Lukisan periuk kera bernilai hingga RM30,000

Lukisan periuk kera bernilai hingga RM30,000

ZAKARIA ADAM menunjukkan hasil air tangannya yang menterjemah periuk kera dalam bentuk lukisan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sentuhan seninya tampak asli dan hidup.

Pelukis flora pokok periuk kera, Zakaria Adam,73, dikenali ramai kerana berperanan besar sebagai pelindung kepada kesinambungan hayat spesies itu yang kian terancam.

Apa tidaknya, pesara guru ini telah menjadikan periuk kera dengan nama saintifiknya nepenthes sepp sebagai subjek utama dan telah menghasilkan lebih 5,000 lukisan sejak 40 tahun lepas.

Zakaria berkelulusan ijazah seni dari Universiti Sains Malaysia ( USM) Pulau Pinang mengambil inisiatif menumpukan lukisan motif periuk kera kerana keunikan kehidupan penghuni rimba itu.

“Periuk kera spesies terancam memiliki keunikan tersendiri yang menjadikan serangga yang terperangkap dalam kantungnya sebagai makanan penyambung hayat.

“Kehidupan periuk kera ini boleh diadaptasi dalam falsafah kehidupan manusia yang tidak suka mengganggu orang tetapi bertindak tegas jika terancam,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Galeri M.Warna di kampung Sentosa, Maran baru-baru ini.

TATAPAN GENERASI MUDA
Menurutnya, keistimewaan pokok periuk kera ini diabadikan dalam bentuk lukisan cat minyak dengan imej alam semula jadi di kanvas.

Katanya, beliau memilih cat minyak dan akrilik sebagai medium untuk berkarya dan diabadikan di kanvas.

Pengalaman sebagai guru subjek Pendidikan Seni menjadi pemangkin kepada karya yang pertama lebih 40 tahun lalu.

Beliau yang dikenali Cikgu Abah berbangga kerana spesies ini kekal popular di kalangan generasi muda, korporat dan VIP walaupun sesetengah daripada mereka tidak pernah melihat pokok herba yang istimewa itu.

Tambahnya, lukisan imej periuk kera ini terjual pada harga RM200 hingga RM30,000 bergantung saiz yang turut menarik minat pembeli badan korporat dan berstatus VIP.

Koleksi lukisan Zakaria

Justeru, Zakaria komited untuk terus berkarya dan mengadakan pameran imej periuk kera di dalam dan di luar negara kerana peminat seni ada di mana-mana di pelusuk dunia.

“Koleksi lukisan periuk kera bukan sahaja dipamerkan di Galeri M Warna di Kampung Sentosa, Bandar Maran malah turut di pamerkan di Galeri Seni di Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang.

“Saya sering diundang mengadakan pameran di beberapa program seperti di universiti tempatan, pesta Air Chenor, program budaya kelolaan kementerian berkaitan,” katanya.

Menurutnya, banyak hasil karyanya turut menjadi hiasan dinding di bank tempatan, pejabat kerajaan dan swasta serta pemimpin negara dan kerabat Diraja.

LEBARKAN SAYAP

Anak jati Maran yang digelar ‘Master or Nepenthes’ ini sudah melebarkan namanya di persada antarabangsa dengan menyertai pelbagai pameran kerana aktif menghasilkan lukisan tumbuhan hutan itu.

Menurutnya, periuk kera merupakan pokok maging yang memerangkap serangga dalam periuknya untuk membekalkan sebahagian dari nitrogen yang diperlukan untuk hidup.

“Spesies tumbuhan ini semakin terancam berikutan aktiviti penebangan hutan yang tidak terkawal dan lemang periuk kera yang boleh mengganggu habitat semula jadi warisan alam ini,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Zakaria, beliau pernah mengalami kerugian kira-kira RM40,000 berikutan banyak lukisan karyanya ditenggelami banjir di Bandar Maran dan di makan anai-anai dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) pandemic Covid-19 tiga tahun lepas.

Pengkarya hebat itu mengakui agak terkilan dengan kejadian itu namun semangat berputus asa tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya malah akan terus berkarya.

“Lukisan periuk kera yang telah siap ditempah ditenggelami air banjir pertengahan Disember tahun lepas di galeri bandar Maran.

“Manakala beberapa lukisan di Galeri M. Warna, Kampung Sentosa Maran yang digunakan untuk pameran dan jualan dimamah anai-anai,” ujarnya..

Menurutnya, ketika tempoh PKP pandemik Covid-19, tiada aktiviti pameran dibenarkan sama ada tempatan atau di luar Pahang seperti Kuala Lumpur dan luar negara menyebabkan lukisan terperap menjadi habuan anai-anai.

“Saya juga berbangga kerana lukisan periuk kera bersama subjek Bunga Rafflesia dan seekor katak di pamerkan di Luna Creative Space Newtown, Sydney, Australia selama dua minggu tahun lepas.

“Pihak penganjur memilih hasil lukisan itu untuk mempamerkan kreativiti lukisan hidup di pameran bertaraf antarabangsa. Ini dapat mempromosi keindahan flora dan fauna yang terdapat di negara ini.” katanya.

Lukisan seni budaya Asia terbesar dunia dipamerkan sempena pameran lukisan budaya Asia bertema flora dan fauna anjuran badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan negara berkenaan.

Beliau berkata, melukis subjek tumbuh-tumbuhan semula jadi seperti periuk kera dan bunga raflesia menjadi terapi baginya terus sihat dapat menjalani kehidupan dengan ceria bersama keluarga.

Dalam perkembangan berkaitan, Zakaria turut berharap Galeri M.Warna di Kampung Sentosa menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan dan luar kesan limpahan projek landasan keretapi laju (ECRL) yang merupakan salah satu stesen utama terletak di Kampung Sungai Ling, Maran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN