Sakit gigi boleh ancam nyawa?

Sakit gigi boleh ancam nyawa?

pemeriksaan berkala setiap enam bulan disarankan untuk memastikan kesihatan gigi. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai memandang ringan kesihatan gigi, tetapi tahukah anda masalah yang dianggap kecil seperti sakit gigi atau bengkak gusi boleh membawa kepada komplikasi serius yang boleh mengancam nyawa?

Jangkitan kuman daripada gigi bukan sahaja menyebabkan kesakitan, malah boleh merebak ke bahagian muka, otak dan saluran pernafasan jika tidak dirawat.

Kisah ini bukan lagi sesuatu yang jarang berlaku dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Kesedaran yang betul dapat melindungi diri dan keluarga daripada ancaman kesihatan ini.

Jangkitan kuman biasanya bermula daripada dua masalah utama iaitu karies gigi (gigi berlubang) dan penyakit gusi.

Karies gigi terjadi apabila lapisan enamel gigi rosak akibat asid yang dihasilkan oleh bakteria.

Kerosakan ini boleh mencecah pulpa gigi, yang merupakan tisu lembut di tengah gigi seterusnya menyebabkan jangkitan jika dibiarkan.

Penyakit gusi pula bermula dengan keradangan gusi (gingivitis) akibat plak bakteria yang terkumpul di celah gigi dan gusi.

Jika tidak dikawal, ia boleh berkembang menjadi periodontitis, di mana bakteria menyusup ke tisu yang lebih dalam dan merosakkan struktur tisu di sekeliling gigi.

Jangkitan yang bermula daripada gigi dan gusi boleh merebak ke bahagian lain.

Jangkitan yang bermula daripada gigi atas boleh merebak ke sinus hingga menyebabkan keradangan sinus atau lebih teruk, ke bahagian otak.

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Clinical and Experimental Dentistry pada tahun 2020 melaporkan bahawa jangkitan daripada gigi atau tisu sekeliling gigi salah satu penyebab nanah atau

abses otak yang jarang berlaku tetapi berbahaya.

Bagi gigi bawah, jangkitan boleh merebak ke kawasan leher dan saluran pernafasan.

Dalam kes yang lebih serius, boleh menyebabkan Ludwig’s angina, satu keadaan yang mengancam nyawa.

Saluran pernafasan akan tertutup akibat bengkak yang teruk.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Oral and Maxillofacial Surgery pada tahun 2019, Ludwig’s angina memerlukan rawatan segera kerana risiko komplikasi maut.

Bagaimanapun, kajian dari The American Journal of Emergency Medicine menyatakan bahawa kadar kematian akan menurun secara drastik dari 50 peratus kepada lapan peratus jika pesakit mendapat rawatan mencukupi.

RAWATAN BERBEZA

Rawatan untuk jangkitan kuman daripada gigi bergantung kepada tahap jangkitan.

Antaranya, rawatan akar gigi, pengambilan antibiotik, pembedahan dan cabutan gigi.

Rawatan akar gigi adalah pilihan utama jika jangkitan telah mencapai pulpa gigi, iaitu tisu lembut di tengah gigi yang mengandungi saraf dan salur darah.

Prosedur ini melibatkan pembersihan kawasan yang dijangkiti untuk membuang tisu yang rosak dan bakteria.

Selepas itu, saluran akar akan diisi dan ditutup dengan bahan tampalan untuk mencegah jangkitan semula. Proses ini bukan sahaja membantu menyelamatkan gigi yang terjejas, tetapi juga memastikan fungsi gigi dapat dikekalkan untuk jangka masa panjang.

Pengambilan antibiotik pula diperlukan apabila jangkitan telah merebak ke kawasan sekeliling atau ke bahagian tubuh lain untuk mengawal penyebaran bakteria dan mengurangkan keradangan.

Begitupun, antibiotik bukan pengganti rawatan mekanikal seperti pembersihan akar gigi atau pembedahan.

Ia hanya digunakan sebagai rawatan tambahan untuk menangani jangkitan yang lebih serius.

Antibiotik perlu diambil mengikut dos yang disarankan oleh pakar bagi memastikan keberkesanannya.

Dalam kes abses atau nanah telah terbentuk, pembedahan mungkin diperlukan untuk mengeluarkan nanah atau membuang tisu yang telah dijangkiti.

Ia membantu mengurangkan tekanan dan kesakitan serta mencegah penyebaran jangkitan ke kawasan lain. Pembedahan juga mungkin melibatkan pemotongan kecil pada kawasan yang terjejas untuk membolehkan saliran nanah dilakukan.

Doktor gigi akan memastikan bahawa semua kawasan yang dijangkiti dibersihkan dengan teliti bagi mengelakkan komplikasi.

Cabutan gigi menjadi langkah terakhir untuk menghentikan penyebaran jangkitan jika gigi yang dijangkiti tidak dapat diselamatkan.

Cabutan dilakukan dengan berhati-hati oleh doktor gigi bagi memastikan semua sisa gigi yang rosak dikeluarkan sepenuhnya.

Selepas cabutan, kawasan tersebut akan dibersihkan dan penjagaan selepas rawatan seperti pembilasan antiseptik akan diberikan untuk menggalakkan penyembuhan.

Pesakit juga mungkin disarankan untuk mempertimbangkan rawatan penggantian gigi seperti implan atau jambatan untuk memastikan keseimbangan gigitan dan fungsi mulut.

Pendekatan rawatan yang diberikan bergantung kepada keadaan pesakit dan tahap keterukan jangkitan.

Walaupun teknologi dan teknik rawatan semakin maju, pencegahan tetap menjadi langkah terbaik untuk mengelakkan komplikasi yang serius.

Mencegah jangkitan kuman daripada gigi adalah lebih mudah dan murah berbanding merawatnya. Antara langkah pencegahan yang boleh diambil adalah dengan menjaga kebersihan mulut dengan baik.

Memberus gigi dua kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida serta menggunakan flos dapat membantu membersihkan plak yang terkumpul di celah-celah gigi.

Selain itu, pemeriksaan berkala dengan doktor gigi setiap enam bulan amat disarankan untuk memastikan kebersihan dan kesihatan mulut sentiasa dalam keadaan baik.

Mengamalkan pemakanan sihat juga penting, terutamanya dengan mengurangkan pengambilan makanan manis dan berkanji yang boleh meningkatkan risiko kerosakan gigi.

Paling utama, sebarang tanda awal seperti sakit gigi atau bengkak gusi harus dirawat dengan segera untuk mengelakkan komplikasi lebih serius.

Langkah-langkah ini dapat mengurangkan risiko jangkitan kuman daripada gigi dengan signifikan.- UTUSAN

Penulis merupakan Pensyarah Pergigian Pelatih Pembedahan Oral dan Maksilofasial di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN