‘Terlalu teruja pun boleh kena serangan sawan’

‘Terlalu teruja pun boleh kena serangan sawan’

Pening kepala salah satu amaran serangan sawan bakal terjadi. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pertama kali diserang sawan atau epilepsi, Abdul ‘Azim EdelFitri baru berusia sembilan tahun. Tidak banyak yang dia ingat tentang kejadian itu.

Apa yang dimaklumkan oleh ibunya, Abdul ‘Azim terjatuh ketika bermain dan mengakibatkan kepalanya luka. Seluruh tubuhnya kejang, menyebabkan dia dilarikan ke hospital.

Selepas disahkan mengalami epilepsi, kehidupannya berubah daripada seorang kanak-kanak yang aktif kepada lebih berhati-hati ketika bermain bagi mengelakkan diserang sawan.

Tidak seperti orang lain yang sihat, emosi Abdul ‘Azim,34, perlu sentiasa tenang dan tidak boleh tertekan kerana boleh mencetuskan serangan sawan. Malah jika terlalu teruja juga menyebabkan berlaku sawan.

“Mujurlah kawan-kawan dan guru-guru di sekolah memahami keadaan saya. Mereka banyak membantu. Masa di sekolah, keadaan saya terkawal sebab di bawah pemantauan dan rawatan doktor.

“Serangan sawan tidak mengira masa dan tempat. Kadang-kadang sedang berborak dan masa tidur pun boleh kena serangan. Tapi masa serangan kita tidak sedar. Contohnya, masa saya tidur bersama anak di ruang tamu, saya mengalami sawan sampai tertendang anak dan kaca televisyen hampir pecah,” katanya.

Tambahnya, sawan berlaku sebulan sekali dan terjadi tidak sampai seminit. Malah, kalau hampir terkena sawan, Mohd ‘Azim sudah boleh dapat merasai serangan yang bakal dialami.

Biasanya Mohd ‘Azim akan terasa pening kepala dan perlu baring atau duduk selain menyapu minyak panas. Kawan-kawan sepejabatnya pun sudah memahami keadaannya.

“Kalau saya nampak lain macam seperti diam sahaja, mereka tahu, maknanya saya akan alami serangan. Mereka akan bersedia dan minta saya duduk atau baring. Mereka akan pastikan saya tidak terlalu penat atau teruja kerana sawan ini berkaitan pengaruh emosi,” katanya.

MASALAH INGATAN

Sawan juga menyebabkan Mohd ‘Azim berdepan masalah ingatan yang secara langsung turut menjejaskan pembelajarannya, sekaligus menghalangnya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Malah, Mohd ‘Azim yang gemar bermain bola sepak juga terpaksa melupakan aktiviti kesukaannya itu berikutan pernah mengalami serangan ketika bermain bola sepak bersama rakan sekerja.

Bapa kepada dua anak ini juga tidak mahu menyusahkan rakan-rakannya.

“Bagi memastikan saya tidak mengalami serangan, saya perlu menjaga kesihatan. Saya perlu tidur cukup iaitu lapan jam sehari. Kalau tidur pukul satu pagi, bangun pukul lima pagi, pasti saya kena serangan. Jadi, saya biasanya akan tidur awal sekitar pukul 9 malam. Malah ubat yang dimakan di sebelah malam juga menyebabkan saya mengantuk.

“Minggu pertama puasa, biasanya saya akan kena serangan kerana jumlah tidur yang tidak mencukupi apabila perlu bangun seawal lima pagi untuk bersahur dan sebelah malam pula akan tidur sekitar jam 12 malam selepas tarawih,” katanya.

Mohd ‘Azim berkata, dia bersyukur mempunyai isteri yang memahami keadaannya dan sentiasa menemaninya ke mana sahaja memandangkan dia tidak digalakkan memandu kereta kerana dikhuatiri mengalami sawan.

PUNCA SAWAN

Ketua Unit Neurologi dan Pakar Perunding Kanan Neurologi, Jabatan Perubatan Fakulti Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM UKM), Prof. Dr. Tan Hui Jan berkata, epilepsi adalah keadaan neurologi kronik dicirikan oleh sawan berulang yang dicetuskan oleh aktiviti elektrik berlebihan di dalam otak.

“Epilepsi boleh berlaku disebabkan kerosakan struktur otak yang berpunca daripada strok, tumor dan trauma. Terdapat juga kes epilepsi yang berpunca daripada penyakit genetik atau keturunan.

“Penyakit jangkitan seperti tuberkulosis atau Tibi juga boleh menyebabkan sawan. Selain daripada itu, sawan juga berlaku akibat gangguan metabolik atau kecacatan otak,” katanya.

Epilepsi terbahagi kepada dua jenis iaitu serangan sawan yang membabitkan keseluruhan otak dan sawan fokus iaitu sawan yang membabitkan kawasan tertentu otak.

Epilepsi di Malaysia berlaku dalam lingkungan 7.8 peratus bagi setiap 1,000 orang. Epilepsi dalam kalangan kanak-kanak adalah disebabkan oleh keadaan genetik atau kongenital.

Epilepsi dalam kalangan warga emas pula disebabkan strok, ketumbuhan otak, neurodegenerasi atau kemerosotan saraf serta akibat kecederaan otak yang dikenali sebagai epilepsi fokus.

Prevalens atau kekerapan kes epilepsi antara lelaki dan wanita secara amnya adalah sama di mana kes berlaku sama banyak antara lelaki dan wanita. Bagaimanapun, bergantung kepada jenis epilepsi.

Ketika berlaku sawan, aktiviti otak tercetus secara berlebihan dan serentak seterusnya mengganggu fungsi normal otak. Pesakit mengalami kekejangan dan akiviti neuron yang berlebihan

menjejaskan pemprosesan dan rangkaian otak normal, menyebabkan pesakit tidak sedar diri.

Katanya, ketika berlaku sawan, pesakit juga berisiko mengalami kemalangan seperti terjatuh, mengalami kecederaan kepala, kaki, patah tangan atau melecur jika berhampiran kawasan berisiko tinggi menyebabkan kecederaan.

Justeru, pesakit tidak digalakkan memandu kenderaan, berenang atau aktiviti lasak seperti mendaki bukit atau gunung bagi mengelakkan risiko kecederaan yang membahayakan nyawa mereka.

“Paling bahaya jika berlaku pendarahan otak selepas terjatuh. Sekiranya pesakit muntah atau mengalami kesukaran menelan semasa sawan, Kematian Mengejut yang Tidak Dijangka dalam Epilepsi (SUDEP) juga boleh berlaku.

“Walaupun jarang berlaku, tetapi ia serius. Kes ini dikaitkan dengan epilepsi yang tidak terkawal dan sawan tonik-klonik umum, sawan berpanjangan (status epilepticus). Ia boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat dengan segera,” katanya.

Gejala sawan

Pesakit disyorkan untuk mengenalpasti faktor pencetus sawan seperti keletihan, kurang tidur atau bersedih. Bagi pesakit wanita, serangan boleh menjadi lebih teruk ketika sedang mengalami haid.

Biasanya, pesakit boleh merasakan serangan yang bakal berlaku. Gejala sawan fokus adalah seperti bau yang luar biasa, rasa, pandangan luar biasa atau rasa dejavu menandakan serangan sawan.

“Sensasi fizikal seperti kebas atau pening juga boleh berlaku sebagai amaran serangan sawan. Tanda-tanda amaran untuk sawan umum seperti episod di mana pesakit tidak bertindak balas atau merenung secara tiba-tiba diikuti sentakan anggota badan secara tiba-tiba (kejang).

“Ada pesakit mungkin rasa takut dan berdebar-debar. Sesetengah pesakit pula mendapat petanda seperti mata kabur, mata berkelip-kelip sebelum tidak sedarkan diri. Pesakit tidak sedar kerana bahagian otak tidak berfungsi,” katanya.

Rawatan

Matlamat utama rawaran epilepsi adalah untuk mengawal serangan. Walaupun epilepsi tidak boleh disembuhkan sepenuhnya tetapi kira-kira 60 sehingga 70 peratus epilepsi boleh dikawal dengan ubat-ubatan.

“Satu pertiga pesakit yang mengalami rintangan ubat pula, akan mendapat serangan berulang walaupun makan ubat. Biasanya penyiasatan lebih mendalam perlu dilakukan untuk mengesan puncanya seperti Imbasan CT.

“Sebagai contoh, jika terdapat parut di bahagian kepala, pembuluh darah yang tidak normal atau barah pada otak, pembedahan akan dijalankan untuk membuang parut berkenaan. Pesakit boleh sembuh sepenuhnya,” katanya.

Bagaimanapun, pesakit yang tidak sesuai menjalani pembedahan dan ubat, boleh menggunakan sejenis alat iaitu perangsang saraf vagus yang diletakkan dibawah tulang selangka. Ia berfungsi untuk menghentikan serangan sawan. Ia juga sesuai dipasang kepada kanak-kanak.

Sesetengah epilepsi dalam kalangan kanak-kanak boleh sembuh seiring peningkatan usia. Manakala, sesetengah pesakit sawan kerana genetik, tidak boleh sembuh dengan sendiri terutama kanak-kanak yang mengalami kecacatan, perkembangan yang terbantut, masalah kognitif dan pertuturan.

“Terdapat pelbagai mitos mengenai sawan dan antara yang popular adalah ia dipercayai berlaku disebabkan ‘buatan orang’. Ada yang tidak datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Sebilangan besar serangan kerap berlaku dan berulang kerana ketidakpatuhan dengan jadual pengambilan ubat,” katanya.

Justeru, Pesakit dinasihatkan untuk patuh dengan pengambilan ubat selain melakukan pengubahsuaian gaya hidup lebih sihat seperti tidur yang mencukupi, pengurusan tekanan dan mengelakkan pencetus sawan lain seperti keletihan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN