KAMPUNG Wai, Kuala Perlis yang jaraknya sekitar tiga kilometer dari pekan Kuala Perlis hanyalah sebuah perkampungan biasa yang terletak paling hujung di negeri ini dan bersempadan dengan Thailand.
Di situ, terdapat sebuah terusan yang menghubungkan sehingga ke empangan Timah Tasoh sejauh 22 kilometer termasuk melalui sebuah terowong sepanjang 765 meter di Bukit Tebing Tinggi, Bintong.
Sebelum ini, Projek Lencongan Banjir Barat dilaksanakan di kawasan berkenaan bermula 2012 dan siap pada 2020 sekali gus mengubah landskap di perkampungan.
Di kiri dan kanannya disajikan pemandangan bukit batu kapur berusia lebih 500 juta tahun manakala airnya yang kehijauan seperti berada di Grand Canyon, Arizona, Amerika Syarikat (AS).
Selain itu, lokasi ini turut menjadi tumpuan bagi aktiviti berkayak dan bot ronda menelusuri terowong di terusan berkenaan.
Seorang penduduk, Sariff Man, 65, berkata, sejak projek tebatan banjir itu siap, kawasan berkenaan semakin dikenali kerana menawarkan pemandangan indah dan menenangkan.
“Sebelum ini, pengunjung hanya datang untuk bergambar kerana keindahan suasana di kawasan tersebut yang cantik khususnya sewaktu matahari terbenam.
“Malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak kemudahan disediakan termasuk tandas dan gerai makan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke sini,” katanya.

Sariff berkata, pada cuti hujung minggu atau persekolahan, kawasan terusan di Kampung Wai itu kebiasaannya sesak dengan kehadiran pengunjung melebihi 200 orang sehari.
Katanya, kemudahan bot ronda dan kayak menelusuri terowong berkenaan juga sememangnya menjadi antara aktiviti tumpuan pengunjung di sini.
“Ada juga pengunjung yang datang lewat sekitar pukul 6 petang bagi menantikan waktu matahari terbenam untuk merakamkan gambar,” katanya.
Kata Sariff lagi, sejak menjadi lokasi tarikan pelancong, ia turut membuka peluang pendapatan buat penduduk setempat di kampung berkenaan.
“Contohnya macam saya ini sekurang-kurangnya dapat juga berniaga makanan dan minuman di sini sebagai sumber pendapatan sampingan,” katanya.
Seorang pengusaha bot ronda, Yakcoob Omar, 65, berkata, kebanyakan pengunjung gemar menggunakan perkhidmatan ditawarkannya bagi meneroka sendiri keunikan gua batu kapur dengan menelusuri terusan berkenaan.
Yakcoob yang memiliki tiga bot berkata, perjalanan sejauh enam kilometer itu mengambil masa kira-kira30 minit.
“Caj bagi perkhidmatan sebuah bot ronda adalah RM50 dengan kapasiti lima ke enam orang bagi satu bot. Selalunya pengunjung memang ramai datang pada musim cuti dan kami boleh menawarkan 18 trip sehari bagi sebuah bot,” katanya.
Selain pelancong tempatan, lokasi itu turut menjadi tumpuan pengunjung dari India, Tanzania, China dan Arab Saudi.
Katanya, lokasi berkenaan sememangnya berpotensi menjadi tarikan pelancong berikutan terdapat pelbagai keunikan berbanding tempat percutian lain.










