.

Melindungi diri dengan vaksinasi juga akan memberi manfaat kepada mereka yang tinggal di dalam atau pergi ke kawasan yang tinggi kadar jangkitan denggi.

“Nyamuk tidak mengenal batasan sosial atau ekonomi. Sesiapa sahaja boleh mendapat denggi dan mustahil kita dapat meramal siapa yang akan sakit teruk.

“Malah tidak ada satu cara perlindungan yang berkesan sepenuhnya, atau satu rawatan khusus untuk denggi.

“Inilah sebabnya pencegahan sangat penting, dan ia mesti menjadi usaha komuniti, kerana kita bukan sahaja melindungi diri sendiri, tetapi orang lain,” ujarnya.

Tambahan pula, langkah menangani denggi sejajar dengan matlamat Hari Kesihatan Sedunia untuk meningkatkan usaha mengutamakan kesihatan jangka panjang dan kesejahteraan wanita, termasuk menamatkan kematian yang boleh dicegah dalam kalangan ibu dan bayi baru lahir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN