LESUNG pipit dikatakan dapat menambahkan seri wajah seseorang, sama ada wanita atau lelaki.
Disebabkan ciri unik itu, ramai yang cenderung mahu memilikinya secara tiruan melalui prosedur menindik.
Trend sedemikian semakin popular dalam kalangan golongan muda di negara ini.
Selain dilakukan sendiri, ada juga yang mendapatkan perkhidmatan menindik lesung pipit di salun atau klinik estetik.
Namun, prosedur kecantikan ini boleh mencetuskan bahaya dan kesan buruk pada wajah seseorang jika dikendalikan oleh golongan yang tidak bertauliah.

Pengarah Perubatan Klinik Dermourra, Dr. Nadya Amin Shaharudin berkata, tanpa prosedur betul dan penjagaan rapi, bahagian yang ditindik itu berisiko mendapat jangkitan serius.
Lantas, merosakkan kecantikan dan ketampanan semula jadi seseorang akibat kesan sampingan yang perlu ditanggung.
Jelasnya, prosedur menindik lesung pipit palsu dilakukan dengan menusukkan jarum atau alat khas ke bahagian pipi sehingga menembusi kulit untuk mencipta lekuk.
“Bagaimanapun, prosedur ini sering dilakukan oleh individu tidak bertauliah yang menyamar sebagai pakar kecantikan.
“Peralatan yang digunakan mungkin tidak disteril dan ini akan meningkatkan lagi risiko jangkitan serta komplikasi lain,” katanya baru-baru ini.
Nadya berkata, kulit yang terkena jangkitan bakteria itu akan menjadi lebih teruk jika dibiarkan tanpa mendapatkan rawatan segera daripada pakar perubatan.
“Segelintir individu yang dijangkiti bakteria biasanya mengalami bengkak pada muka.
“Disusuli dengan nanah hingga menyebabkan luka tindik sukar sembuh segera,” katanya.
Jika tidak dirawat dengan betul, jangkitan boleh merebak ke bahagian wajah lain, termasuk aliran darah.
Alahan
Segelintir individu turut mengalami alahan, berpunca daripada bahan logam atau jarum yang digunakan ketika menindik.
Akibatnya, kawasan di sekitar pipi menjadi merah dan gatal akibat tindak balas tersebut.
“Apabila alahan semakin teruk, luka boleh berlaku dan sekitar pipi mengalami ruam,” katanya.
Kongsi Nadya, kulit muka seseorang boleh mengalami keradangan hingga menimbulkan ketidakselesaan dan menjejaskan tumpuan pada tugasan harian.
Selain itu, katanya, ramai pemakai lesung pipit palsu tidak menyedari yang kaedah tindik boleh merosakkan struktur muka.
“Menindik dengan cara salah menyebabkan kerosakan pada tisu kulit dan bahagian otot.
“Individu berkulit kering dan kurang kolagen dikesan lebih mudah untuk mendapat kesan sampingan yang serius,” katanya.










