‘Tangan emas’ Munif lakar potret keluarga diraja Pahang

‘Tangan emas’ Munif lakar potret keluarga diraja Pahang

MUNIF melukis potret Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah Aminah Maimunah dan Tengku Hassanal Ibrahim secara langsung di rumah Warisan Chenor, Kampung Raja baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelukis berpengalaman, Munif Muhammad Nor, 57, berbangga diberi penghormatan besar melukis potret Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin baru-baru ini.

Turut mendapat sentuhan Munif adalah potret Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Momen bersejarah itu berlangsung semasa majlis santapan diraja sempena Kembara Kenali Pahang 1.0 di Rumah Warisan Chenor, Kampung Raja.

Munif diberi tempat khas berkarya di depan baginda sambil menonton persembahan kebudayaan dan kesenian Chenor.

“Jari-jemari saya menggambarkan wajah-wajah mulia itu satu per satu di pentas menghadap rakyat. Ia pengalaman paling berharga dalam hidup saya sebagai seniman,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.

MANIFESTASI CINTA, KESENIAN

Kehalusan dan ketelitian seni lukisan potret tokoh negara serta permandangan alam hasil tangan Munif terus mekar selepas lebih tiga dekad mencurah bakti dalam dunia seni lukis tanah air.

Anak jati Pahang itu bukan calang-calang figura dalam dunia seni visual.

Beliau memiliki keistimewaan dalam menghasilkan karya pelbagai genre termasuk potret, landskap dan lukisan abstrak yang memukau pandangan.

Berbekalkan jiwa yang sarat dengan cinta kepada seni dan warisan, Munif kini selesa berkarya di studio miliknya yang terletak di Centre Point, Kuantan, tempat lahirnya ratusan karya yang menghiasi galeri dan panel dinding.

Beliau yang mula berkarya seawal usia remaja, menyifatkan lukisan bukan sekadar paparan warna dan garisan, tetapi cerminan jiwa serta khazanah bangsa yang perlu dipelihara buat tatapan generasi akan datang.

Namanya kerap disebut dalam kalangan pencinta seni tanah air, lebih-lebih lagi selepas menghasilkan potret beberapa tokoh utama negara termasuk Almarhum Sultan Ahmad Shah, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Almarhum Sultan Yahya Petra.

Tidak ketinggalan, wajah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dan tokoh politik serta budaya seperti Tan Sri Dr. Rais Yatim turut diabadikan dengan penuh teliti oleh Munif, menjadikan karyanya sebagai koleksi berharga dalam sejarah seni tempatan.

Katanya, lukisan yang dihasilkan semasa santapan diraja itu akan diserahkan kepada baginda hari ini, sempena hari terakhir kembara tersebut di daerah Pekan.

“Melukis wajah Al- Sultan Abdullah serta keluarga diraja secara langsung di depan baginda dan rakyat merupakan satu penghormatan terbesar buat saya sepanjang berkarya,” katanya.

Beliau menyifatkan koleksi itu sebagai simbol jalinan kasih antara rakyat dan raja yang terjalin erat menerusi nilai seni dan warisan.

“Lukisan ini bukan sahaja menjadi koleksi diraja, tetapi turut merakam detik indah baginda bersama rakyat di sebuah rumah warisan yang menyimpan sejarah panjang kerabat Pahang,” katanya. Rumah Warisan Chenor menyimpan nostalgia tersendiri kerana dipercayai dibina lebih

100 tahun lalu oleh kerabat diraja Pahang zaman silam.

Bagi Munif, setiap goresan adalah bahasa hati yang menyampaikan cerita, doa dan harapan.

Selagi hayat dikandung badan, beliau mahu terus berkarya dan mendidik generasi muda mencintai seni lukisan tanah air.

“Seni adalah warisan bangsa. Jika kita tidak pelihara, siapa lagi?” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×