“Kau kena kerja, bukan mencuri! Semua orang kerja!”
Tular sebuah video memaparkan dua penghantar makanan menangkap seorang pemuda yang disyaki mencuri. Kelihatan penghantar makanan itu marah sungguh dengan si pencuri kerana mudah meragut hak orang lain tanpa usaha. Lalu dialog di atas disergahnya masuk ke telinga si pencuri.
Terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana mengisytiharkan 1 Mei setiap tahun sebagai cuti hari pekerja. Benar! Kerja ialah lambang kemuliaan manusia.
Ia sangat sesuai dengan fitrah manusia kerana penempatan manusia di bumi berkait rapat dengan peranan mereka untuk memakmurkan bumi.
Allah tidak menempatkan manusia di bumi secara kosong, sebaliknya menyediakan segala bahan mentah dan sumber kehidupan untuk manusia teroka serta memanfaatkan menjadi sumber rezeki melalui pelbagai bidang pekerjaan.
Firman Allah yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (pelbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. (al-A’raf : 10)
Islam agama progresif yang bukan hanya menuntut penganutnya berteleku lama di atas tikar solat tanpa kerja. Sebaliknya, Islam menyarankan kita agar bertebaran di bumi mencari rezeki sejurus solat.
Firmannya yang bermaksud: Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia allah, serta ingatlah Allah dengan banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (al-Jumuah: 10)
Pernah satu hari para sahabat melihat seorang lelaki melintas di depan mereka dengan kesan kerja keras pada badannya. Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah, (alangkah baiknya) kalau keadaan lelaki itu sama ganjarannya dengan jihad pada jalan Allah.”
Baginda lantas bersabda memugarkan kefahaman yang bermaksud: “Jika seseorang itu keluar berkerja demi menyara anaknya yang kecil, keluar demi menyara kedua ibu bapanya yang tua atau keluar demi menyara dirinya untuk mengelakkan dirinya daripada mengemis kepada sesiapa maka, (semua itu) ia adalah suatu perjuangan pada jalan Allah. Tetapi jika dia keluar berkerja kerana menunjuk dan sombong maka ia adalah suatu perjuangan pada jalan syaitan” . (al-Mu’jam al-Awsat Imam al-Tabrani, 6835).
Ketika manusia normal keluar mencari rezeki halal, ada yang keluar mencuri, meragut atau merampas hak orang lain secara terang atau halus. Mereka ini manusia jahat yang tidak tahu malu.
Oleh itu, kita perlu luaskan skop ‘mencuri dalam kerja’ agar dihindari semua Muslim. Berikut beberapa contoh ringkas mencuri dalam kerja:
1) Pekerja yang suka curi tulang atau culas dalam kerja. Hak majikan yang membayar gaji dinafikan dengan berbagai helah. Golongan ini hanya cakna bahagian mereka.
Jika gaji atau habuan mereka lambat sampai, mereka akan bising melalak. Sebaliknya hak majikan yang dipersetujui bersama dalam akad surat tawaran kerja diabaikan.
2) Majikan yang culas membayar gaji pekerja. Mereka mencuri hak pekerja dengan berbagai helah jahat.
Nabi SAW mengancam keras berdsarkan hadis baginda yang bermaksud: Berikan upah kepada pekerja sebelum kering peluhnya. (Sunan Ibn Majah, 2443).
Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah turut memberi amaran keras majikan jenis ini yang bermaksud: Nabi SAW berkata Allah berfirman “Ada tiga jenis manusia yang Aku (sendiri) akan dakwa (serta musuhinya) pada hari kiamat, iaitu; (1) orang yang bersumpah dengan nama-Ku (nama Allah) lalu dia langgar (sumpah tersebut), (2) orang yang menjual manusia merdeka kemudian makan hasil jualannya (kerana manusia merdeka tak boleh dijual), (3) orang yang mengupah sesorang untuk melakukan sesuatu kerja, lalu yang diupahnya menyempurnakan kerjanya tapi si pengupah tetap tidak membayar upahnya (Sahih al-Bukhari, 2227).
3) Pekerja yang mengambil bayaran tambahan (tanpa kebenaran majikan) atas kerja yang sudah dibayar gaji oleh majikan. Bayaran tambahan ini dipanggil ghulul atau wang khianat.
Perkataan ghulul bermaksud bolot harta rampasan perang (Ali ‘Imran:161)
Dalam sebuah hadis Nabi memberi amaran perbuatan ini yang bermaksud: Sesiapa yang kami amanahkan untuk melakukan sesuatu pekerjaan, lalu kami upahnya dengan sejenis upah (bayaran atau gaji), maka apa sahaja yang diambilnya selepas (pekerjaan bergaji) itu adalah wang khianat (yang haram diambil). (Sunan Abu Dawud, 2943).
Pun begitu, jika majikan memberi kebenaran rasmi bagi sebarang bayaran tambahan untuk menaikkan semangat pekerja, ia dibenarkan syarak.
Oleh itu, kedua pihak (majikan dan pekerja) perlu ada maklumat jelas mengenai polisi berkenaan ‘tips’ ini untuk memastikan suasana kerja patuh Syariah serta diredhai Allah.
4) Menggunakan kedudukan atau jawatan sebagai batu loncatan untuk mendapat kelebihan peribadi.
Rasulullah SAW pernah melantik Ibn al-Utbiyyah mengutip zakat Bani Sulaym. Ketika mengumpulkan zakat yang dipungutnya, dia berkata kepada Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ini hasil kutipan zakat untuk kamu dan ini pula hadiah (pemberian) orang (Bani Sulaym) kepadaku.”
Rasulullah segera menegurnya dalam pidato baginda yang bermaksud: Ada seorang petugas yang aku tugaskan memungut zakat, lalu dia berkata, “ini zakat untuk kamu, dan ini pemberian orang kepadaku. Mengapa dia tidak duduk saja di rumah ibu bapanya menunggu orang mengantarkan hadiah kepadanya? (Pasti tiada sesiapa pun yang akan memberinya dakwaan hadiah tersebut).
Demi Allah! Tiada seorang pun antara kalian yang mengambil secara tidak sah sesuatu harta, melainkan akan memikul dosanya pada hari kiamat kelak”. (Sahih Muslim, 1832).
Mesej Rasulullah sangat jelas dalam hadis ini, mustahil si pengutip zakat itu mendapat hadiah tanpa jawatannya.
Aduhai! Sebenarnya banyak lagi contoh curi halus yang berlaku dalam umat Islam.
Cukuplah empat contoh di atas bagi menyesuaikannya dengan suasana hari pekerja. Ingat! Mencuri hak orang termasuk dosa besar kerana ia diancam Allah azab akhirat yang dahsyat.
Cukuplah firman Allah ini menjadi peringatan kepada kita semua agar tidak mencuri hak orang yang bermaksud: Kecelakaan besar bagi orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gaji, hasil kerja, gantang dan cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang (hak) orang lain, mereka kurangi. Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya), Hari berdiri manusia untuk mengadap Tuhan sekalian alam? (al-Mutaffifin: 1-6)- UTUSAN
Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim (al-Hafiz) adalah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.










