Pengalaman baharu tiga mualaf sambut Ramadan

Pengalaman baharu tiga mualaf sambut Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sambutan Ramadan termasuk ketika berbuka puasa membawa erti amat besar kepada tiga saudara baharu yang memilih Islam sebagai cara hidup mereka.

Bukan sahaja menjadi Ramadan pertama dalam kehidupan mereka, malah suasana berbuka puasa beramai-ramai di masjid dianggap sebagai satu pengalaman indah.

Law Chiew Liu, 27, yang bersyahadah pada hari pertama berpuasa turut diajak berbuka puasa beramai-ramai di Masjid Jamek Haji Wahab Simpang Enam di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasakan diri ini bukan sahaja diraikan malah diterima oleh komuniti di sini.

“Ini pengalaman baharu untuk saya dan Ramadan pertama bagi saya,” katanya.

Chiew Liu mengucapkan dua kalimah syahadah yang dipimpin oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim di ruang masjid berkenaan.

Dia nekad memeluk Islam setelah mendapat penerangan jelas daripada beberapa rakan mualaf mengenai agama ini.

“Islam juga mengajar saya agar tidak terputus hubungan dengan ahli-ahli keluarga lain walaupun berbeza agama,” katanya.

Sementara itu, Hew Boon Seng, 47, pula berkata, ibadah berpuasa di bulan Ramadan sememangnya mencabar buat saudara baharu.

Dia yang memeluk Islam pada 21 Februari lalu berkata, walaupun terpaksa menahan lapar dan dahaga, namun ia sesuatu yang memberi ketenangan pada dirinya.

“Bila difikirkan kembali apabila dapat berpuasa tidaklah sampai boleh mati dan yang bagusnya, saya rasa lebih sihat.

“Di samping itu, saya juga dapat pengalaman berbuka beramai-ramai di masjid ini,” katanya sambil tersenyum.

Diajar solat

Selain berbuka beramai-ramai, kalangan saudara baharu turut didedahkan dengan cara-cara berwuduk dan solat.

Peluang yang diberikan itu membantu Ooi Tiong Seng, 56, untuk mengenal Islam dengan lebih mendalam.

“Saya seronok dapat berbuka puasa beramai-ramai dan bersolat berjemaah.

“Ini pengalaman baharu bagi saya dan jiwa saya sangat tenang,” katanya yang memeluk Islam sejak beberapa hari lalu.

 

Program mualaf

Sementara itu, Zolkifly berkata, tiga saudara baharu berkenaan memeluk Islam atas usaha sukarelawan IKUT.

Katanya, sepanjang Ramadan ini beberapa program lain turut diatur bagi melibatkan penyertaan golongan mualaf .

Langkah itu penting agar mereka tidak berasa tersisih dengan penghijrahan itu.

“Program-program untuk golongan mualaf ini akan diadakan dari satu masjid ke masjid lain.

“Ini bagi merapatkan hubungan golongan mualaf dengan komuniti setempat.

“Dalam masa sama, kita mahu supaya saudara baharu dapat mengenali aktiviti-aktiviti yang diadakan di setiap masjid,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini