Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) mencapai kemajuan membanggakan dalam rawatan dan diagnostik dengan penggunaan teknologi terkini dan kecerdasan buatan (AI).
Pusat Pembedahan Robotik dan Invasif Minimum (MIS) yang dibangunkan dilengkapi sepenuhnya dengan beberapa sistem pembedahan robotik tercanggih untuk pembedahan penggantian sendi, tisu lembut dan tulang belakang.
Justeru, menjadikannya hospital pertama di Malaysia yang memperkenalkan Penyelesaian Tulang Belakang AiBLETM (AiBLE Spine Solution) dan yang pertama di Asia Tenggara (SEA) yang memasang Suite Pembedahan Tulang Belakang AiBLETM.
Suite Pembedahan Tulang Belakang AiBLETM mengintegrasikan tiga teknologi canggih iaitu Sistem Panduan Robotik Tulang Belakang, StealthStationS8 dan Sistem Pengimejan O-arm (O-arm Imaging System), bagi menyediakan perkhidmatan pembedahan tulang belakang yang menyeluruh dan dipacu data.
Suite yang dibangunkan itu menggabungkan teknologi inovatif, perisian, perkhidmatan dan sokongan pakar untuk meningkatkan ketepatan pembedahan dan hasil rawatan pesakit.
StealthStation dan Sistem Pengimejan O-arm dipasang pada Julai 2024, diikuti dengan pemasangan Sistem Panduan Robotik Tulang Belakang pada September 2024.
Gabungan sistem ini menggunakan analitik data, pertukaran maklumat, visualisasi masa nyata, dan robotik bagi memenuhi keperluan pakar bedah dan pesakit.
Perancangan pembedahan berasaskan AI memberi kelebihan untuk menganalisis data khusus pesakit termasuk pengimejan, untuk membangunkan rancangan pembedahan yang disesuaikan selain meningkatkan keselamatan dan kecekapan.
Panduan intraoperatif masa nyata pula menyediakan maklum balas masa nyata untuk meningkatkan ketepatan penempatan instrumen, mengurangkan komplikasi serta risiko pembedahan semula.
Teknologi ini juga mengumpul dan menganalisis data pembedahan secara berterusan untuk mendapat keputusan yang lebih baik dan hasil pembedahan yang optimum.
JALANKAN PROSUDER KOMPLEKS
Penambahan AiBLETM digunakan secara eksklusif oleh pasukan tulang belakang.
Ia membolehkan pasukan pakar bedah yang berkemahiran tinggi untuk menjalankan prosedur kompleks bagi pelbagai keadaan tulang belakang, seperti penyakit cakera degeneratif, stenosis, cakera terkehel, deformiti tulang belakang seperti skoliosis dan kifosis, fraktur, tumor dan spondilolistesis.
SMC baru-baru ini mengintegrasikan modul AI untuk X-ray dada dengan Annalise AI9.
Modul ini menggunakan teknologi AI terkini untuk memberikan penilaian komprehensif terhadap potensi abnormaliti.
Antaranya, pneumotoraks, nodul paru-paru, pneumomediastinum, fraktur (rusuk, klavikel, humerus), kedudukan tiub nasogastrik dan banyak lagi.
Pusat Perubatan Sunway di Bandar Sunway merupakan hospital swasta pertama di Malaysia yang menerima tiga akreditasi hospital yang utama.
SMC turut dianugerahkan Joint Commission International’s Gold Seal of Approval® untuk Akreditasi Hospital dari Amerika Syarikat (USA).
Selain itu, ia telah menerima pengiktirafan daripada Australian Council on Healthcare Standards (ACHS) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH), sekaligus membuktikan komitmennya untuk terus mengekalkan piawaian dan penanda aras bertaraf antarabangsa bagi penjagaan dan keselamatan pesakit.-UTUSAN










