Bergelar guru bukan sekadar mengajar di dalam kelas.
Ia menuntut tanggungjawab yang lebih berat untuk mencorak masa hadapan terbaik buat anak bangsa.
Hanya pendidik berjiwa besar yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencurahkan ilmu kepada anak didik.
Kejar murid sampai masuk longkang, digigit budak autisme dan dukung murid sindrom down daripada kantin ke kelas merupakan rutin biasa buat Abdul Halim Mohd. Nasa,40.
Guru pendidikan khas ini menganggap setiap momen adalah pengalaman berharga dalam mendidik anak-anak istimewa.
Tidak seperti guru-guru lain, mengajar anak-anak istimewa menuntut kemahiran berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dan kesabaran tinggi melayan keperluan yang berbeza.
“Waktu PKP, ada murid dengan masalah pendengaran yang tantrum di rumah pun saya datang pujuk serta tenangkan.
“Ada juga murid mengatakan saya bodoh, tidak pandai isyarat tangan waktu mengajar. Mulanya saya rasa malu tetapi apabila difikirkan, mereka tidak ada banyak perkataan dalam kamus hidup. Mereka hanya bersikap jujur.
“Jadi, saya berusaha mencapai tahap paling optimum sebagai seorang guru. Tatkala saya kenangkan semula, saya tersenyum sendirian dan mengucapkan syukur kerana Allah hantar manusia hebat untuk menegur dan meruntuhkan ego saya,” katanya.
Selama 15 tahun bergelar guru pendidikan khas, anak kelahiran Bagan Datuk, Perak ini mempunyai hubungan yang akrab dengan anak murid.
Kelembutan dan kepintarannya berinteraksi dengan anak-anak istimewa amat menyentuh hati.
Melalui perkongsiannya di aplikasi Tiktok,anak didik kelihatan sangat sayang kepadanya, malah murid-murid lelaki sering memeluknya dengan erat.
Itu sudah cukup menunjukkan betapa guru ini berjaya menambat hati anak istimewa untuk menimba ilmu dek kasih sayang yang dicurahkan.
“Kepuasan terbesar adalah melihat murid berjaya mencapai kemajuan walaupun kecil. Perasaan apabila murid boleh menulis, membaca, menghafal atau berinteraksi dengan lebih baik sangat menyentuh hati.
“Ia membuatkan segala penat lelah dan usaha berbaloi. Satu lagi kepuasan muncul apabila murid-murid tamat sekolah, dapat berdikari, belajar hidup di dunia nyata, inklusif dengan masyarakat di samping membina keluarga.
“Ia membuatkan saya benar-benar puas kerana matlamat terhadap mereka daripada awal lagi ialah kehidupan berdikari di luar bersama masyarakat,” katanya.
Guru Cemerlang Pendidikan Khas ini juga menanam impian untuk mencetus perubahan dalam pendidikan khas.
Beliau mahu menghasilkan modul pembelajaran yang mesra Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) selain menggunakan teknologi dan inovasi bagi memberi impak dalam pengajaran dan pembelajaran serta masyarakat.
“Saya juga bercita-cita untuk membina satu platform komuniti dalam talian yang menyatukan guru dan ibu bapa untuk berkongsi strategi dan sokongan.
“Dalam jangka masa panjang, saya berharap dapat melatih guru-guru baharu dalam bidang ini, agar legasi kepimpinan pendidikan khas terus berkembang. Itu semua jika direzekikan oleh tuhan. Saya merancang dan berusaha ke arah itu.
“Seperkara lagi, mungkin saya berusaha membina dan membuka kafe untuk peluang pekerjaan murid-murid pendidikan khas bagi menunjukkan kemahiran mereka dalam pelbagai bidang kemahiran seiring dengan pengenalan subjek kemahiran dalam kurikulum pendidikan khas,” ujarnya.
Beliau berharap pendidikan khas diberi tempat yang setara dalam arus perdana dan bukan sekadar pelengkap sistem.
Antara yang boleh ditambahbaik adalah menambah bilangan jurubahasa isyarat dan pegawai sokongan di sekolah, latihan profesional berkala untuk guru serta pembangunan kurikulum yang lebih fleksibel.
“Saya juga ingin melihat lebih banyak peluang pendidikan pasca sekolah khas supaya anak-anak istimewa tidak berhenti di bangku sekolah, tetapi terus menyinar dalam masyarakat,” ujarnya.
JADI SPIDERMAN, HIBURKAN MURID

Seperti guru Pendidikan Islam, Muhammad Tarmizi Awang@Yaacob yang sanggup menjadi ‘Spiderman’ semata-mata untuk menarik minat pelajar ke sekolah.
Kenangan manis semasa mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kut di Daro, Sarawak masih segar diingatannya meskipun kini sudah hampir setahun berpindah ke sekolah di semenanjung.
Pengalaman menabur bakti di daerah terpencil di bumi kenyalang itu memberi peluang kepadanya untuk benar-benar ‘mendidik dengan jiwa’.
Di sebalik kesunyian yang menghimpit perasaan dek terpaksa berjauhan dengan keluarga, guru asal Kuala Krai, Kelantan ini cekal menjadikan sekolah bak ‘syurga’ buat anak-anak didik.
“Saya pakai kostum Spiderman semasa hari pertama murid ke sekolah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Setelah sekian lama mereka tidak ke sekolah, saya mahu mereka kembali bersemangat.
“Mereka juga selalu cerita mengenai adiwira itu kepada saya dan disebabkan timbul rasa kasihan, saya realisasikan watak itu di depan mata mereka.
“Di pedalaman, keseronokan anak-anak hanya di sekolah. Mereka tiada sumber keseronokan lain seperti di bandar. Sebab itu, saya sentiasa berusaha mewujudkan suasana yang ceria supaya mereka suka datang sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bukan itu sahaja, guru yang mesra disapa sebagai ustaz di sekolah ini juga sanggup berhabis duit poket sendiri demi mewujudkan kelas yang cantik dan selesa.
Biarpun terpaksa mengharungi jalan berdebu dan semak samun sejauh 20 kilometer untuk ke sekolah saban hari, semangatnya tidak pernah pudar.
Ribuan ringgit dibelanjakan demi menghias kelas persis kafe yang dinamakan The Cafe Class.
“Saya memang minat konsep kafe, jadi saya terdetik hendak wujudkan suasana kafe yang cantik di dalam kelas.
“Anak-anak murid suka sangat dan mereka juga suka ke sekolah. Saya juga ada buat ‘Kebun Cinta’ iaitu kebun sayur yang dijaga bersama murid menjadi simbol kasih sayang dan pendidikan nilai,” katanya yang mengajar selama enam tahun di situ.
Biarpun kini semuanya tinggal kenangan selepas berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Batang Kali di Selangor penghujung tahun lalu, namun kenangan itu tersemat kemas di sanubarinya.
Pengalaman yang mungkin sekali seumur hidup itu banyak mendidiknya mengenai kesederhanaan dan kehidupan yang dekat dengan alam.
“Sejujurnya, saya masih belum move on daripada sekolah lama. Di situ, saya bukan hanya rapat dengan pelajar, malah dengan ibu bapa mereka.
“Saya juga banyak melakukan aktiviti bersama penduduk kampung seperti memancing udang galah. Murid pernah menghadiahkan saya udang galah semasa Hari Guru. Sangat terharu kerana mereka tetap menghargai dengan cara tersendiri.
“Pengalaman ini mengubah perspektif hidup dan kerjaya serta membina rasa cinta mendalam pada profesion perguruan. Harap lebih ramai guru muda berani cabar diri di kawasan luar bandar,” katanya.
Hampir terkandas banjir besar

Banjir besar yang berlaku di Ulu Tembeling, Jerantut,Pahang pada 2017 hampir sahaja merencatkan rencana pernikahan Hidayatul Nur Aqilah Mat Ali yang ketika itu bertugas sebagai guru di pedalaman tersebut.
Mujurlah, beliau sempat keluar walaupun terpaksa mengharungi air sungai yang besar untuk pulang ke kampung halamannya di Jerantut, Pahang.
Momen itu antara pahit manis bergelar guru di SK Ulu Tembeling Jerantut- Sekolah Pedalaman P3.
Selama 10 tahun berbakti di daerah terpencil itu, banyak cabaran yang dialami terutamanya kekurangan fasiliti.
“Saya mengambil masa kurang sebulan untuk menyesuaikan diri di sini. Di mana pun ada cabarannya tersendiri. Bagi saya di pedalaman, antara cabarannnya adalah kerap mengalami gangguan bekalan elektrik dan jauh daripada tempat untuk mencari kemudahan asas dengan harga yang berpatutan.
“Contohnya, sekiranya sekolah ada majlis-majlis tertentu, agak sukar mencari barang-barang dekorasi dengan cepat. Sama ada kami hanya menggunakan bahan-bahan yang sedia ada ataupun perlu merancang pembelian seminggu lebih awal dengan mencari barang-barang tersebut di bandar yang terletak dua jam dari sini,” kongsinya.
Namun, itu tidak menghalang wanita itu untuk terus menabur bakti kepada anak bangsa.
Baginya, setiap kanak-kanak berhak mendapatkan ilmu untuk menjadi penuntun masa hadapan yang lebih cerah.
“Saya doakan mereka boleh pergi lebih jauh dalam bidang pendidikan untuk mengubah nasib diri. Ada anak didik di sini yang hanya belajar sehingga darjah enam sahaja dan situasi ini amatlah mendukacitakan.
“Sekolah menengah paling dekat pun memakan masa sejam. Jadi, ada yang tidak mahu sambung sekolah menengah kerana tidak mahu tinggal di asrama dan berjauhan dari keluarga.
“Selain itu, saya harapkan penambahbaikan daripada segi silibus pendidikan yang lebih praktikal dan sesuai dengan peringkat usia anak-anak,” luahnya.-UTUSAN










