Pil besar payudara jejaskan hormon

Pil besar payudara jejaskan hormon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NALURI setiap wanita mahu tampil cantik dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Disebabkan obses untuk kelihatan menawan, segelintirnya sanggup mencuba pelbagai produk-produk kecantikan di pasaran.

Ini termasuk pil pembesaran payudara, bagi mendapatkan saiz diidamkan, tanpa perlu melakukan pembedahan.

Pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, tindakan tersebut bagaimanapun berisiko memberi kesan buruk kepada kesihatan kaum hawa termasuk risiko kanser.

Tambahan pula, produk yang didakwa berfungsi membesarkan payudara itu sebenarnya tidak pernah melalui sebarang kajian saintifik yang sah dan diiktiraf.

“Dalam kebanyakan kes, produk tersebut mengandungi bahan aktif yang meniru fungsi hormon estrogen wanita.

“Hormon ini memainkan peranan penting dalam perkembangan ciri-ciri seksual termasuk pembentukan dan pertumbuhan tisu payudara.

“Jika diambil secara berlebihan atau tanpa pengawasan, ia boleh mengganggu keseimbangan hormon semula jadi dalam tubuh seseorang,” katanya.

Kesan ketidakseimbangan hormon akibat pengambilan estrogen berlebihan boleh menyebabkan haid tidak teratur, sindrom pra-haid (PMS) yang lebih teruk, dan mengganggu kesuburan.

Ia kerana paras hormon progesteron iaitu hormon yang penting dalam proses ovulasi dan penyediaan rahim untuk kehamilan mula menurun disebabkan oleh kehadiran estrogen berlebihan

Ketidakseimbangan ini juga meningkatkan risiko endometriosis, fibroid rahim dan perubahan abnormal pada lapisan rahim yang boleh membawa kepada kanser.

Lebih membimbangkan lagi, kesan ketidakseimbangan hormon tesebut juga mengundang kepada risiko masalah kesihatan yang lebih serius seperti kanser payudara.

Ini kerana tisu payudara yang terdedah kepada paras estrogen lebih tinggi akan mengalami rangsangan yang tidak normal dan boleh mencetuskan pertumbuhan sel-sel yang berpotensi menjadi kanser.

Di samping itu, pengambilan estrogen dalam dos tidak terkawal boleh menyebabkan pembekuan darah sekali gus meningkatkan risiko angin ahmar dan serangan jantung.

Namun lebih mengecewakan, kesan pembesaran payudara yang dijanjikan itu tidak semestinya kekal, malah ada yang melaporkan tiada perubahan langsung walaupun telah mengambil pil itu untuk jangka masa panjang.

Dalam pada itu, pakar perubatan kesihatan masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pengambilan pil pembesaran payudara turut mendapat sambutan dalam kalangan lelaki yang tergolong dalam kumpulan transgender.

Apabila tubuh lelaki menerima estrogen dalam jumlah yang tinggi, penghasilan hormon testosteron akan terganggu.

“Ini boleh membawa kepada penurunan nafsu seksual, masalah mati pucuk, dan lebih serius lagi, menyebabkan kemandulan sama ada sementara atau kekal.

“Fungsi testis juga boleh terjejas, dan penghasilan sperma akan menurun secara drastik, “ katanya.

Pengambilan pil tersebut juga akan mengubah perubahan fizikal pada seseorang lelaki kepada ciri feminin.

Perubahan fizikal yang akan berlaku ialah seperti pembesaran payudara, pengurangan bulu badan, kulit yang menjadi lebih lembut, dan pengecilan otot.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×