Cuci dua kali rahsia rambut sihat

Cuci dua kali rahsia rambut sihat

Teknik mencuci rambut dua kali dalam satu sesi ini semakin mendapat perhatian.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rambut sememangnya dianggap sebagai mahkota kecantikan bagi wanita mahupun lelaki.

Ia bukan sahaja melengkapkan penampilan malah menjadi simbol keperibadian dan keyakinan diri.

Ternyata bukan hanya wajah yang memerlukan pembersihan berganda (double cleansing), tetapi rambut juga turut memerlukannya untuk penjagaan yang optimum.

Teknik mencuci rambut dua kali dalam satu sesi ini semakin mendapat perhatian, terutama dalam kalangan mereka yang ingin mendapatkan rambut yang sihat dan kulit kepala lebih bersih.

Ia melibatkan dua langkah utama iaitu mencuci kulit kepala dengan pembersih ringan untuk membuang minyak dan kotoran serta diikuti dengan syampu rawatan untuk memberikan khasiat pada rambut.

Pembersihan rambut berganda ini sering disarankan kepada mereka yang mengalami masalah rambut berminyak, kulit kepala berjerawat atau menggunakan produk penggayaan seperti gel, semburan atau krim rambut.

MANFAAT

Pemilik R50 Hair Lounge, Nursyasya Afina Suhaimi berkata, teknik mencuci rambut dua kali yang dilakukan dengan betul menawarkan pelbagai manfaat. Ia bukan sahaja untuk kebersihan rambut, tetapi juga untuk kesihatan kulit kepala secara keseluruhan.

Katanya, dengan langkah pembersihan yang betul, rambut bukan sahaja bebas daripada minyak dan kotoran, tetapi turut terpelihara secara menyeluruh menjadikannya sihat, bersinar dan bebas masalah.

“Mencuci rambut dua kali membantu menghilangkan minyak berlebihan yang boleh menyebabkan kulit kepala berminyak. Ia sering menjadi punca kepada masalah seperti kelemumur dan kegatalan.

“Proses ini juga dapat membersihkan sisa produk rambut yang tertinggal selepas penggunaan gel, minyak rambut atau penyembur rambut, yang jika dibiarkan, boleh menyumbat folikel rambut dan mengganggu pertumbuhannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, dalam rutin penjagaan rambut, pembersihan berganda amat disarankan kepadan individu yang mempunyai kulit kepala berminyak.

Pembersihan rambut secara berganda membantu mengimbangi pengeluaran minyak, mengurangkan kilauan berlebihan dan mencegah pengumpulan kotoran secara efektif.

Begitupun, ia tidak boleh dilakukan secara berlebihan kerana dibimbangi akan merosakkan rambut dalam jangka masa panjang.

“Bagi mereka yang memiliki kulit kepala berminyak, disarankan untuk melakukan pembersihan berganda dua hingga tiga kali seminggu.

‘Manakala, bagi kulit kepala normal atau kering, pembersihan berganda cukup dilakukan sekali seminggu atau setiap dua minggu.

“Pembersihan rambut secara berganda yang terlalu kerap boleh mengeringkan rambut, merosakkan lapisan luar atau kutikel dan menyebabkan kerosakan dalam jangka masa yang panjang,” ujarnya.

Justeru, kekerapan pembersihan rambut secara berganda harus disesuaikan dengan jenis kulit kepala dan keperluan individu.

Pemilihan produk yang sesuai dan mengamalkan rutin yang tepat boleh menjadikan pembersihan berganda sebagai kaedah yang berkesan untuk menjaga kesihatan rambut dan kulit kepala.

KANDUNGAN SYAMPU

Mengulas mengenai penjagaan rambut, Nursyasya mengingatkan bahawa menjaga kesihatan rambut dan kulit kepala memerlukan pemilihan produk yang tepat dan disesuaikan dengan keperluan individu.

Jelasnya, tidak semua produk rambut berfungsi untuk semua jenis kulit kepala dan rambut, terutama jika mempunyai keperluan khusus seperti kulit kepala sensitif atau rambut yang diwarnakan.

“Bagi mereka yang memiliki kulit kepala sensitif, keutamaan adalah mencari produk yang lembut dan bebas daripada bahan kimia yang boleh menyebabkan iritasi.

“Syampu tanpa sulfat dan pewangi adalah pilihan terbaik kerana ia tidak mengeringkan kulit kepala. Bahan semula jadi seperti lidah buaya, kamomil dan oat juga membantu menenangkan serta mengurangkan kegatalan atau keradangan,” katanya.

Nursyasya juga menyarankan penggunaan syampu khusus untuk rambut berwarna biasanya mengandungi bahan seperti keratin atau minyak argan yang memberi kelembapan tambahan dan melindungi rambut daripada kerosakan.

Produk ini memastikan warna rambut kekal segar dan rambut sentiasa sihat walaupun selepas beberapa kali pencucian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×