PERCAYA kepada ‘doktor’ TikTok menjadi antara penyebab masalah mati pucuk atau kegagalan ereksi (ED) sukar dirawat di negara ini.
Kebanyakan lelaki didakwa lebih gemar mencuba rawatan yang ditawarkan di platform media sosial itu berbanding ke hospital berjumpa pakar.
Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan Urologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof. Datuk Dr. Zulkifli Md. Zainuddin berkata, golongan pesakit turut dilihat ‘patuh’ dan bergantung kepada nasihat ‘doktor’ TikTok sedangkan sumbernya tidak sahih serta berisiko.
“Kesedaran mengenai rawatan ED semakin berkembang, terutama dengan perbincangan meluas di media sosial, sekali gus membolehkan lelaki mendapatkan maklumat tentang pilihan rawatan yang ada.
“Namun, masalahnya ialah ramai pesakit cenderung untuk mencuba rawatan yang tidak terbukti keberkesanannya.
“Ia termasuk membeli ubat-ubatan tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan daripada ‘doktor’ TikTok,” katanya baru-baru ini.

Sedangkan, tindakan itu berupaya memberi kesan sampingan atau risiko yang tidak diingini kepada kesihatan mereka.
Hal itu kerana, rawatan ED yang tepat perlu melalui diagnosis yang betul oleh profesional kesihatan.
Terdahulu, Zulkifli berkata, ED adalah keadaan di mana seorang lelaki tidak dapat mengekalkan ereksi yang cukup untuk melakukan hubungan intim.
Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, daripada ketidakmampuan untuk mencapai ereksi langsung, hingga kesulitan untuk mengekalkannya sepanjang hubungan seksual.
Lelaki yang mengalaminya mungkin masih boleh mencapai ereksi, tetapi tidak setiap kali, atau dalam sesetengah kes, langsung tidak mendapatnya walaupun mempunyai keinginan seksual.
Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan fizikal tetapi juga psikologi, mengganggu keyakinan diri dan hubungan dengan pasangan.
Katanya, antara rawatan yang disarankan adalah penggunaan ubat seperti PDE 5 inhibitor yang terbukti berkesan dalam membantu pesakit mencapai ereksi yang memadai.
Tambahnya lagi, terdapat pelbagai jenis ubatan itu di pasaran yang mampu memenuhi ekologi seksual pesakit.
Contohnya, ia bertindak sepantas 10 minit selepas diambil, bahkan ada yang boleh bertahan selama 36 jam dan pelbagai lagi.
Namun, beliau meminta pesakit bersikap realistik dan memahami proses rawatan mungkin mengambil masa, terutama bagi pesakit yang lebih berusia.
“Selain ubat-ubatan, rawatan lain yang disediakan ialah terapi hormon dan vakum, di samping suntikan ke zakar, malah dalam beberapa kes, ia melibatkan pembedahan prosthesis zakar.
“Setiap rawatan perlu disesuaikan dengan keadaan individu dan dipantau dengan teliti oleh doktor yang berkelayakan,” katanya.
Gaya hidup sihat
Rawatan perubatan bukanlah satu-satunya pendekatan yang perlu diambil dalam merawat ED.
Jelas Zulkifli, gaya hidup yang sihat turut memainkan peranan penting dalam kejayaan rawatan penyakit itu.
Menghindari tabiat buruk seperti merokok, meminum alkohol serta tidak bersenam adalah antara langkah yang disarankan diambil pesakit.
Katanya, aktiviti fizikal yang konsisten dapat membantu memperbaiki aliran darah dan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.
“Amalkan juga diet seimbang dengan memperbanyakkan sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan kaya antioksidan bagi mengekalkan kesihatan pembuluh darah serta meningkatkan fungsi seksual.
“Selain itu, faktor mental dan emosi juga tidak boleh dipandang ringan kerana lelaki yang mengalami ED sering berdepan dengan masalah keyakinan diri serta ketegangan dalam hubungan peribadi mereka.
“Oleh itu, sokongan psikologi sangat penting untuk membantu mereka mengatasi kesan psikologi akibat masalah seksual ini,” katanya.
Ujarnya, terapi seperti kaunseling atau sokongan daripada pasangan dapat membantu mengurangkan stres dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan mental pesakit ED.
Diabetes, obesiti
Faktor usia bukan lagi penyebab utama masalah ED dalam kalangan lelaki.
Kini, ia semakin menular dalam kalangan golongan muda di bawah 40 tahun disebabkan diabetes, obesiti, darah tinggi, sakit jantung dan testosteron rendah.
Zulkifli berkata, penyakit-penyakit itu boleh mengganggu aliran darah yang penting untuk fungsi ereksi normal.
Fenomena ini membimbangkan kerana turut mencerminkan kemerosotan kesihatan lelaki secara keseluruhan.
Dalam masa sama, katanya, ia boleh menjadi tanda awal penyakit jantung koronari.
“Di zaman moden ini, lelaki muda cenderung menjalani gaya hidup kurang aktif dan mengabaikan diet sihat.
“Malah, golongan ini banyak menghabiskan masa dengan aktiviti yang merosakkan kesihatan seperti merokok, minum alkohol dan kurang bersenam.
“Ini menyebabkan mereka lebih berisiko untuk menghidap penyakit yang menyumbang kepada ED,” katanya.
Selain itu, Zulkifli berkata, masalah kesihatan mental termasuk tekanan dan kemurungan turut menjadi punca utama masalah ini.
Kajian menunjukkan lebih ramai lelaki muda mengalami stres akibat tekanan hidup yang semakin kompleks.
Ia termasuk tekanan kerja, masalah kewangan dan hubungan peribadi yang tidak stabil.
“Gabungan tabiat buruk ini dengan kekurangan kesedaran mengenai pentingnya kesihatan seksual, menjadikan lelaki muda lebih mudah terdedah kepada ED.
“Oleh itu, penting untuk mendapatkan rawatan yang tepat dan mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengatasi masalah ini,” katanya.
Pengambilan langkah awal untuk menjaga kesihatan seksual dan amalan gaya hidup sihat dapat membantu mencegah ED sekali gus meningkatkan kualiti hidup lelaki secara keseluruhan.
Malah, katanya, lelaki muda tidak perlu lagi malu atau berasa terasing apabila berdepan dengan masalah tersebut.










