Musim sakura dengan al-Quran

Musim sakura dengan al-Quran

Penulis (duduk, kiri) dan para hafiz skim latihan praktikal dari Universiti Sains Islam Malaysia yang mengimamkan solat sepanjang Ramadan bersama Pengurus JDC, Zulkarnain Hasan Basri di Osaka, Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Kuntuman bunga sakura yang berkembang hampir di seluruh Jepun sangat menenangkan jiwa. Melihat betapa nyamannya cuaca serta indahnya pandangan, barulah penulis faham mengapa Rasulullah SAW mengajar doa khusus agar al-Quran menjadi taman bunga jantung hati orang beriman.”

Benar! Dalam sebuah doa, baginda memohon kepada Allah dengan lafaz yang unik.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Abdullah bin Mas’ud r.a berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda – “Tiada seorang pun yang mengalami resah atau sedih, lalu dia berdoa dengan doa ini – Ya Allah! … Aku mohon dengan semua nama yang Engkau miliki, sama ada yang Engkau namakan sendiri untuk diri-Mu, atau nama-Mu yang pernah Engkau ajarkan kepada mana-mana makhluk-Mu, atau (nama-Mu) yang pernah Engkau turunkan dalam (semua) kitab-Mu, atau (nama-Mu) yang Hanya Engkau sahaja ketahui dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, (Aku mohon dengan semua nama-Mu yang sangat banyak itu) agar engkau jadikan (isi) al-Quran sebagai musim bunga jantung hatiku, sinar bagi dadaku, penghilang kesedihanku dan penghapus kesusahanku – melainkan Allah akan hilangkan keresahan dan kesedihannya.
Juga Allah akan mengganti (keresahan dan kesedihannya itu) dengan jalan keluar (penyelesaian masalah).”

Memuatkan artikel berkaitan…

Para sahabat lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, bolehkah kami pelajarinya?” Baginda menegaskan: “Ya! Memang patut kepada sesiapa yang mendengarnya untuk mempelajarinya” (Musnad Ahmad, 3528).

Lafaz Rabi’ dalam doa ini merujuk kepada musim bunga atau hujan yang menumbuhkan berbagai tumbuhan serta menghidupkan bumi yang mati.

Pada musim bunga limpahan rahmat Allah SWT dengan kuntuman bunga yang indah, udara yang segar serta cuaca yang menenangkan jiwa terserlah dengan nyata.

Begitulah perumpamaan isi kandungan al-Quran yang dibaca-faham serta dihayati orang beriman.

Ia mampu menenangkan jiwa dengan berbagai panduan tuhan serta solusi kepada berbagai masalah kehidupan.

Musim bunga Sakura memang saat yang ditunggu-tunggu oleh semua warga Jepun dan orang luar Jepun. Ia menjadi waktu puncak ke Jepun dan harga tiket penerbangan naik berganda.

Musim bunga juga menandakan permulaan kehidupan baharu bagi orang Jepun. Kenaikan gaji juga berlaku dalam bulan ini. Bulan yang memberikan harapan baharu kepada kebanyakan orang Jepun.

Pada akhir Ramadan lepas yang juga musim bunga di Jepun, penulis berpeluang berpuasa dan berhari raya di Japan Da’wah Centre (JDC), sebuah Bangunan Dakwah lima tingkat tajaan orang Malaysia di Osaka yang menelan kos pembelian dan pengubahsuaian sebanyak RM4 juta.

Sejak penubuhannya pada tahun 2019, sudah 114 orang memeluk Islam di JDC. Ketika tiba di JDC pada 28 Mac 2025 penulis bertuah menyaksikan syahadah seorang wanita Mongolia yang menetap di Jepun.

Menurutnya, kebanyakan orang Mongolia sangat sekular dan tidak mengenal agama. Setelah berhijrah ke Jepun, beliau mulai belajar Islam kerana kagum dengan kekentalan jiwa muslimin Palestin yang ditindas Zionis Israel.

Tambah mengagumkan, muslimin Palestin masih mampu berpuasa ketika dalam kesusahan. Selepas belajar Islam dan mengenal Allah, berlaku peristiwa genting yang melibatkan ahli keluarganya.

Beliau berdoa kepada Allah SWT yang baharu dikenalinya agar masalah keluarganya hilang. Tidak sampai sehari! Doanya dimakbulkan Allah SWT. Berikutan itu, keyakinannya kepada Islam bertambah tebal sehingga akhirnya dia mengucapkan syahadah di JDC.

JDC yang mendapat suntikan dana oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia, aktif menjalankan berbagai program unik sejak penubuhannya.

Terbaharu, JDC membuka peluang kepada rakyat Malaysia berpuasa dan beriktikaf di JDC sepanjang Ramadan.

Program ini dinamakan ‘Dakwah Ramadan Musim Bunga’. Kos penginapan ditawarkan dengan harga serendah RM330 seminggu. Makan minum, iftar dan sahur peserta ditanggung sepenuhnya oleh JDC melalui tajaan Muslim Malaysia.

Kos iftar serta sahur harian mencecah RM1,500 manakala pada hari minggu mencecah RM3,000. Pada hari raya lepas, JDC turut menyediakan juadah khas percuma kepada Muslim dari pelbagai negara yang datang bersolat raya.

Selain itu, sepanjang Ramadan lepas, pihak Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bekerjasama dengan JDC membekalkan lima orang imam hafiz al-Quran dengan skim latihan praktikal.

Dua imam bertugas di JDC, seorang di Osaka Islamic Centre dan dua orang di Masjid Shiga. Mereka dihantar untuk program ini atas inisiatif serta sokongan Naib Canselor USIM, Prof. Ts Dr. Sharifudin Md. Shaarani.

Program sepanjang Ramadan ini bukan sahaja mengangkat nama JDC dan USIM, tetapi turut menjulang nama Malaysia sebagai negara Islam contoh yang mampu membekalkan para pendakwah berkualiti dalam membantu perkembangan Islam di Jepun.

Selain menyertai program ‘Dakwah Ramadan Musim Bunga’, kedatangan penulis juga bertujuan melanjutkan usaha rundingan dan pembinaan Masjid al-Dakwah di Bandar Wakayama, yang akan melanjutkan lagi semarak dakwah di Jepun.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun berikut dengan rujukan Masjid al-Da’wah di akaun Maybank Islamic, no akaun 5621-0669-8737 atas nama Persatuan Fajan Iman Matahari Terbit Malaysia

Penulis percaya dengan bantuan doa serta dana rakyat Malaysia, impian memajukan gerakan Islam di Jepun akan bertambah pesat. Tak mustahil 100 tahun dari sekarang Jepun bakal menjadi sebuah negara Islam jika langkah awalnya sama kita pacu mulai sekarang.

Percayalah! Syurga Allah sangat luas untuk semua manusia termasuk warga Jepun.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Penghuni syurga terdiri daripada 120 barisan. 80 barisan daripadanya terdiri daripada umat ini, manakala 40 barisan lagi terdiri daripada umat lain. (Sunan al-Tirmidzi, 2469).-UTUSAN

Abdullah Bukhari Abdul Rahim (al-Hafiz) Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini