Mental terjejas jika ambil garam, gula berlebihan

Mental terjejas jika ambil garam, gula berlebihan

pemakanan tidak seimbang boleh mencetuskan emosi yang tidak stabil.– GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masalah kesihatan mental semakin meruncing di negara ini dengan Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendedahkan seramai sejuta atau bersamaan 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia lebih 15 tahun mengalami isu kemurungan.

Pelbagai faktor yang menyumbang kepada permasalahan ini, namun paling membimbangkan kebanyakannya berpunca daripada rutin harian yang dianggap biasa namun sebenarnya ‘pencetus’ kepada masalah mental.

Pensyarah Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia (Psitra), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Azahah Abu Hassan Shaari berkata, gaya hidup moden termasuk pemakanan tidak seimbang antara penyumbang kepada masalah mental terutamanya dalam kalangan belia ketika ini.

Pemakanan dan kesihatan mental sememangnya berkait rapat memandangkan ia memberi kesan kepada kestabilan emosi dan tenaga.

“Pengambilan makanan segera atau makanan tinggi gula dan garam secara kerap boleh memberi kesan kepada keseimbangan hormon dan emosi.

“Kajian juga menunjukkan kekurangan nutrisi tertentu seperti Omega-3, vitamin B dan magnesium boleh mempengaruhi kestabilan emosi dan menyumbang kepada simptom kebimbangan dan kemurungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PISANG, BETIK KURANGKAN STRES

Amalan pemakanan seimbang perlu dititikberatkan terutamanya dalam institusi kekeluargaan bagi mendidik anak-anak sejak awal usia.

Makanan sebenar atau makanan tidak diproses yang sering dicadangkan oleh pakar pemakanan bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan fizikal semata-mata, namun membantu membentuk minda yang sihat.

Pada masa sama mengurangkan risiko ketidakstabilan emosi yang menjadi pencetus kepada pelbagai penyakit mental hari ini antaranya kemurungan, kebimbangan melampau dan bipolar.

“Saya bukan pakar nutrisi, tetapi berdasarkan pembacaan dan panduan umum daripada pakar pemakanan, terdapat beberapa jenis makanan tempatan yang boleh menyumbang kepada kesihatan mental yang baik.

“Misalnya, ikan berlemak seperti ikan kembung atau ikan tenggiri kaya dengan asid lemak Omega-3 yang penting untuk fungsi otak.

“Sayur berdaun hijau seperti bayam dan sawi tinggi dengan folat serta antioksidan yang menyokong kestabilan emosi. Kacang tanah, kacang dhal dan bijirin seperti oat dan beras perang adalah sumber magnesium dan vitamin B yang penting untuk sistem saraf,” katanya.

Selain itu, buah-buahan tempatan seperti pisang dan betik yang mengandungi tryptophan dan vitamin membantu mengurangkan stres.

Bagi penggemar coklat pula, coklat gelap jika diambil dalam kuantiti sederhana boleh merangsang penghasilan endorfin yang meningkatkan mood.

RUTIN HARIAN ‘BAHAYA’

Selain pemakanan, rutin harian lain yang tanpa sedar sebenarnya merisikokan kesihatan mental adalah pendedahan atau kebergantungan berlebihan kepada gajet atau media sosial.

Penggunaan gajet berlebihan mengurangkan interaksi sosial, menyebabkan gangguan tidur dan meningkatkan rasa cemas.

Lebih teruk, ia boleh menerbitkan rasa terasing dalam diri seseorang serta rendah diri akibat perbandingan sosial di alam maya.

“Ia juga boleh mengganggu hubungan interpersonal apabila seseorang lebih banyak meluangkan masa dengan skrin berbanding interaksi bersemuka.

“Menurut kajian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2022 dan laporan World Health Organization (WHO) 2021, pendedahan berpanjangan kepada media sosial meningkatkan risiko kemurungan, kebimbangan melampau serta persepsi imej diri yang negatif,

terutamanya dalam kalangan remaja dan belia.

“Ini kerana mereka sering terdedah kepada kandungan yang memupuk perbandingan sosial tidak sihat dan tekanan untuk menonjolkan ‘kesempurnaan’ dalam kehidupan digital,” katanya.

Selain itu, tabiat tidur tidak mencukupi atau tidak berkualiti juga menjejaskan emosi dan kemampuan membuat keputusan sekali gus menimbulkan tekanan pada individu.

Begitupun, banyak lagi faktor lain yang menggugat kesihatan mental antaranya, trauma silam, tekanan akademik atau pekerjaan serta krisis identiti.

RAMAI TIDAK SEDAR

Kesihatan mental merujuk kepada kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial seseorang.

Ia mempengaruhi cara berfikir dan bertindak.

Kesihatan mental yang baik membolehkan seseorang menangani tekanan harian, menjalin hubungan yang sihat, membuat keputusan yang baik dan memberi sumbangan positif kepada komuniti.

Malangnya, ramai individu tidak menyedari sedang mengalami tekanan atau kemurungan kerana simptom kadangkala muncul secara perlahan.

Ada juga yang menganggap perasaan sedih, letih atau mudah marah sebagai perkara biasa, tanpa menyedari itu mungkin petanda awal masalah kesihatan mental.

Justeru, peranan ahli keluarga dan rakan terdekat amat penting untuk membantu mengenalpasti gejala awal bagi mengelakkan situasi menjadi lebih teruk.

“Keluarga perlu memberi sokongan. Langkah pertama adalah mendengar tanpa menghukum. Tunjukkan empati dan galakkan mereka mendapatkan bantuan profesional.

“Penting juga untuk mencipta suasana rumah yang selamat dan stabil secara emosi serta menyokong mereka dalam proses pemulihan,” ujarnya.

Terdapat juga beberapa ujuan kendiri yang boleh dilakukan secara dalam talian untuk menilai tahap kesejahteraan emosi.

Antaranya, Depression Anxiety Stress Scales (DASS-21), Patient Health Questionnaire (PHQ-9) dan Generalized Anxiety Disorder scale (GAD-7).

Walaupun ujian ini memberi gambaran awal, ia tidak menggantikan diagnosis profesional.

Ini bermakna, individu yang telah melakukan ujian tersebut tetap perlu merujuk pakar untuk mengesahkan keputusan ujian yang diperoleh.

Individu digalakkan mendapatkan pandangan pakar psikologi atau kaunselor bertauliah untuk penilaian yang lebih tepat.

MUAY THAI TERAPI JIWA

Isu kesihatan mental dan fizikal dalam kalangan belia diberi nafas baharu menerusi program interaktif Gelanggang Jiwa: Menjulang Jiwa di Gelanggang Harapan yang berlangsung di Discover Muay Thai (DMT), Jalan Alor, Bukit Bintang baru-baru ini.

Program anjuran bersama Psitra UKM, Fakulti Kreatif Multimedia (MMU) dan DMT ini menghimpunkan lebih 80 peserta terdiri daripada pelajar UKM, MMU serta belia komuniti.

Menggabungkan elemen seni, sukan dan komunikasi visual, program itu memberi fokus kepada kesejahteraan mental, ekspresi kreatif dan advokasi sosial.

Antara aktiviti utama termasuk bengkel penceritaan digital, fotografi impak sosial dan sesi Muay Thai sebagai terapi emosi.

Azahah yang juga ketua program berkata, program itu mendekatkan belia dengan isu kesihatan secara holistik dan inklusif.

“Apabila peserta diberi ruang berinteraksi dengan seni dan tubuh mereka, mereka mula memahami bahawa kesihatan mental boleh difahami dan diperjuangkan,” katanya.

Sesi Muay Thai yang dikendalikan oleh fasilitator DMT membantu peserta melepaskan tekanan serta membina ketahanan diri.

Peserta melepaskan tekanan melalui aktiviti Muay Thai yang disusun khas sebagai alat refleksi dan pembinaan ketahanan emosi.

Manakala, bengkel yang dikendalikan oleh lima pensyarah MMU memberi pendedahan kepada potensi komunikasi visual dalam menyampaikan mesej kesihatan dengan berkesan.

Melalui aktiviti seperti fotografi impak sosial, infografik dan penceritaan digital, peserta diajar cara menyampaikan isu-isu kesihatan komuniti dengan cara yang lebih visual, mudah difahami dan menyentuh emosi masyarakat.

Kesihatan mental bukan hanya terhad di pusat kesihatan tetapi boleh bermula daripada gelanggang, seni dan empati dalam komuniti.

Bisikan yang ‘menyakitkan’

HANYA yang pernah merasai tahu betapa terseksanya tatkala berdepan dengan penyakit mental.

Rasa ingin menamatkan riwayat sendiri, bisikan halus, kosong dan tidak berdaya menjadi ‘mainan’ fikiran saban hari.

Itu yang dialami Fairus (bukan nama sebenar) tatkala bergelut dengan keadaan mentalnya selepas berdepan episod hitam.

Dia mengalami kemurungan dan kebimbangan melampau selepas menjadi mangsa gangguan seksual.

Hari-hari yang dilalui penuh onak dan duri.

Setiap hari, dia berperang dengan tekanan emosi yang sangat teruk, termasuk kesukaran tidur yang berlanjutan, mengasingkan diri selain mendengar bisikan suara yang berpanjangan.

Keadaan ini menyebabkan beliau menunjukkan simptom kemurungan yang jelas seperti hilang semangat, rasa tidak berharga serta kecenderungan untuk mencederakan diri sendiri.

Dalam masa sama, mengalami kebimbangan berlebihan seperti sentiasa ketakutan, panik dan rasa tidak selamat apabila berada di tempat awam atau berinteraksi dengan orang lain.

“Saya mengalami kesihatan mental ketika ada situasi triggered saya menyebabkan saya tidak mampu mengawal emosi dan beremosi secara berlebihan serta keinginan bunuh diri ketika itu.

“Perasaan saya seperti kosong, tidak bermaya, lebih senyap berbanding dahulu, rasa putus asa, rasa tidak disayangi, rasa tidak dihargai serta isu kepercayaan,” katanya.

Tambahnya, dia juga sentiasa berasa keliru dan tertekan.

Dia sering dihantui rasa cemas dan tidak tenteram selain kehilangan motivasi untuk meneruskan aktiviti harian.

“Sukar untuk menerima apa yang berlaku kerana ia menimbulkan rasa tidak selamat dan hilang kepercayaan terhadap orang sekeliling, terutamanya dalam persekitaran akademik.

“Gangguan emosi menjadi semakin berat dan saya sering menangis tanpa sebab yang jelas.

“Saya juga mula merasakan seolah-olah tiada siapa yang memahami apa yang saya alami, lalu timbul perasaan terasing dan sunyi walaupun berada dalam kalangan orang ramai.

“Suara-suara negatif dalam fikiran saya menjadi semakin kuat dan saya mula hilang kawalan terhadap emosi sendiri,” kongsinya.

Mujurlah, sokongan keluarga dan orang sekeliling yang tidak pernah putus meniupkan kembali semangatnya untuk terus berjuang melawan rasa sakit hari demi hari.

Dia juga tidak henti mendapatkan bantuan daripada pakar untuk mengendalikan trauma dengan baik.

Sementara itu, Azahah berkata, kemurungan dan kebimbangan melampau melibatkan gangguan terhadap kesejahteraan emosi dan kualiti hidup individu.

Kedua-duanya boleh menunjukkan simptom yang sama seperti gangguan tidur, keletihan dan sukar memberi tumpuan.

Namun, terdapat perbezaan utama antara keduanya.

Menurut American Psychiatric Association (2022), kemurungan dicirikan oleh perasaan kesedihan yang berpanjangan, hilang minat terhadap aktiviti harian dan rasa tidak bernilai atau bersalah yang mendalam.

Sementara itu,kebimbangan melampau lebih berkait dengan perasaan gelisah yang berlebihan, ketakutan terhadap perkara yang belum berlaku dan tindak balas fizikal seperti degupan jantung yang laju dan pernafasan pendek. Kedua-dua gangguan ini sering berlaku bersama (komorbid), khususnya dalam kalangan individu yang mengalami trauma seperti gangguan seksual.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN