Kebanyakan ibu bapa gemar berkongsi gambar-gambar anak mereka dengan gaya yang comel di media sosial tanpa memikirkan bahaya yang menanti.
Tanpa disedari, ada mata-mata ‘jahat’ memantau dan menunggu masa sesuai untuk ‘menerkam’ si cilik itu pada bila-bila masa.
Lebih menakutkan, golongan penjenayah ini akan memuat turun dan mengumpul gambar-gambar dari media sosial berkenaan, seterusnya mengubah gambar anak-anak yang tidak berdosa itu dengan gambar tidak senonoh.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut DQ, Dr. Yuhyun Park meluahkan kebimbangan berhubung sikap ibu bapa yang membuat hantaran gambar dan video bayi atau anak-anak mereka di media sosial.
“Niat ibu bapa baik untuk berkomunikasi dengan teman-teman mereka malangnya, terdapat golongan yang jahat, menggunakan jejak digital kanak-kanak dengan niat kadang-kadang berkait perlakuan jenayah.
“Dalam dunia yang dipacu kecerdasan buatan (AI), risiko yang muncul untuk kanak-kanak ialah apabila AI digunakan untuk menghasilkan imej palsu dan juga eksploitasi seksual,” katanya pada sesi temuramah eksklusif bersama Utusan Malaysia sempena Forum Keselamatan Siber Global 2024 (GSF 2024) yang berlangsung di Riyadh baru-baru ini.
Sehubungan itu, tegasnya, ibu bapa perlu lebih peka terhadap risiko-risiko tersebut.
Katanya, penting untuk ibu bapa memahami potensi dan kesan negatif akibat hantaran gambar-gambar anak media sosial masing-masing.
“Dalam masa sama, ibu bapa perlu sedar yang gambar-gambar anak adalah hak digital mereka yang tidak boleh diulang siar atau digunakan sesiapa.
“Nasihat saya, pastikan anda mempunyai penetapan hak peribadi. Jika anda menggunakan media sosial, terdapat pelbagai kaedah yang boleh dijadikan sebagai peribadi.
“Namun, walaupun ia telah diperibadikan, ia sebenarnya boleh dihantar semula atau hantaran berulang oleh kawan-kawan anda. Justeru, ada pelbagai peringkat yang boleh dilakukan bagi mencegahnya,” katanya.
Bagi ibu bapa yang bimbang, sebaiknya jangan letak gambar bogel anak di media sosial, tidak kira betapa kecilnya anak anda.
Sebelum membuat sebarang hantaran, sentiasa nilai kesan dan akibatnya di masa depan, maka jangan sesekali memuat naik gambar-gambar berkenaan demi maruah anak-anak.
Langkah mengurangkan muat naik gambar anak-anak di media sosial, dapat mengurangkan kesan atau jejak oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Amat penting untuk seluruh keluarga menyedari yang tanggungjawab mereka bukan sekadar melindungi anak-anak, bahkan menjadi warga digital beretika.
“Ini bermaksud mereka dapat membuat keputusan mengenai tindakan dalam talian yang mungkin boleh memberikan kesan negatif berbanding positif,” katanya.
Tegasnya, peraturan pertama adalah untuk memastikan anak-anak memiliki kemahiran sebagai warga digital.
Kedua, ibu bapa perlu memahami mengenai warga digital dan bagaimana berkomunikasi dengan anak-anak secara terbuka serta boleh dipercayai.

Ketagih ‘game’, mental
Ketagihan permainan video adalah nombor satu paling dibimbangi ibu bapa dalam dunia digital hari ini.
Hal itu kerana, ia berisiko menjejaskan kesejahteraan mental dan fizikal kanak-kanak.
“Kesan secara fizikal merangkumi penglihatan, postur, obesiti atau kegemukan, diabetes dan gangguan tidur.
“Lama-kelamaan, ia turut melibatkan isu mental seperti buli siber dan grooming dalam talian,” katanya.
Sarannya, ibu bapa perlu mengambil iktibar daripada kes bunuh diri disebabkan gambar-gambar digital yang tidak diingini atau memalukan dipaparkan tanpa rela oleh mangsa yang tidak dapat melindungi dirinya.
“Ibu bapa perlu sedar isu ini, tetapi kita bukanlah mahu menakutkan kanak-kanak.
“Justeru, berkomunikasilah dengan teratur supaya anak-anak faham risiko atau kesannya, lantas boleh membuat keputusan dalam dunia digital mereka,” katanya.
Yuhyun berkata, memperkasakan kanak-kanak dalam dunia siber adalah kunci utama dalam keibubapaan digital hari ini bagi melindungi mereka daripada ancaman siber yang sukar dibendung.
Peranan kerajaan
Sementara itu, katanya, kerajaan harus memainkan peranan dalam soal keselamatan kanak-kanak di dunia siber.
Ia termasuk memastikan syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan media sosial mempunyai tanggungjawab mereka berdasarkan ketelusan.
Akauntabiliti adalah sangat penting, bermula dengan Pengurusan Aset Keselamatan Siber (CSAM).
“Banyak negara mempunyai peraturan berkaitan data tetapi tidak banyak perkembangan berkaitan perlindungan kanak-kanak.
“Cadangan pertama ialah untuk meneliti dan memahami landskap global risiko digital dan mempunyai peraturan yang tepat,” katanya.
Kedua, adalah pemerkasaan berkaitan strategi pelbagai tahap kemahiran digital.
Pada masa ini, banyak negara menumpukan kemahiran digital dan teknologi serta perspektif teknikal.
Bagaimanapun, ia harus benar-benar melangkah lebih jauh untuk membangunkan kewarganegaraan digital dan literasi digital, bermula dari usia yang sangat muda.
“Oleh itu, ia perlu dilaksanakan dalam kerangka pendidikan kebangsaan, bermula dari sekolah rendah hinggalah kepada pembelajaran sepanjang hayat seperti di institusi pengajian tinggi.
“Sebaik sahaja mempunyai rangka kerja nasional ini, adalah penting untuk memperkasa guru secepat mungkin kerana mereka berada di barisan hadapan bersama ibu bapa dalam hal perlindungan anak,” katanya.
Ancaman AI
Risiko AI amat membimbangkan dengan wanita dijadikan sasaran dalam imej intim tanpa persetujuan mereka.
Kesannya bukan sahaja terhadap kehidupan kaum hawa, malah merangkumi keselamatan dan kesihatan mental.

Pengasas dan Presiden Pemimpin Politik Wanita Jerman (WPL), Silvana Koch-Mehrin menggesa wanita mendapatkan maklumat, ilmu dan kesedaran sebelum bertindak balas terhadap perkara itu.
“Wanita perlu ada kebebasan bersuara dan apa yang melangkauinya. Apabila AI tiba, adalah sesuatu di mana kita mempunyai wilayah baharu, jadi kita perlu sangat bijaksana apabila berdepan dengannya,” katanya.
Strategi terbaik adalah dengan memperkasakan wanita dalam menggunakan teknologi dengan yakin dan berkesan.
Wanita mempunyai peranan penting sebagai warganegara selain turut menyumbang kepada masyarakat dan kerja-kerja penjagaan tanpa upah.
“Mereka berkomunikasi dengan anak-anak, keluarga dan rakan. Mereka menerima maklumat mengenai kesihatan dan perkara yang relevan. Jadi, keyakinan untuk menggunakannya sudah ada.
“Soal mudarat serta tindakan untuk mengatasi kemudaratan adalah sesuatu yang baharu dan kita perlu bermula dengan maklumat” katanya.
Tambah Silvana lagi, dunia digital dan siber tidak boleh diketepikan dan kita kehilangan begitu banyak perspektif dan perlu menangani perkara yang lebih besar terutama kesan ke atas diri dan keluarga.
Oleh itu, masyarakat perlu lebih bijak dan berusaha sedaya-upaya untuk membawa pandangan yang pelbagai dan memasukkan wanita sebanyak mungkin dalam membuat keputusan.
“Wanita sangat kerap berdepan stereotaip dan ini menghalang mereka untuk mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang.
“80 peratus wanita yang bekerja di alam siber berkata, mereka terhalang secara tanpa sedar oleh orang sekeliling seperti komen rakan sekerja dan sebagainya.
“Ini adalah sesuatu yang menyukarkan dan perlu diatasi bagi memastikan wanita tidak ketinggalan dalam dunia digital dan siber selain hak-hak mereka dilindungi agar tidak ketinggalan dalam dunia digital hari ini,” katanya.










