Lima bahan di dapur yang boleh lembutkan kulit, tapak tangan

Lima bahan di dapur yang boleh lembutkan kulit tangan

Minyak kelapa, gula dan madu bermanfaat untuk melmbutkan kulit tangan.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kulit tangan, terutamanya di bahagian jari dan tapak tangan, merupakan antara bahagian tubuh yang paling kerap digunakan dan terdedah.

Tanpa disedari, bahagian itu cepat menjadi kasar, kering dan mengelupas.

Antara puncanya, kerap bertukang, mencuci tangan dengan sabun yang mengandungi bahan kimia serta terdedah kepada air berlebihan.

Namun, dengan hanya menggunakan beberapa bahan di dapur boleh mengembalikan keserian dan kelembutan kulit tangan.

Minyak kelapa

Minyak kelapa bukan sahaja memberi manfaat pada rambut, malah dapat digunakan sebagai pengganti losen.

Minyak kelapa dan minyak zaitun bertindak sebagai pelembap semula jadi yang kaya dengan vitamin E dan antioksidan.

Ia membantu mengekalkan kelembapan kulit, mencegah kekeringan, dan menjadikan tangan lebih lembut dan licin.

Sapukan minyak kelapa pada tapak tangan dan sekitar jari sebelum tidur.

Waktu malam adalah masa terbaik kerana tangan kurang digunakan, tidak kerap dicuci dan tidak menyentuh pelbagai permukaan.

Masker susu dan tepung beras

Sejak dahulu, tepung beras dipercayai mampu menanggalkan sel kulit mati, manakala susu segar pula bertindak sebagai pelembap semula jadi dan agen pencerah kulit.

Justeru, campuran kedua-dua bahan tersebut boleh dijadikan sebagai masker mudah untuk tangan.

Caranya, campurkan sedikit tepung beras dengan susu segar sehingga pekat.

Kemudian, sapu rata pada tapak tangan dan jari. Biarkan selama 15 minit sebelum dibilas dengan air bersih atau sebelum mandi.

Kaedah ini bukan sahaja membantu mencerahkan dan menghaluskan kulit tangan, malah dapat menjimatkan masa, tanpa perlu bersesak dalam trafik semata-mata untuk ke spa kecantikan.

Skrub gula bersama madu asli

Campuran gula dan madu bukan sahaja membantu membersihkan tapak tangan, malah turut melembapkan dan memperbaiki keadaan kulit yang kering atau rosak.

Madu mengandungi sifat antibakteria semula jadi yang membantu melindungi kulit daripada jangkitan dan iritasi, manakala gula pula bertindak sebagai ejen pengelupasan yang lembut untuk menanggalkan sel kulit mati.

Untuk hasil yang selamat dan tidak menyakitkan, gunakan gula halus dan tidak terlalu kasar, agar tidak memedihkan bahagian tangan yang mungkin mengelupas atau merekah.

Campurkan satu sudu besar gula halus bersama satu sudu besar madu, kemudian gosok perlahan-lahan pada tapak tangan dan jari, kemudian bilas.

Semua rutin ini perlu dilakukan secara berkala untuk mendapatkan hasil yang memuaskan dan berkekalan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×