Demam tiga hari, resah petanda influenza

Demam tiga hari, resah petanda influenza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INFLUENZA sering dikaitkan dengan demam panas secara tiba-tiba.

Ia disusuli dengan sakit-sakit badan dan tekak serta sesak nafas bagi sesetengah individu.

Pensyarah Perubatan Dalaman dan Penyakit Berjangkit di Universiti IMU, Prof. Dr. James Koh Kwee Choy berkata, empat simptom klasik ini biasanya berlaku dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Namun, katanya, terdapat gejala-gejala lain yang boleh dijadikan petanda komplikasi penyakit ini.

Ia meliputi demam panas yang tidak reda dalam tempoh tiga hari.

Diikuti gejala seperti gelisah, resah atau perubahan kesedaran seperti berasa keliru

“Satu lagi petanda yang sering kita terlepas pandang ialah muntah-muntah, kerana ia sering dikaitkan dengan keracunan makanan,” katanya baru-baru ini.

Bagaimanapun, dalam kalangan kanak-kanak, gejalanya mungkin sedikit berbeza berikutan keadaan kesihatan golongan itu yang boleh merosot dengan cepat.

Antara gejala itu ialah menjadi sangat diam atau mengantuk serta mudah mengalami dehidrasi.

“Mereka juga mungkin mengeluarkan bunyi pernafasan luar biasa yang dipanggil sebagai noisy breathing atau nafas berbunyi.

“Namun, usah tunggu sehingga tanda-tanda ini sebelum mahu berjumpa doktor terutama jika anda tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi seperti wanita hamil, kanak-kanak di bawah umur lima tahun, orang dewasa berpenyakit kronik

serta mereka yang merokok atau menggunakan vape,” katanya.

Jelasnya, faktor-faktor itu meningkatkan risiko komplikasi, malah risikonya jauh lebih tinggi jika tidak dikawal dengan baik.

Selain itu, James mengakui ramai tidak menyedari mereka mempunyai masalah kesihatan yang boleh meningkatkan risiko komplikasi.

Ini sekali gus menyebabkan seseorang yang kelihatan sihat boleh mengalami masalah serius seperti pneumonia.

 

Langkah perlindungan
Vaksin influenza yang digunakan sejak 1945, adalah kaedah paling berkesan untuk mencegah influenza.

Vaksin ini perlu diambil setiap tahun untuk memberi perlindungan terhadap strain influenza terkini serta mencegah komplikasi serius dan membawa maut.

“Malangnya, kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia tentang bahaya influenza masih rendah yang menyebabkan mereka kurang motivasi untuk melindungi diri.

“Selain itu, Malaysia tidak mempunyai musim influenza yang jelas. Sebaliknya, kita mengalami wabak yang berlaku secara sporadik dan sukar diramal.

“Oleh kerana sistem imun memerlukan kira-kira dua minggu untuk membina perlindungan selepas suntikan vaksin, mereka yang menunggu sehingga berlakunya wabak untuk mendapatkan vaksin masih berisiko dijangkiti dalam tempoh tersebut,” jelas beliau.

Sehubungan itu, vaksinasi tahunan amat penting kerana semua orang berisiko untuk diserang influenza.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN