Ramai yang tidak menyedari, kolesterol tinggi sebenarnya adalah antara punca utama kepada penyakit jantung yang semakin meningkat di Malaysia.
Di Malaysia, tren penyakit kardiovaskular menunjukkan pola yang sangat membimbangkan.
Statistik menunjukkan, serangan jantung dan strok kini berlaku kira-kira 10 tahun lebih awal berbanding purata usia kejadian penyakit ini di peringkat global.
Ini bermaksud, rakyat Malaysia mula mengalami penyakit jantung seawal usia 40-an atau 50-an, sedangkan di negara lain, masalah ini lazimnya berlaku selepas umur 60 tahun.
Pengurus Besar Fonterra Malaysia dan Singapura, Ganesh Thiagarajan berkata, hampir 7.5 juta orang dewasa, atau 33.3 peratus daripada populasi, mempunyai kolesterol tinggi.
Namun, ujarnya, satu daripada dua individu yang mempunyai tahap kolesterol tinggi tidak menyedari mereka menghadapi masalah kesihatan itu.
Selain itu, katanya, berdasarkam laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 mendapati, 54.4 peratus orang dewasa mengalami berat badan berlebihan atau obesiti.
“Ini sekali gus mendekatkan mereka kepada risiko masalah kesihatan berkaitan kolesterol.
“Justeru, pengurusan kolesterol memerlukan usaha bersepadu, termasuk pemakanan yang betul dan gaya hidup aktif,” katanya dalam Majlis Pelancaran Anlene CholestoPro baru-baru ini.
Yang hadir sama, pakar perubatan, Dr. Azura Abas dan selebriti, Amber Chia.
Sementara itu, Azura berkata, tahap kolesterol yang tinggi sering kali berpunca daripada gaya hidup tidak sihat.
Katanya, antara faktor utama ialah kurangnya aktiviti fizikal, tidak bersenam secara konsisten, pengambilan makanan tidak seimbang, dan pengambilan lemak tepu secara berlebihan dalam diet harian.
Gaya hidup yang pasif seperti duduk terlalu lama, tidak bersukan, dan pemilihan makanan yang tinggi kalori tetapi rendah zat, turut menyumbang kepada peningkatan kadar kolesterol dalam darah.
Beliau berkata, kolesterol berlebihan dalam darah boleh terkumpul melapisi dinding saluran arteri.
“Lama kelamaan lapisan kolesterol yang semakin menebal akan membentuk plak kemudian menyempitkan dan mengeraskan saluran darah.
Apabila hal tersebut berlaku, aliran darah ke jantung menjadi terhad, seterusnya meningkatkan risiko serangan jantung, strok, dan komplikasi kardiovaskular lain yang boleh mengancam nyawa,” katanya.
Apa yang lebih membimbangkan, kolesterol tinggi sering kali tidak menunjukkan sebarang simptom sehingga berlakunya komplikasi.
‘Inilah sebabnya mengapa kolesterol tinggi digelar sebagai pembunuh senyap. Dalam konteks penyakit jantung, kolesterol tinggi dikenal pasti sebagai faktor risiko kedua paling utama selepas tekanan darah tinggi,” katanya.

Amal gaya hidup sihat
Azura menjelaskan, masalah tersebut dapat dikawal dengan amalan gaya hidup sihat.
“Kita boleh mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan seperti kekal aktif melalui senaman berkala.
“Selain itu pengambilan makanan seimbang dan berkhasiat, serta memasukkan bahan semulajadi terbukti dapat membantu menurunkan kolesterol dalam diet harian kita.
Selain itu, beliau turut menyentuh kepentingan menjaga mobiliti tubuh badan, iaitu keupayaan untuk bergerak dengan bebas dan lancar.
“Mobiliti yang baik memainkan peranan penting dalam menyokong gaya hidup yang aktif.
Apabila memberi tumpuan kepada penguatan tulang, sendi dan otot, kita sebenarnya sedang membina asas yang kukuh untuk mengekalkan pergerakan harian dengan lebih efisien dan tanpa rasa sakit atau kekakuan,” jelasnya.
Ujarnya, ia bukan sahaja penting untuk senaman, tetapi juga bagi aktiviti seharian seperti berjalan, menaiki tangga atau menguruskan tugasan harian.
Mengekalkan mobiliti sihat, dapat memastikan tubuh badan sentiasa bersedia untuk kekal aktif.
Ini bukan sahaja membantu dalam mengawal paras kolesterol secara semula jadi, malah turut menyokong kesihatan jantung secara keseluruhan.
Jelasnya, hubungan antara mobiliti dan kesihatan jantung adalah saling berkait.
“Apabila kita sentiasa bergiat aktif dan cergas, jantung akan berfungsi dengan lebih baik, sekali gus mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular,” katanya.
Ramuan baharu sterol tumbuhan
Penghasilan produk baharu, Anlene CholestoPro bertujuan menyokong warga Malaysia mengekalkan mobiliti yang kuat serta membantu menguruskan tahap kolesterol secara berkesan.
Susu rumusan khas itu mengandungi 1.2 gram sterol tumbuhan bagi menghalang sebahagian penyerapan kolesterol dari saluran darah.
Pengarah Pembangunan Produk Baharu Fonterra (Malaysia), Megawati Suzari berkata, penambahan nutrien itu terbukti secara klinikal mampu merendahkan paras kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) atau kolesterol jahat.
“Selain itu, ia turut diperkaya dengan kalsium dan vitamin D yang berperanan penting dalam membantu penyerapan kalsium untuk mengekalkan kesihatan dan kekuatan tulang.
“Manakala, kandungan protein tinggi pula, menyumbang kepada pembinaan dan pembaikan tisu badan, termasuk tisu otot yang penting untuk pergerakan harian,” katanya.
Katanya, Anlene CholestoPro juga mengandungi kolagen dan MFGM Active iaitu membran lemak susu.
“Dengan gabungan 18 jenis vitamin dan mineral penting, susu ini turut memenuhi keperluan pemakanan harian yang menyeluruh untuk kesejahteraan tubuh,” katanya.
Oleh itu, amalan meminum dua gelas susu yang mempunyai nutrien penting itu pada setiap hari dapat membantu merendahkan tahap kolesterol.
Tmbahnya, ia turut membekalkan zat makanan bagi kesihatan tulang dan keseimbangan tubuh.











