Kurang tenaga kerja wanita, ancam kemunduran sosial

Kurang tenaga kerja wanita, ancam kemunduran sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan kemajuan sosial sesebuah negara.

Namun, penyertaan golongan ini dalam pasaran kerja di Malaysia dilaporkan merosot secara drastik, apabila semakin ramai memilih untuk meninggalkan kerjaya.

Susulan itu, fenomena tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap keseimbangan gender dalam sektor pekerjaan.

Jika situasi ini berlarutan dari tahun ke tahun, ia akan membawa implikasi jangka panjang terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Dominasi lelaki dalam sektor pekerjaan
Menurut pakar ekonomi, Prof. Dr. Abu Sofian Yaacob,penurunan penyertaan wanita dalam tenaga kerja membuka ruang kepada monopoli lelaki dalam sektor pekerjaan.

“Dalam jangka panjang, dominasi ini boleh menghakis keseimbangan dalam proses membuat keputusan

“Selain itu, ia akan mengehadkan kepelbagaian perspektif yang diperlukan daripada tenaga wanita untuk mencipta inovasi dalam sesebuah organisasi,” katanya baru-baru ini.

Ketiadaan suara wanita dalam tenaga kerja juga boleh menyebabkan ketidakadilan dalam struktur gaji, peluang kenaikan pangkat serta polisi tempat kerja yang kurang inklusif.

Beliau meramalkan, jika trend ini berterusan, ia bakal menjejaskan daya saing tenaga kerja negara dan mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi yang lebih ketara.

 

Kemerosotan daya saing
Katanya, penurunan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan mengakibatkan pengurangan kepelbagaian pemikiran, kreativiti dan inovasi yang diperlukan dalam dunia perniagaan.

“Wanita membawa perspektif unik yang mampu meningkatkan kualiti keputusan dan keberkesanan pengurusan organisasi.

“Ketiadaan mereka boleh memperlahankan pertumbuhan syarikat serta mengurangkan daya saing Malaysia di peringkat global,” katanya.

Selain itu, pembaziran sumber tenaga kerja berkemahiran tinggi akibat pengunduran wanita daripada dunia pekerjaan memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Dengan pelaburan yang besar dalam pendidikan tinggi wanita, tenaga kerja yang berpotensi ini tidak dimanfaatkan secara optimum, lalu menyebabkan kadar pulangan terhadap pelaburan pendidikan semakin berkurangan.

Persepsi pendidikan disalah anggap
Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menjelaskan apabila wanita berpendidikan tinggi memilih untuk tidak bekerja, ia boleh mencetuskan persepsi yang kurang tepat dalam kalangan generasi muda.

Hal ini bakal memberi kesan kepada kanak-kanak dan remaja perempuan dalam membentuk pandangan mereka terhadap kepentingan pendidikan serta kerjaya.

“Kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran di mana ibu mereka yang berkelulusan tinggi tidak bekerja mungkin akan menganggap yang pendidikan tinggi bukan suatu keperluan untuk wanita,” katanya.

Perkara itu, boleh melemahkan motivasi mereka untuk mengejar pencapaian akademik yang lebih tinggi, sekali gus mengurangkan penyertaan wanita dalam sektor profesional pada masa akan datang.

Lebih membimbangkan, kewujudan stereotaip gender yang menempatkan wanita dalam ruang domestik semata-mata akan terus mengukuhkan norma sosial yang menyekat kebebasan mereka.

Keadaan ini bukan sahaja menghalang wanita daripada menyumbang secara aktif dalam pembangunan negara, tetapi juga mengehadkan potensi mereka dalam bidang profesional, kepemimpinan, dan keusahawanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN