Minuman manis, kopi berlebihan kurangkan kualiti sperma

Minuman manis, kopi berlebihan kurangkan kualiti sperma

PENGAMBILAN kopi secara berlebihan memberi kesan kepada kesuburan lelaki. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kualiti sperma yang menurun sering dikaitkan dengan peningkatan usia seorang lelaki.

Namun, gaya hidup juga sebenarnya memberi kesan terhadap kualiti sperma lelaki sekali gus menjejaskan kesuburan.

Pakar Reproduktif Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr. Chua Ai Chen berkata, walaupun faktor usia adalah penyebab utama kepada penurunan kualiti sperma, namun gaya hidup yang tidak seimbang juga memberi kesan kepada kesuburan lelaki.

“Diet juga memainkan peranan penting. Diet sihat yang kaya dengan asid lemak omega-3, antioksidan dan vitamin seperti diet Mediterranean terbukti meningkatkan kualiti air mani.

“Daging yang diproses, minuman manis dan penggunaan kopi yang berlebihan sebaliknya boleh menurunkan kualiti sperma,” katanya.

Kemandulan sering dikaitkan sebagai masalah wanita, tetapi hakikatnya, ketidaksuburan lelaki menyumbang kepada kira-kira 50 peratus kes di seluruh dunia.

Malah, kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendedahkan ketidaksuburan lelaki sebagai kebimbangan yang ketara dengan 60 peratus keputusan ujian sperma adalah tidak normal.

Faktor penyebab
Kemandulan lelaki disebabkan oleh dua faktor iaitu masalah pengeluaran sperma atau sumbatan yang menghalang sperma daripada sampai ke ovum.

“Isu yang paling biasa saya lihat ialah bilangan sperma rendah yang disebabkan varikokel atau pembesaran urat dalam skrotum.

“Varikokel menjejaskan kira-kira 40 peratus lelaki yang mengalami masalah kesuburan lalu menyebabkan pengeluaran sperma berkurangan,” katanya.

Penyebab lain ketidaksuburan lelaki termasuk ketidakseimbangan hormon, masalah genetik dan pendedahan kepada persekitaran berbahaya seperti pencemaran, bahan kimia dan radiasi.

Gaya hidup juga memainkan peranan yang besar. Merokok, pengambilan alkohol, obesiti dan juga tekanan boleh menjejaskan kualiti sperma.

Tambahnya, kualiti sperma akan menurun dari segi motility (pergerakan), morphology (bentuk) dan kiraan keseluruhan apabila usia lelaki semakin meningkat.

Lelaki yang lebih tua juga mungkin mengalami kadar pemecahan lebih tinggi yang menjejaskan perkembangan embrio dan meningkatkan risiko keguguran.

Kualiti sperma memainkan peranan yang sangat penting bagi membolehkan persenyawaan berlaku.

Persenyawaan kemungkinan besar berlaku jika air mani yang dikeluarkan dalam satu ejakulasi mengandungi sekurang-kurangnya 15 juta sperma setiap mililiter (ml).

Bilangan sperma yang terlalu rendah boleh menyukarkan proses untuk hamil kerana terlalu sedikit sperma tersedia untuk menyuburkan telur.

Selain kiraan sperma, pergerakannya juga adalah penting kerana sperma mesti boleh berenang melalui serviks, rahim dan tiub fallopio untuk mencapai telur.

“Walaupun kehamilan boleh berlaku dengan pergerakan kurang daripada 40 peratus tetapi jumlah itu dianggap sebagai batas.

“Semakin banyak pergerakan sperma, semakin baik peluang untuk hamil,” katanya.

Sperma yang sihat biasanya mempunyai kepala bujur dan ekor panjang yang membolehkan ia berenang dengan cekap ke arah telur.

Bentuk sperma yang tidak normal juga boleh menjejaskan keupayaan untuk bergerak dengan betul, seterusnya mengurangkan peluang persenyawaan.

 

Kemajuan perubatan
Bagi lelaki yang mempunyai jangkitan pada saluran pembiakan, antibiotik sering diberikan.

Manakala, steroid seperti prednisolone digunakan apabila sistem imun tersilap menyerang sperma.

Ketidakseimbangan hormon, seperti tahap prolaktin yang tinggi (keadaan yang dipanggil hiperprolaktinaemia) yang menjejaskan pengeluaran testosteron dan sperma pula boleh dirawat dengan ubat seperti bromocriptine untuk membantu memulihkan tahap hormon normal.

Terbaharu, Chua berkata, terdapat kajian yang dilakukan pada rawatan hormon baharu yang mungkin menawarkan lebih banyak pilihan untuk lelaki yang mengalami ketidakseimbangan hormon.

Kemajuan ini termasuk ubat baharu yang sedang dikaji untuk mengawal hormon yang terlibat dalam pengeluaran sperma.

Satu lagi bidang penyelidikan tertumpu pada mengawal hormon perangsang folikel (FSH), hormon untuk pengeluaran sperma yang mungkin membawa kepada rawatan yang lebih berkesan untuk ketidaksuburan.

“Sesetengah kajian mencadangkan bahawa suplemen seperti antioksidan termasuk vitamin C, vitamin E, dan zink boleh meningkatkan kualiti sperma.

“Mengurus ketidaksuburan boleh meletihkan emosi, jadi penting bagi pasangan untuk menyokong satu sama lain dan menyertai kumpulan sokongan atau terapi jika perlu,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN