DI kebanyakan negara, wujud kebimbangan mengenai wabak senyap tetapi meluas yang berpunca daripada penggunaan antibiotik secara berlebihan dan tidak terkawal.
Ia jelas dilihat dalam rawatan sakit tekak, yang lazimnya disebabkan oleh jangkitan virus dan tidak memerlukan antibiotik.
Penggunaan yang berlebihan telah mengakibatkan kesan serius, termasuk peningkatan mendadak dalam kewujudan bakteria tahan antibiotik atau superbug yang kini menjadi ancaman besar kepada kesihatan awam.
Malah, penyalahgunaannya boleh mengakibatkan peningkatan kadar kematian sekali gus menjejaskan sumber perubatan dan merumitkan usaha rawatan secara keseluruhan.
Oleh itu, penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dan menggalakkan amalan preskripsi antibiotik yang lebih bertanggungjawab bagi melindungi kesihatan awam serta memastikan keberkesanan antibiotik sedia ada dapat dikekalkan.
Laporan Global Antimicrobial Resistance and Use Surveillance System (Glass) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan Malaysia sebagai negara yang perlu berwaspada berikutan peningkatan kadar rintangan antimikrob (AMR).
Jika dibandingkan dengan negara Asia lain, Malaysia berada dalam kalangan negara dengan kadar penggunaan antibiotik tertinggi, seiring dengan Thailand dan China, yang mana mendapatkan antibiotik tanpa preskripsi masih merupakan satu isu berleluasa.
Walaupun Kementerian Kesihatan berulang kali memberi amaran mengenai bahaya AMR, trend pemberian preskripsi antibiotik secara berlebihan masih berleluasa.
Antaranya, disebabkan salah faham dalam kalangan pesakit. Kajian menunjukkan 67.2 peratus masyarakat mempunyai tanggapan salah yang antibiotik boleh menyembuhkan jangkitan virus manakala 34.8 peratus percaya antibiotik berkesan untuk melegakan kesakitan.
Selain itu, ramai doktor dalam perkhidmatan kesihatan awam dan swasta sering dipengaruhi oleh jangkaan pesakit dan ketidaktentuan diagnostik, menyebabkan preskripsi antibiotik dibuat walaupun ia tidak diperlukan secara klinikal.
Di hospital Malaysia, ancaman AMR semakin jelas dengan peningkatan strain bakteria tahan ubat seperti methicillin-resistant staphylococcus aureus (MRSA) dan carbapenem- resistant enterobacteriaceae (CRE).
Situasi ini mengakibatkan tempoh rawatan di hospital menjadi lebih lama, kos perubatan meningkat dan kadar kegagalan rawatan semakin tinggi.
Malah, rawatan untuk jangkitan bakteria tahan antibiotik boleh menelan kos tiga kali ganda lebih mahal berbanding jangkitan biasa, sekali gus memberikan tekanan kewangan yang besar kepada pesakit serta sistem penjagaan kesihatan negara.
IMPAK EKONOMI, ALAM SEKITAR
Selain kesan terhadap kesihatan, AMR juga membawa impak besar kepada ekonomi dan alam sekitar.
Bank Dunia menganggarkan menjelang 2050, AMR boleh menyebabkan kemelesetan ekonomi global sebanyak 3.8 peratus yang berpotensi mengakibatkan kemiskinan buat 28 juta orang.
Tambahan pula, impak kepada alam sekitar terlalu besar untuk dibiarkan kerana antibiotik berlebihan sering kali dibuang ke dalam air sisa, mencemari tanah dan sungai serta menyumbang kepada penyebaran rintangan antibiotik dalam populasi bakteria di luar hospital.
Walaupun statistik menunjukkan gambaran yang membimbangkan, Malaysia masih mempunyai peluang untuk bertindak.
Negara ini telah mencapai kemajuan nyata dalam kesihatan awam, merangkumi pelaksanaan program pemantauan antibiotik di peringkat kebangsaan serta kempen kesedaran masyarakat.
Namun, usaha ini perlu diperluas dan diperkukuh dengan pendekatan jangka panjang yang melibatkan pelbagai sektor.
Langkah seterusnya yang kritikal termasuk memperketat penguatkuasaan terhadap penjualan antibiotik, meningkatkan keupayaan diagnostik di fasiliti penjagaan primer, serta memperkukuhkan kerjasama antara penyedia perkhidmatan kesihatan, penggubal dasar dan masyarakat umum.
Malaysia mempunyai rekod pencapaian yang kukuh dalam mempertingkat sistem kesihatan, menjadikannya berada dalam kedudukan unik untuk menerajui usaha menangani AMR di dalam negara dan di peringkat serantau, khususnya di Asia Tenggara.
Dengan kejayaan dalam meningkatkan penjagaan kesihatan dengan memperkukuh undang-undang penjagaan kesihatan universal ke menerajui program pengurusan penyakit berjangkit, Malaysia mampu menyokong pelan tindakan serantau AMR yang menyatukan negara-negara ASEAN dalam usaha kolektif untuk menghentikan penyalahgunaan antibiotik.
Dengan memperjuang peraturan rentas sempadan yang lebih ketat terhadap penjualan antibiotik, menyeragamkan garis panduan preskripsi serta menggerakkan kempen kesedaran berskala besar, Malaysia boleh menetapkan penanda aras dalam penggunaan antibiotik yang bertanggungjawab di Asia Tenggara.
Pada saat kritikal ini, Malaysia memiliki peluang untuk menjadi peneraju serantau dalam usaha menentang AMR dengan kepemimpinan yang kukuh dan tindakan segera.
Malaysia berpotensi menetapkan model serantau bagi penggunaan antibiotik yang mapan dengan menggerakkan reformasi kawal selia, menggalakkan kolaborasi merentas sektor dan menerima inovasi baharu dalam teknologi.
Sebagai sebahagian daripada usaha ini, kami kini sedang dalam persiapan untuk melancarkan Konsensus Sakit Tekak Malaysia.
Konsensus ini, yang berasaskan bukti klinikal terkini dan saranan pakar pelbagai disiplin, adalah satu langkah penting dalam membantu golongan profesional penjagaan kesihatan membuat keputusan yang lebih bijak dalam penggunaan antibiotik.
Walaupun cabaran dihadapi amat besar, namun dengan dasar betul, Malaysia boleh melindungi kesihatan awam dan menggerakkan ASEAN ke arah masa depan agar antibiotik kekal berkesan untuk generasi akan datang.
-Prof. Dr. Baharudin Abdullah adalah Perunding Kanan, Jabatan Otorinolaringologi Pembedahan Kepala & Leher Universiti Sains Malaysia (USM)










